SUPPORT PENAJA

Friday, 13 April 2012

KFC THAILAND MOHON MAAF







Pengendali restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) Thailand mengeluarkan permohonan maaf selepas rakyat negara itu mengkritik satu mesej yang ditulis di laman sosial Facebook miliknya.


Mesej itu menggesa orang ramai supaya orang ramai pulang ke rumah dan memesan ayam KFC. Ia ditulis ketika orang ramai panik dan bergegas pulang berikutan berlaku dua gegaran di Aceh, Indonesia yang mencecah
 kekuatan 8.6 pada skala Richter semalam.

Syarikat itu menulis mesej yang berbunyi: "Cepat pulang ke rumah dan ikuti perkembangan terkini berita gempa bumi dan jangan lupa untuk memesan menu KFC kegemaran anda."

Ia nyata mengundang komen-komen marah yang menyifatkan KFC Thailand tidak sensitif dan mementingkan diri sendiri. Mesej itu kemudian dibuang dan digantikan dengan permohonan maaf. - Agensi

GEGARAN DI MALAYSIA BERSKALA 6


Gegaran yang dirasai di kebanyakan tempat di Malaysia, kelmarin adalah pada skala lima hingga enam (V hingga VI) MMI (Modified Mercalli Intensity) yang tidak membawa kerosakan besar kepada struktur bangunan.Bacaan skala diklasifikasikan antara kecil dan sederhana itu adalah berdasarkan kesan gegaran dialami saksi serta keadaan struktur bangunan berikutan gempa bumi berukuran 8.7 pada skala Ritcher yang melanda Aceh, Sumatera Utara pada jam 4.38 petang, kelmarin.Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Che Gayah Ismail, berkata pihaknya terus memantau perkembangan di Sumatera dan memaklumkan kepada umum. Beliau berkata, berdasarkan pemodelan tsunami akibat gempa bumi kelmarin, jika pun tsunami melanda perairan Malaysia, ketinggiannya hanya 0.74 meter saja.

“Jabatan Meteorologi sudah mengeluarkan nasihat tsunami (kelmarin) meminta orang ramai menjauhi kawasan pantai bagi negeri Perlis, Kedah (termasuk Langkawi), Pulau Pinang dan Perak,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau berkata, sehingga jam 6 petang semalam, sebanyak 39 gempa susulan bermagnitud 4.5 sehingga 6.0 pada skala Richter dilaporkan di pusat gempa.
Kelmarin, ribuan rakyat Malaysia terutama yang tinggal di bangunan tinggi dan kawasan Pantai Barat Semenanjung merasai gegaran kuat berikutan gempa bumi berukuran 8.7 pada skala Richter di perairan Aceh pada jam 4.38 petang, diikuti gempa susulan pertama pada jam 6.43 petang yang berukuran 8.5 pada skala Richter. Selain itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi jaminan semua bangunan tinggi di negara ini selamat diduduki walaupun ada antaranya mengalami keretakan akibat dua gegaran susulan gempa bumi yang berlaku dalam tempoh dua jam di Aceh, Sumatera Utara, petang kelmarin.

Kebanyakan premis kediaman dan bangunan tinggi yang sebahagian besarnya terletak berhampiran pantai sekitar negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Pahang termasuk di Putrajaya dan ibu negara sudah diperiksa selepas dikhuatiri mengalami kerosakan akibat gegaran itu. Difahamkan, lebih 80 bangunan di 84 lokasi membabitkan semua negeri terbabit sudah diperiksa sejurus selepas bomba menerima panggilan orang ramai yang melaporkan bangunan diduduki mereka mengalami gegaran antara satu hingga lima minit.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata siasatan pihaknya mendapati tiada bangunan mengalami kesan kerosakan serius sebaliknya hanya mengalami keretakan kecil yang tidak mengganggu kestabilan dan keselamatan bangunan terbabit.

“Sejurus menerima laporan, semua anggota kita dikerah ke semua lokasi terbabit dan pemeriksaan terus dilakukan semalam (kelmarin). Hasilnya, memang ada antara bangunan itu mengalami keretakan namun tidak serius. “Antara bangunan diperiksa membabitkan hotel, pusat beli belah, hospital, apartmen serta kondominium,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Wan Mohd Nor berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM di seluruh negara masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk tsunami sekiranya berlaku gegaran susulan di Aceh.

DIROGOL DEPAN ADIK DAN SEPUPU

  


Enggan hanya berpuas hati dengan hasil samun, seorang lelaki yang memecah masuk ke dalam sebuah apartmen dihuni lima gadis bertindak merogol salah seorang daripada mangsa.Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan suspek dalam kejadian jam 4 pagi kelmarin di sebuah apartmen di Damansara Damai.

Menurut sumber, suspek yang pada mulanya hanya ingin mengambil barangan berharga milik mangsa, berubah fikiran dan ingin melampiaskan nafsunya ke atas salah seorang mangsa.
Bersenjatakan pisau, suspek mengugut akan mencederakan mangsa sekiranya mereka menjerit atau cuba melarikan diri.“Penyamun bertopeng itu memilih mangsa berusia 20-an dan merogol mangsa sambil diperhatikan oleh adik dan sepupunya yang berumur 17 dan 20 tahun di dalam bilik,” katanya.

Mangsa dirogol sambil pisau diletakkan di lehernya oleh suspek yang melarikan diri sebaik selesai melakukan perbuatan terkutuk itu.Sumber itu berkata, mangsa sempat mengecam wajah suspek selepas lelaki itu menanggalkan topengnya yang dipakainya.Suspek memasuki apartmen terbabit dengan memecahkan mangga rumah dan mengambil masa kira-kira sejam sebelum melarikan diri.

“Ketika kejadian terdapat dua lagi rakan serumah mangsa namun mereka tidak menyedari kejadian itu kerana tidur di bilik lain,” katanya.Ketiga-tiga mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Damansara Damai. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan dan suspek terlibat sudah dikenal pasti.

“Polis ketika ini sedang melancarkan gerakan memburu suspek yang ketika ini berada di sekitar Lembah Klang,” katanya. Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah seksyen Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan seksyen 395 samun bersenjata.