SEIRING dengan perkembangan teknologi yang berlaku pada masa ini, penggunaan laman sosial dilihat sebagai medium utama serta menjadi alat komunikasi yang paling popular.
Bermula dengan era MySpace dan Friendster, kini laman sosial yang menjadi pilihan ramai adalah Facebook dan Twitter dengan pengguna yang sudah mencecah jutaan orang tanpa mengenal usia.
Laman sosial Facebook misalnya yang kini sudah memiliki sehingga 500 juta pengguna di seluruh dunia sehingga menjadikan pengasasnya Mark Zuckerberg sebagai antara manusia yang terkaya di dunia.
Melihat kepada perkembangan yang luar biasa itu, kini muncul pula laman sosial terbaharu ciptaan anak tempatan iaitu Mface yang diasaskan dan dipengerusikan oleh seorang pengacara popular iaitu Datuk AC Mizal.
Dalam satu majlis pelancaran yang berlangsung di Hotel Doubletree by Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini, pengacara berkenaan berkesempatan untuk menjelaskan tentang laman sosial yang dihasilkannya itu.
Sedikit tentang laman sosial ini?DATUK AC MIZAL: Mface adalah sebuah laman sosial terbaharu dengan konsepnya yang hampir sama dengan kebanyakan laman sosial yang lain. Apa yang membezakannya cuma reka bentuk paparan laman antara sesuatu laman web itu. Namun, saya yakin Mface yang bermaksud Malaysian Face ini mampu menjadi tarikan kepada para pengguna di negara ini.
Bagaimana boleh timbul idea untuk menghasilkan Mface?
Sebenarnya idea ini mula ditimbulkan bersama seorang individu iaitu Tedy Teow yang juga rakan kongsi dan pengasas bersama laman sosial Mface. Saya akui kewujudan laman sosial ini adalah ilham daripada laman Facebook yang mana fungsinya pengguna boleh mengemaskini status, maklumat terkini dan gambar dengan orang ramai.
Dengar kata anda turut mengundang 60 orang artis untuk menjayakan Mface ini?
Inilah satu lagi kelainan yang cuba dilakukan untuk membezakannya dengan laman sosial yang lain. Apa yang ingin saya tekankan, 60 orang artis yang saya undang ini adalah pemilik bersama serta rakan kongsi kepada Mface.Setiap artis yang diundang, secara automatik mereka akan diberikan sebanyak 100,000 unit syer. Jika pengguna Mface nanti sudah mencecah satu juta pengguna, ia akan disenaraikan di bursa saham Malaysia.
Petikan dari Kosmo
09 Jan 2012
No comments:
Post a Comment