Seorang remaja bukan hanya maut dikelar sahabat baik, malah lebih tragis lagi apabila insiden itu berlaku depan mata ibunya sendiri. Dalam kejadian itu, Nurul Amin Muhamed Ishak, 22, seorang buruh kasar, mati serta-merta di tempat kejadian di Jalan Sentosa di sini akibat pendarahan pada leher setelah dikelar dengan pisau. Menurut ibunya, Saemah Mogeri, 43, sebelum peristiwa berdarah itu berlaku, mangsa yang mesra dipanggil Abang mahu membawa dia bersemuka dengan dua sahabat baiknya untuk mendapatkan penjelasan berhubung insiden rumah mereka dipecah masuk minggu lalu.
Pemuda malang |
“Dua sahabat baik Abang ceroboh rumah kami Selasa minggu lepas dan cuba mencabul kehormatan saya dan adik perempuannya. Disebabkan itu, Abang marah dan mahu bersemuka dengan mereka demi mempertahankan maruah kami. “Abang berjanji bertemu dengan mereka di Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR) berdekatan dengan rumah jam 8.30 malam. Disebabkan jarak rumah kami dengan kompleks itu hanya 150 meter, arwah ajak saya pergi bersamanya,” katanya.
Saemah berkata, apabila dua sahabat baik anaknya tiba di lokasi yang dijanjikan dengan menaiki motor, Abang segera meminta penjelasan mengapa mereka tergamak melakukan perkara tersebut kepada keluarganya. “Ketika arwah sedang bercakap, secara tiba-tiba salah seorang sahabat baiknya itu pergi ke motosikal lantas mengambil pisau sebelum meluru mengelar leher arwah dari depan.
Tempat kejadian iaitu di perkarangan
Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR)
|
“Kejadian berlaku terlalu pantas. Saya tergamam dan mampu menjerit nama Abang. Ketika itu darah membuak-buak keluar daripada leher arwah. “Saya hampir pitam melihat kejadian tidak diduga itu, namun masih sempat mendakap mangsa yang kemudian terkulai layu. Pakaian saya habis dibasahi darah arwah,” katanya. Menurut Saemah, akibat panik, dua sahabat anaknya itu terus melarikan diri, manakala beberapa pemuda yang berada di dalam kompleks sukan berkenaan bergegas keluar sejurus mendengar jeritannya dan segera memanggil polis serta ambulans.
No comments:
Post a Comment