SUPPORT PENAJA

Showing posts with label FUYOO..PAUTAN AKHBAR TEMPATAN. Show all posts
Showing posts with label FUYOO..PAUTAN AKHBAR TEMPATAN. Show all posts

Wednesday, 22 August 2012

UBAT PENGASIH DARI TULANG SINGA AFRIKA


Tulang singa kini menjadi komoditi yang laris dijual ke negara-negara Asia untuk digunakan dalam rawatan tradisional. Kebanyakan tulang itu dieksport ke Vietnam dan Laos. Tulang-tulang itu diperoleh dengan cara para pemburu Asia menyertai aktiviti memburu haiwan liar yang dibenarkan undang-undang.Kira-kira 500 ekor singa diburu secara sah pada setiap tahun di Afrika Selatan.

SEORANG anggota renjer memegang tulang singa.
Pemburu-pemburu itu dikenakan bayaran sehingga AS$20,000 (RM62,354) untuk memburu singa manakala bangkai haiwan tersebut dijadikan makanan anjing. "Baru-baru ini, terdapat sebilangan besar warga dari Laos yang berminat untuk menyertai aktiviti memburu itu," kata seorang pegawai daripada pertubuhan pemuliharaan singa, LionAid, Pieter Kat.

Tulang-tulang singa itu menjadi popular untuk dijadikan ubat pengasih. Ia menjadi rebutan kerana tulang harimau dilarang diperdagangkan berdasarkan undang-undang antarabangsa ekoran bilangan haiwan itu semakin berkurangan. - Agensi

DITETAK GARA-GARA BEREBUT PELANGGAN


Hanya kerana berebut pelanggan, seorang pekerja pusat pengurusan mayat parah ditetak dengan parang di rumah mayat, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, kelmarin. Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa K Manivanan, 31, sedang mengurus mayat seorang rakannya sebelum diserang suspek yang dipercayai tidak berpuas hati tindakan mangsa mengambil pelanggannya.
Mangsa kini ditempatkan dalam wad untuk
 menerima rawatan selepas diserang seorang lelaki.
Manivanan berkata, dia diserang dari belakang selepas selesai menguruskan mayat rakannya itu. “Rasa tidak dapat mempertahankan diri ketika diserang selain terus berlari ke pondok polis yang terletak di hadapan hospital ini. “Saya bernasib baik apabila lelaki berkenaan tidak mengejar saya. Doktor dan jururawat yang berada di tempat kejadian terus memberi rawatan setelah melihat badan saya dipenuhi darah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Termizi Abd Haq berkata, suspek yang menyerang mangsa sudah dikenal pasti dan tindakan mengesan dilancarkan untuk menangkap suspek.

“Kita telah menerima laporan pada dari mangsa dan dia mengalami cedera parah di bahagian tangan kanan dan beberapa kesan di perut serta berhampiran leher. “Siasatan awal mendapati mangsa diserang di luar hospital sebelum melarikan diri ke pondok polis. Mangsa kini ditempatkan dalam wad untuk menerima rawatan,” katanya.

PORTAL AS SEBAR GAMBAR BOGEL DIDAKWA PUTERA HARRY



Istana Buckingham berdepan dengan satu lagi kontroversi apabila dua keping gambar bogel, didakwa Putera Harry, disebarkan oleh sebuah laman web hiburan popular, TMZ di Amerika Syarikat. Dua keping gambar itu, dengan salah satunya menunjukkan Harry hanya memakai rantai berloket cincin emas bersama seorang wanita di belakangnya. Satu lagi gambar menunjukkan Harry pula memeluk wanita itu dari belakang.
Gambar itu dipercayai dirakamkan di sebuah hotel di Las Vegas, minggu lalu dan dimuat naik semalam. 
Kontroversi terbaru ini dijangka memberi imej buruk ke atas kerabat diraja Britain.

Kontroversi ini muncul hampir dua minggu selepas Harry mewakili Ratu Elizabeth II pada majlis penutup Sukan Olimpik London. Harry merupakan salah seorang daripada dua anak Putera Charles hasil perkahwinannya dengan mendiang Puteri Diana.

Sunday, 17 June 2012

KUBUR GURU WANITA DIGALI SEMULA


Bapa kepada seorang guru wanita yang meninggal dunia dua hari lalu terpaksa reda kubur anaknya itu terpaksa digali semula oleh polis di Tanah Perkuburan Islam Lada, Wakaf Bharu, di sini, petang semalam. Bapa Allahyarham, Shamsuddin Yusoff, 63, terpaksa akur dengan prosedur siasatan polis dan perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah untuk melakukan bedah siasat ke atas mayat anak sulungnya itu, Balqis, 40.

Khamis lalu, Balqis dikatakan mati mengejut dipercayai akibat sakit jantung di rumahnya di Taman SBJ Pasir Pekan, di sini. Kematian disedari oleh salah seorang anaknya pada pagi Khamis lalu yang masuk ke dalam bilik tidur untuk mengejutkan arwah bangun tetapi didapati arwah sudah meninggal dunia.
Shamsudin berkata, polis curiga kematian anaknya itu dan untuk menyiasat punca sebenar kematiannya, kubur itu terpaksa digali semula.Kubur itu digali oleh sepasukan anggota Forensik Polis Kelantan kira-kira jam 5 petang yang turut dihadiri Imam Masjid Wakaf Bharu, Wan Ahmad Nazree Abdul Halim; Majistret Tumpat, Ahmad Adha Amir Yasin dan juga Jabatan Agama Jajahan Tumpat.


Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya telah mendapatkan perintah daripada Mahkamah Majistret Tumpat untuk menggali semula kubur guru wanita itu.“Semalam kita telah menerima laporan oleh bapa si mati mengatakan arwah meninggal dunia disebabkan dipukul oleh suaminya. Oleh itu pihak polis terpaksa menyiasat dan pohon perintah majistret untuk menggali semula kubur berkenaan.

“Jenazah tersebut dihantar ke hospital untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu.

Saturday, 16 June 2012

KUALITI UDARA SEMAKIN TERUK AKIBAT JEREBU



Keadaan berjerubu yang dilihat semakin teruk menyebabkan tiga kawasan di Selangor mencatatkan tahap kualiti udara tidak sihat  akibat musim panas sekarang dan disyaki ekoran pembakaran terbuka di utara dan tengah Sumatra. Pelabuhan Klang mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tertinggi melebihi paras tidak sihat di Semenanjung dengan bacaan 147 pada jam 5 petang, semalam. Berdasarkan bacaan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) yang dimuatkan di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), turut diisytiharkan indeks tidak sihat ialah Kuala Selangor (IPU 129) Shah Alam (120) dan Cheras (105). Mengikut kenyataan dikeluarkan JAS, kemerosotan kualiti udara dikesan pada 14 Jun di stesen Alor Setar dan Sungai Petani, Kedah; Seberang Jaya, Pulau Pinang dan di Pelabuhan Klang, Selangor. 

Tompok panas dikesan di beberapa kawasan di tengah dan utara Sumatera semasa musim panas sekarang. Kebiasaannya aktiviti pembakaran aktiviti dijalankan untuk membersihkan kawasan pertanian. Juga turut dikesan ialah aktiviti pembakaran terbuka di kawasan di selatan, tengah dan pantai timur Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Bernama juga melaporkan, kemerosotan kualiti udara yang sedang dialami di Lembah Klang dan Perak hari ini disebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia. Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan hari ini menjangkakan keadaan jerebu ini akan berterusan untuk beberapa hari akan datang berikutan cuaca yang diramal kering di beberapa negeri di utara dan pantai barat Semenanjung.
Katanya, laporan imej satelit NOAA-18 yang dikeluarkan oleh Asean Specialised Meterological Centre menunjukkan bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia meningkat sejak Selasa lepas.Imej satelit itu juga menunjukkan asap jerebu dibawa angin dari kawasan titik panas di Wilayah Riau, Sumatera Tengah menghala ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Menurut kenyataan itu, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 51 buah stesen pengawasan kualiti udara JAS yang direkodkan pada jam 11 pagi ini menunjukkan tiga stesen, Kuala Selagor (IPU 131), Pelabuhan Klang (IPU 130) dan Shah Alam (IPU 106) berada pada tahap tidak sihat. Bacaan IPU di Seri Manjung, Perak pula dicatatkan pada tahap sederhana 94.

AS telah mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Kebakaran Terbuka di semua negeri serta mempertingkatkan pelaksanaan prosedur standard operasi Program Pencegahan Tanah Gambut yang Mudah Terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka.

Orang ramai juga diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727. Bacaan IPU antara 0-50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

PERUT TERBURAI DALAM KEMALANGAN MAUT

Kemalangan itu amat dahsyat, tapi saya terkilan kerana tak mampu berbuat apa-apa, sebaliknya hanya mampu lihat saja mayat seorang daripada mangsa terbujur di atas jalan dalam keadaan perut terburai manakala yang lain tersepit dalam kenderaan masing-masing yang remuk.”

Demikian kata Mohd Aliff Farhan Mohd Hatta, 16, antara individu terawal tiba di lokasi kemalangan di Kilometer 35, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Labok, di sini, yang mengorbankan tiga nyawa termasuk Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Abdul Wahab Yaacob, 56, awal pagi semalam.Dua lagi yang terbunuh ialah Sarjan Abd Kadir Kumin, 48, dari Ulu Cheka, Jerantut, Pahang, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai dan suri rumah, Membunga Mamat, 61, dari Rancangan Kemajuan Tanah Paloh 1, Gua Musang.

Kemalangan berlaku ketika Abdul Wahab dan Abd Kadir dalam perjalanan dari Kota Baharu ke Kuala Krai dengan menaiki kereta BMW bertembung sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dari arah bertentangan dinaiki Membunga bersama anaknya, Mohd Saari Asmawi, 36. Ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala serta badan dan mayat mereka dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.


Mohd Saari yang memandu Pajero itu pula dilaporkan dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu.Menceritakan pengalamannya, Mohd Aliff Farhan yang rumahnya hanya 20 meter dari tempat kejadian berkata, dia terdengar bunyi dentuman kuat ketika menonton televisyen pada jam 1 pagi.“Selepas mendengar bunyi dentuman kuat itu, saya keluar rumah dan melihat kepulan asap serta api kecil menyala. Sebaik mendekati dua kenderaan yang terbabit nahas itu saya tergamam melihat darah membasahi jalan dan seorang mangsa terbaring di atas jalan dalam keadaan mengerikan,” katanya.
Menurutnya, tidak lama kemudian, bapa saudaranya, Hussin Ismail, 45, tiba di tempat kejadian dan memadamkan api menggunakan air yang diisi ke dalam baldi kerana bimbang berlaku letupan.“Dentuman kuat itu kedengaran sehingga kampung sebelah, Kampung Bunut Mak Teh sehingga ramai yang keluar untuk melihat apa berlaku. Penduduk kemudian menghubungi polis dan bomba untuk kerja menyelamat,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah Machang 1 itu.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kedua-dua kenderaan itu disyaki dipandu laju sebelum bertembung.Menurutnya, jenazah Abdul Wahab dan Abd Kadir sudah ditun
tut keluarga masing-masing untuk dikebumikan di Taman Segambut, Kuala Lumpur dan Ulu Cheka, Jerantut. Beliau meminta orang ramai yang melihat kemalangan berkenaan menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. 

Wednesday, 30 May 2012

BENARKAH GAJI NAZMI RM 300,000 SEBULAN

Lumayan bukan ... Jika Safee Sali menerima gaji bulanan berjumlah Rupiah 350 juta (RM118,000) sebulan, wonderkid Malaysia yang baru sahaja mengikat kontrak tiga tahun bersama kelab Portugal, Beira-Mar, Nazmi Faiz pula dikhabarkan bakal menerima gaji bulanan sebanyak RM 300,000.

Mencetus fenomena dalam bola sepak negara selepas terpilih sebagai pemain untuk kelab liga divisyen satu Portugal sehingga Jun 2015 nanti, gaji pemain tengah Harimau Muda itu kini menjadi topik perbualan hangat penyokong serta pemerhati bola sepak tempatan. Meskipun khabar angin mengenai gaji yang bakal diterima oleh Nazmi masih belum dapat disahkan, namun, sekiranya benar, pemain muda yang bakal mencecah 18 tahun 16 Ogos nanti akan bergelar pemain termuda Malaysia berstatus jutawan selain Safee Sali.

Sementara itu, ejen Nazmi, Marco Guimaraes, mengakui jumlah gaji yang bakal ditawarkan kepada tonggak skuad bawah 22 tahun itu adalah sangat lumayan bagi seorang pemain muda dari Asia Tenggara, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar yang akan diterima oleh anak buah Ong Kim Swee itu."Terpulang kepadanya (Nazmi) sama ada untuk mendedahkannya atau tidak, katanya.

Dalam perkembangan lain, akan mula menyertai latihan bersama Beira-Mar selepas pusingan kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun yang akan bermula 21 Jun sehingga 4 Julai nanti, Nazmi akan turut ditemani pengendali Harimau Muda, Ong kim Swee. Selain menguruskan soal kontrak dengan kelab tersebut, Kim Swee yang berada di sana selama seminggu akan turut membantu anak buahnya menyesuaikan diri sebagai pemain professional di kelab Eropah itu.

KEMBAR 3 ANTARA MANGSA KORBAN KEBAKARAN DI DOHA

Sungguh menyedihkan  dan menyayat hati bila laporan dikeluarkan menyatakan 13 kanak-kanak adalah antara sekurang-kurangnya 19 yang menjadi mangsa korban  kebakaran di sebuah pusat beli belah popular di negara Teluk berkenaan.


Angka kematian dalam kebakaran di pusat beli-belah Villagio di sini diumumkan di laman web kementerian berkenaan petang kelmarin.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Syeikh Abdullah bin Nasser Al-Thani berkata, sebahagian mangsa mati ketika pasukan penyelamat berusaha memasuki tempat jagaan harian kanak-kanak di dalam bangunan itu."Kami berusaha sedaya upaya tetapi apabila kami sampai di tempat kejadian, kanak-kanak terbabit telah terperangkap. Kami memohon maaf atas yang berlaku," katanya di sini.

Media tempatan dan asing melaporkan, antara mangsa yang maut termasuk empat kanak-kanak Sepanyol, seorang warga Perancis dan pasangan kembar tiga berusia dua tahun dari New Zealand.Turut hilang nyawa dalam tragedi ngeri tersebut ialah empat orang guru dan dua petugas pertahanan awam, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan.
Kenyataan sama menyebut, 17 orang lagi, kebanyakannya merupakan pekerja penyelamat, cedera dalam kebakaran tersebut.Terdahulu, beberapa saksi berkata, mereka melihat asap tebal naik ke udara dari pusat beli-belah berkenaan sekitar tengah hari kelmarin.

Kementerian Dalam Negeri memberitahu, kebakaran dapat dipadamkan beberapa jam kemudian. - Agensi



Tuesday, 22 May 2012

JUTAAN SAKSIKAN GERHANA MATAHARI CINCIN



Gerhana matahari Anulus atau gerhana matahari cincin selama empat minit setengah, sejauh 240 hingga 300 kilometer dari Bumi dapat disaksikan di sekitar Asia Pasifik hingga barat Amerika Syarikat. Menurut Portal Pendidikan Sains Angkasa sebelum ini, gerhana matahari berlaku apabila bulan melintasi antara bumi dan matahari, serta melindungi secara keseluruhan atau sebahagian imej matahari daripada pencerap yang berada di bumi.
Gerhana matahari Anulus berlaku apabila diameter ketara seperti bulan lebih kecil daripada cakera matahari menyebabkan matahari kelihatan seperti anulus (cincin) dan menyekat kebanyakan daripada cahaya matahari. Menurut portal itu, fasa anulus akan dapat dilihat dari kawasan pantai China, utara Taiwan, selatan Jepun dan bahagian barat Amerika Syarikat serta Kanada.
Beribu-ribu orang di seluruh Asia menyaksikan keajaiban tersebut.Gerhana dapat dilihat jelas di sekitar Tokyo, sebelum melintasi rantau pasifik, ia betul-betul di bawah Pulau Aleutian Alaska dan sepanjang Oregon, California, Amerika Syarikat. Awan yang sedikit ketika gerhana bermula menyebabkan keadaan menjadi sempurna apabila ramai yang dapat menyaksikan gerhana dari awal hingga akhir.
Kanak-kanak yang menyaksikan gerhana tersebut, Kaori Sasaki berkata, kejadian gerhana ini adalah sesuatu yang misteri dan ini kali pertama dia menyaksikan fenomena ini. Pihak Panasonic, salah sebuat pengeluar elektronik terbesar Jepun turut menghantar satu ekspedisi ke puncak Gunung Fuji bagi menyaksikan fenomena gerhana menggunakan peralatan berkuasa solar.

Jurucakap syarikat tersebut berkata, matlamat utama mereka adalah untuk menyiarkan fenomena yang dianggap tercantik di dunia dari puncak tertinggi di Jepun. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi penduduk di sekitar Hong Kong apabila beratus-ratus berkumpul di sepanjang pantai Kowloon, tidak dapat menyaksikan fenomena tersebut apabila terdapat awan tebal, yang menghalang pemandangan ketika keajaiban tersebut.

NAZMI AKHIRNYA BERMAIN DENGAN KELAB PORTUGAL



Tahniah buat permain muda iaitu Nazmi Faiz selepas beliau mencipta sejarah apabila menjadi pemain Malaysia yang pertama bermain di Eropah. Pemain muda ini telah menandatangani kontrak bersama Beira-Mar untuk tiga musim yang akan datang.Nazmi, 17, pemain harapan remaja Asia itu telah menandatangani kontrak bersama Beira-Mar sehingga June 2015.

Nazmi hadir untuk sesi pemilihan minggu lepas telah berjaya menambat hari pihak pengurusan kelab tersebut yang merasakannya mempunyai potensi yang amat besar di Eropah. Pada usia yang begitu muda, pemain kebangsaan Malaysia bawah 21 tahun dan 23 tahun ini telah menjadi pemain pertama yang berhijrah ke kelab itu.

“Sukar saya nak gambarkan perasaan ini. Ini adalah peluang terbaik saya dan saya telah berjaya. “Bermain di Eropah adalah impian saya selama ini. Saya berasa amat gembira dan berkeyakinan tinggi untuk terus maju ke hadapan. Saya sukakan Beira-Mar semenjak pertama kali menjejakkan kaki di sini.” kata pemain Malaysia itu.

“Saya berasa amat lega diterima bermain dan akan sentiasa mematuhi arahan pengurus, Ulisses Morais dan Kapten Pasukan, Hugo. Teguran dan didikan mereka amat berharga buat saya. “Saya juga akan bermain sebaik mungkin untuk menjadi yang terbaik dan membanggakan negara saya, Malaysia.” kata Nazmi.

PEMUDA MAUT DIBUNUH SAHABAT BAIK DIDEPAN IBU SENDIRI

Seorang remaja bukan hanya maut dikelar sahabat baik, malah lebih tragis lagi apabila insiden itu berlaku depan mata ibunya sendiri. Dalam kejadian itu, Nurul Amin Muhamed Ishak, 22, seorang buruh kasar, mati serta-merta di tempat kejadian di Jalan Sentosa di sini akibat pendarahan pada leher setelah dikelar dengan pisau. Menurut ibunya, Saemah Mogeri, 43, sebelum peristiwa berdarah itu berlaku, mangsa yang mesra dipanggil Abang mahu membawa dia bersemuka dengan dua sahabat baiknya untuk mendapatkan penjelasan berhubung insiden rumah mereka dipecah masuk minggu lalu.


Pemuda malang 


“Dua sahabat baik Abang ceroboh rumah kami Selasa minggu lepas dan cuba mencabul kehormatan saya dan adik perempuannya. Disebabkan itu, Abang marah dan mahu bersemuka dengan mereka demi mempertahankan maruah kami. “Abang berjanji bertemu dengan mereka di Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR) berdekatan dengan rumah jam 8.30 malam. Disebabkan jarak rumah kami dengan kompleks itu hanya 150 meter, arwah ajak saya pergi bersamanya,” katanya.

Saemah berkata, apabila dua sahabat baik anaknya tiba di lokasi yang dijanjikan dengan menaiki motor, Abang segera meminta penjelasan mengapa mereka tergamak melakukan perkara tersebut kepada keluarganya. “Ketika arwah sedang bercakap, secara tiba-tiba salah seorang sahabat baiknya itu pergi ke motosikal lantas mengambil pisau sebelum meluru mengelar leher arwah dari depan.

              Tempat kejadian iaitu di perkarangan
         Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR)

“Kejadian berlaku terlalu pantas. Saya tergamam dan mampu menjerit nama Abang. Ketika itu darah membuak-buak keluar daripada leher arwah. “Saya hampir pitam melihat kejadian tidak diduga itu, namun masih sempat mendakap mangsa yang kemudian terkulai layu. Pakaian saya habis dibasahi darah arwah,” katanya. Menurut Saemah, akibat panik, dua sahabat anaknya itu terus melarikan diri, manakala beberapa pemuda yang berada di dalam kompleks sukan berkenaan bergegas keluar sejurus mendengar jeritannya dan segera memanggil polis serta ambulans.

Sementara itu, Ketua Polis Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali ketika dihubungi berkata, pihaknya hanya akan memberi kenyataan rasmi dalam sidang media, hari ini.

AKIBAT TERTEKAN KEHILANGAN KERJA LELAKI SANGGUP CAMPAK 2 ANAK DARI TINGKAT 6


Seorang lelaki mencampak dua anaknya dari balkoni apartmen mereka sebelum dia sendiri melompat membunuh diri kerana tertekan akibat kehilangan kerja, lapor media semalam. Marco Turrini mencampak bayi perempuannya - berusia 14 bulan - dan anak lelaki berusia empat tahun dari tingkat enam rumah mereka di Brescia, Lombardy, di utara Itali.

Saksi berkata, sebelum itu Turrini, 41, bertengkar dengan isterinya. Sumber polis berkata, selepas mencampak anaknya ke bawah, bekas kakitangan pengiklanan yang kehilangan kerja 18 bulan lalu itu turut cuba menolak isterinya ke luar. Selepas gagal, katanya, Turrini melompat dari tingkat enam apartmen berkenaan dan mati di tempat kejadian.

“Dua anak Turrini masih hidup selepas terhempas ke bawah, tetapi gagal diselamatkan kerana cedera parah,” katanya. Sumber itu berkata, isteri Turrini bekerja sebagai jururawat dan berselisih faham dengan lelaki terbabit. “Wanita itu kini dirawat di hospital kerana terkejut,” katanya.


Wednesday, 16 May 2012

PENDATANG SANGGUP DUDUK DALAM BONET SELAMA 20 JAM


Pendatang tanpa izin memang diketahui sanggup melakukan apa saja asalkan dapat menyusup masuk ke Itali, tetapi penemuan terbaru semalam dianggap begitu luar biasa. Seorang pemuda Afghanistan sanggup bersembunyi dalam bonet kereta dengan posisi mengerekot selama 20 jam.

Menurut polis, pemuda berusia 18 tahun dan tidak didedahkan identitinya itu berharap dapat masuk ke Itali melalui Bari dengan cara begitu. Bagaimanapun, kata sumber, usahanya gagal apabila pegawai imigresen melakukan pemeriksaan mengejut dan menemuinya dalam bonet kereta Nissan berkenaan. “Ketika ditemui, pemuda itu bersembunyi di celah enjin kereta dengan berbekalkan sebotol air dan sehelai selimut,” katanya.

Jurucakap imigresen Bari berkata, mereka menahan kereta berkenaan selepas mendapati pemandu dan penumpangnya – kedua-duanya warga Bulgaria – dalam keadaan cemas. Katanya, kereta itu baru saja tiba di Bari menaiki feri dari Greece. Jurucakap itu berkata, pemandu terbabit dikenali sebagai Kaloyanov Ivaylo, 24, manakala temannya Georgieva Stanislava, 39.

“Kedua-dua mereka ditahan, manakala pendatang tanpa izin itu terpaksa dibantu keluar dari bonet berkenaan kerana berada dalam keadaan separuh sedar,” katanya. Pemuda Afghanistan itu kemudian dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Feri berkenaan berlepas dari Patras pada pagi Ahad sebelum singgah di Igoumenitsa dan menyambung perjalanan ke Bari. Laluan itu memang popular di kalangan penyeludup manusia yang mengenakan caj minimum 5,000 euro (RM19,664) untuk masuk ke Itali.

SAIFUL APEK AKHIRNYA AKUR KEPUTUSAN MAHKAMAH

Rentetan dari kisah yang mengatakan Saiful Apek bertegas ingin menyaman David Teo , berita terbaru lain plak jadi nya bila pelakon dan pelawak popular tersebut akhirnya akur dan reda apabila keputusan mahkamah yang membatalkan tuntutan beliau terhadap penerbit, David Teo yang didakwa gagal melunaskan pulangan pelaburannya berjumlah RM200,000 sebelum ini.
“Apalagi saya boleh buat apabila, saya mungkin itu bukan rezeki saya dan saya tidak mahu membangkitkan lagi isu itu lagi.“Bagaimanapun, saya tetap berbangga dengan cara saya memperjuangkan isu tuntutan ini.“Saya mungkin ‘buta kontrak’ tetapi jika diberi skrip boleh saya faham malahan, ramai artis yang tidak faham isi kandungannya,” katanya pada sidang media hari ini.
Tuntutan tersebut berkaitan bayaran untuk filem Lady Boss dan Anak Mami Kembali selepas dia yang membintangi kedua-dua filem berkenaan di mana Apek melaburkan wang hasil lakonannya RM100,000 sejak 2005.Selain itu, Apek turut mendakwa Teo gagal menyiapkan album nyanyiannya berdasarkan kontrak yang ditandatangani pada tahun sama.

Sehubungan itu, Apek bercadang mahu menubuhkan sebuah biro yang dikenali sebagai Kesatuan Anak Seni (Kemas) yang memperjuangkan hak-hak anak seni melalui saluran yang betul.“Saya menyeru supaya mana-mana artis yang mempunyai masalah untuk tampil berjumpa dengan saya dan saya akan jadi orang tengah untuk utarakan masalah itu kepada orang yang lebih pakar dalam bidang tersebut.

“Kalau boleh biarlah kita bergabung untuk menuntut hak kita sebagai artis dan mendidik orang yang berkarya mengenai undang-undang mengenai perjanjian yang berkaitan anak seni.“Semua krew penerbitan yang terlibat perlu lebih peka dengan isu kebajikan dan undang-undang,” katanya lagi.

KOREK TONG SAMPAH CARI MAKANAN ..




Pelik dan menjijikan . Namun bagi pencari sisa  sisa makanan yang dibuang dalam tong sampah untuk dimakan ini merupakan pekara biasa untuk mereka .
 Mereka ini merupakan kumpulan yang dikenali sebagai freegan yang tidak membelanjakan wang untuk membeli makanan. Freegan ialah gabungan dua perkataan dalam bahasa Inggeris iaitu free bermaksud percuma dan vegan yang merujuk kepada para pemakan sayur.

Kumpulan itu akan mencari pelbagai jenis makanan terbuang sama ada untuk disimpan atau dimakan. Anggota-anggota kumpulan itu turut membuat makanan seperti sandwic daripada sisa makanan. Matlamat kumpulan itu ialah untuk membangkitkan kesedaran orang awam tentang isu pengambilan makanan yang berlebihan. - Agensi