SUPPORT PENAJA

Sunday, 22 January 2012

FUYOO.. BERSALIN DALAM KERETAPI


Seorang wanita New Jersey mendapat kejutan seumur hidupnya  apabila melahirkan bayi pertamanya dalam kereta api komuter Pihak Berkuasa Pengangkutan Hudson (PATH)  di bandar raya ini.Wanita berusia 31 tahun itu, Rabita Sarkar dari Harrison, New Jersey, berkata dia mula berasa sakit hendak bersalin namun, tidak terfikir sudah sampai masanya untuk melahirkan anak kerana dikatakan belum cukup tempoh sepatutnya. Pada hari tersebut beliau dan suaminya, Aditya Saurabh yang berusia 30 tahun memutuskan untuk pergi ke bandar raya ini bagi membuat pemeriksaan, kelmarin.                                        
Mereka tidak mahu memandu dan membuat keputusan menaiki kereta api dari Harrison ke bandar, disebabkan  memikirkan  boleh mengambil teksi ke Hospital Roosevelt di Manhattan. 
“Ia disebabkan anak saya tidak sabar-sabar untuk lahir ke dunia,” kata Sarkar ketika memeluk erat bayi lelakinya di hospital. Namun pasangan tersebut enggan mendedahkan nama bayi mereka atau tarikh sebenar kelahiran.                                                  



   
Ketika menaiki kereta api itu, Sarkar mula berasa sakit hendak bersalin dan dia memberitahu Saurabh untuk memeriksa apa yang berlaku kepadanya. Beliau melihat kepala anaknya sudah keluar. Dengan bantuan seorang wanita lain dalam kereta api itu dan suaminya, Sarkar akhirnya menyambut kelahiran bayi itu jam 10 pagi waktu tempatan.  Pasangan itu berkata penumpang lain turut memberi galakan kepada , dan seorang gadis telah menawarkan jaketnya bagi memastikan bayi mereka dalam keadaan selesa.

Pihak berkuasa PATH telah menukar kereta api kepada ekspres, untuk melepasi kebanyakan hentian supaya pasangan boleh sampai ke destinasi akhir di 33rd Street di tengah Manhattan dengan segera. Kakitangan perkhidmatan kecemasan membawa keluarga berkenaan ke hospital.  Pegawai polis yang memberi maklum balas berkata, ia bukan sesuatu yang luar biasa bagi seorang wanita melahirkan anak dalam kemudahan yang dikendalikan pihak berkuasa. 
                     

FUYOO.. KECUAIAN KAPTEN PUNCA NAHAS KAPAL MEWAH ITALI



Pihak penyiasat Itali kini mencari kebenaran teori kapal persiaran Costa Concordia yang berharga 390 juta (RM1.54 bilion)
yang dikatakan karam akibat belayar terlalu hampir dengan Pulau Giglio kerana mahu memberi isyarat kepada seorang pegawai tentera laut Itali di tepi pantai Pulau Giglio. 
Kapten kapal itu, Francesco Schettino, 52, didakwa memberi tabik hormat kepada seorang rakan di pantai ketika kapal persiaran dipandunya mengalami malapetaka, kata dakwaan yang dipetik akhbar Daily Mail.
 Schettino ditahan atas dakwaan bertanggung atas kematian penumpang dan mengabaikan kapal ketika ia terkandas di kedalaman 59 meter berdekatan pelabuhan.  Agensi berita Itali melaporkan enam orang disahkan mati dan 14 masih hilang. Mayat penumpang lelaki keenam ditemui memakai jaket keselamatan di dek kedua kapal.
Laporan di Itali menyebut, penyiasat mengenal pasti lelaki di pantai itu dan dia akan disoal siasat berhubung nahas yang berlaku.
Pada Ogos tahun lalu, Costa Concordia telah menghampiri pulau itu dan membunyikan sirennya. Datuk bandar dalam e-melnya telah memuji kapten kerana memberikan pemandangan yang mengagumkan kepada pelancong ketika itu.Pendakwa menyifatkan cara Schettino mengendalikan kapal sebagai tidak cekap. Kapten itu terpaksa menafikan dakwaan bahawa beliau meninggalkan kapal itu untuk menyelamatkan diri. Beliau turut dilihat berada di bar, malah mengambil barang berharga sebelum meninggalkan kapal. Semua tuduhan itu dinafikan keluarganya ketika Schettino diberi gelaran ‘Kapten Penakut’ oleh sesetengah penumpang yang menuduh lelaki itu mengabaikan mereka. 
Pasangan pegawai tentera Perancis, Ophelie Gondelle dan pegawai polis, David Du Pays, berkata mereka nampak kapten dalam bot penyelamat menutup badan dengan selimut, sebelum semua penumpang keluar dari kapal. 
“Saya mengesahkan perkara itu,” katanya ketika ditanya sama ada kapten meninggalkan kapal. Seorang krew yang cedera dan pasangan berbulan madu Korea diselamatkan semalam, 48 jam selepas kapal itu karam. 
Concordia belayar 275 meter dari perairan berbatu Giglio yang sepatutnya berada sekurang-kurangnya 10 kali jauh jaraknya. 
Pengawal Pantai Itali menemui kotak hitam dari kapal Costa Concordia dan Schettino menegaskan, carta dan sistem pelayaran berada di kedudukan selamat, manakala beting pasir yang dilanggar tidak bertanda, mengejutkan penduduk Giglio yang sudah lama tahu bahaya itu. 
Pegawai Pertama, Ciro Ambrosio turut ditahan bersama Schettino di Porto Santo Stefano di tanah besar Itali sebelum dihantar ke penjara. 
Kapal seberat 117,000 tan itu melanggar beting pasir selepas berada dua jam dalam perjalanan tujuh hari menyeberangi Lautan Mediterranean ketika penumpang menikmati makan malam jam 9.30 malam Jumaat lalu. 
Schettino yang bekerja dengan Concordia selama 10 tahun, menghubungi ibunya Rosa di Naples jam 5 pagi dan berkata: “Berlaku tragedi tetapi semuanya tenang. Saya cuba menyelamatkan penumpang. Saya tidak boleh menghubungi keluarga buat masa ini tetapi jangan bimbang.”


Penari British, Rose Metcalf, antara yang terakhir diselamatkan berkata khabar angin menyatakan bahawa kapten melarikan wang tunai yang banyak ketika itu.
 

FUYOO .. TEH PALING MAHAL GUNA NAJIS PANDA

Seorang pengusaha ladang teh di China mendakwa berjaya menemui rahsia menghasilkan serbuk teh paling mahal di dunia, iaitu baja asli daripada najis beruang panda. An Yanshi, 41, yang juga bekas seorang guru kaligrafi, sebelum ini membeli najis panda dari sebuah pusat pembiakan panda untuk dijadikan baja di ladang tehnya. Dia berkata, daun teh pertama yang menggunakan baja najis haiwan itu yang akan dipetik awal musim panas ini, bakal menjadi serbuk teh paling mahal di dunia apabila dijual dengan harga hampir 220,000 yuan (RM109,293) bagi setiap 500 gram (g). Penggemar minuman teh di China menyifatkan tuaian pertama daun teh berkenaan sebagai yang terbaik manakala daun teh tuaian berikutnya akan dijual pada harga 20,000 yuan (RM9,935). Bagaimanapun, An yang begitu teruja dengan projek barunya hingga memakai pakaian berbentuk panda ketika ditemuramah sebuah agensi berita antarabangsa, dicemuh pengkritik di negaranya kerana mendakwa ‘teh panda’ ada kelebihan yang mereka anggap keterlaluan. 

Namun, An bertegas bahawa dia benar-benar serius dengan apa yang didakwanya dan sanggup meletakkan jawatan sebagai tenaga pengajar di Universiti Sichuan untuk bergiat sepenuh masa dengan syarikat yang ditubuhkannya, Panda Tea. “Najis beruang panda amat kaya dengan zat galian. Ia jauh lebih baik berbanding baja kimia,” katanya. 
An berkata, walaupun penanaman ‘teh istimewa’ di ladang seluas satu hektar mempunyai tujuan komersial, misi utamanya ialah bagi meyakinkan dunia melindungi alam sekitar dan menggantikan baja kimia dengan baja asli daripada najis haiwan sebelum terlambat. 

“Manusia perlu menjalin hubungan harmoni dengan bumi dan alam sekitar. Semua orang bertanggungjawab melindungi alam dan kehidupan mereka,” katanya. 

An mendapat idea untuk menggunakan baja najis beruang panda selepas menghadiri satu seminar tahun lalu, apabila dimaklumkan bahawa haiwan itu hanya menyerap 30 peratus khasiat daun buluh yang dimakannya, manakala 70 peratus lagi dikeluarkan dalam bentuk najis berwarna kehijauan. Dia juga yakin teh Panda akan mendapat sambutan hebat dan sudah mempatenkan idea itu bagi mengelak persaingan. 

Dakwaan An bahawa teh Panda membantu mengurangkan berat badan dan melindungi penggemarnya daripada radiasi, bagaimanapun diperlekah beberapa laman web yang ragu mengenai dakwaannya dan harga teh itu yang terlalu mahal. 

“Jika najis beruang adalah baja yang amat baik untuk pokok teh, saya mahu bertanya kepada guru ini. 

“Mengapa anda tidak makan saja najis beruang itu. Anda boleh dapat sisa 70 peratus daripada khasiat yang dikeluarkannya,” kata seorang pelayar internet yang menggelarkan dirinya Baihuashu. 
Seorang lagi pelayar internet yang menamakan dirinya 24-0 berkata: “Harga 200,000 yuan untuk 500 gram teh yang dibaja dengan najis panda? Adakah itu untuk minum teh atau minum darah panda?” 

Di sebalik kritikan dan cemuhan itu An terus berazam untuk membesarkan perniagaannya. 

“Selepas tuaian pertama, jika mutunya benar-benar hebat, saya akan berusaha membesarkan ladang dan menanam lebih banyak pokok teh,” katanya.