MILLIE dibawa ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut. |
Millie yang bekerja di sebuah premis perniagaan di pekan kecil Batu Niah, berkata dia sedang duduk di atas jeti sambil membasuh pakaian apabila tiba-tiba, seekor buaya besar terus menyambar kaki kanan serta mengheretnya ke dalam air. Panik diheret reptilia sepanjang 10 meter itu, Millie terus menjerit dan meronta serta sempat menendang kepala buaya berkenaan menggunakan kaki kiri ketika berada di dalam air.
“Selepas ditendang, buaya terbabit melepaskan kaki saya. Saya berenang dan naik semula ke jeti tanpa mempedulikan kaki yang sakit,” katanya ketika ditemui Berita Harian, semalam.
Walaupun dia sudah berada di atas jeti, Millie berkata, buaya itu masih berpusing di sekitar kawasan berkenaan dan beberapa kali cuba menerkamnya.
Wanita itu yang terpaksa merangkak mendapatkan bantuan jiran di Rumah Panjang Rh Nor Ebit yang terletak 100 meter dari jeti berkenaan, hampir putus jari telunjuk kaki kanannya akibat kejadian itu.
Dia dirawat di Klinik Kesihatan Batu Niah sebelum dirujuk ke Hospital Miri. Suami mangsa, Ladd Anak Lebang, 47, berkata rumah panjang berkenaan tidak dilengkapi kemudahan air walaupun terletak di hilir pekan Niah, menyebabkan penduduk terpaksa mandi, membasuh pakaian dan mengambil air untuk memasak dari Sungai Niah.
“Kebelakangan ini ada beberapa buaya besar kelihatan di jeti berkenaan, namun belum pernah mencederakan penduduk kampung sehinggalah kejadian yang menimpa isteri saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment