TREND atau obsesi gila! Itulah yang berlaku sekarang apabila fenomena pelik mengiringi dunia kecantikan plastik yang kini beralih kepada kegilaan baru - mencacatkan kesempurnaan wajah dengan segala bentuk penampilan pelik yang sama sekali tidak boleh diterima akal.Buktinya - lidah diubah menyamai lidah cicak, gigi pontianak, hujung telinga tajam seperti karakter ‘Mr Spock’ malah yang terlebih berani, melakukan pembedahan menumbuhkan tanduk di kepala menerusi kaedah implan.
Percaya atau tidak, pembedahan seumpama itu semakin mendapat sambutan menyebabkan doktor yang sebelum ini sibuk dengan usaha mencantikkan wajah kini beralih haluan kepada teknik mencacatkan rupa.
Meraih populariti menerusi filem dan siri televisyen seperti Twilight, The Vampire Diaries dan True Blood, bukanlah sesuatu yang mengejutkan prosedur bertemakan pontianak
dianggap pencetus aliran.
Transformasi merubah wajah menjadi seperti pontianak, misalnya, hanya mengambil masa cuma 20 minit tanpa kesan bengkak atau lebam pada muka. Ia tidak menggunakan pisau sebaliknya cuma sejenis suntikan Selphyl yang menjadikan ketebalan kulit bertambah dalam masa beberapa minggu ketika kolagen baru dan saluran darah terbentuk. Tisu pelanggan sendiri yang melambatkan kesan penuaan secara semula jadi.
“Saya rasa tema yang begitu popular dalam industri hiburan kebelakangan ini menyebabkan wujudkan minat menggila terhadap peminat siri berkenaan,” kata pakar bedah perubatan swasta Amerika Syarikat, Dr Andre Berger, dipetik media tempatan, baru-baru ini.
Bukan saja hasilnya mengerikan malah prosedurnya juga sudah cukup untuk meremangkan bulu roma - suntikan disediakan dengan mengambil darah pesakit. Platelet dipisahkan daripada sel darah merah, kemudian dicampurkan dengan sejenis bahan dan disuntik ke bahagian badan diingini. Ia bertahan kira-kira 15 bulan dan bahagian yang disuntik akan kelihatan licin selepas dua atau tiga minggu.Sudah pasti, ketika proses itu dianggap selamat oleh sebahagian doktor, sekumpulan yang lain menyuarakan kebimbangan dengan kaedah itu.
“Salah satu masalah dengan darah sendiri ialah sesetengah orang pitam apabila darah mereka diambil. Selain itu, darah cenderung menyebabkan kegatalan pada bahagian disuntik dan kadang-kadang menyebabkan kesan lecur. Anda menyuntik darah ke bahagian yang tidak sepatutnya ada darah,” katanya yang juga Pengarah Pembedahan Kosmetik, Pusat Perubatan Maimonides di Brooklyn, New York.
Satu suntikan cuma berharga AS$1,500 (RM4,575), jauh lebih murah berbanding pembedahan menegangkan wajah.
Bagi yang mahu menjadi pontianak atau hantu jadian, pembedahan mendapatkan siung memerlukan pesakit membuang gigi asal dan siung palsu dimasukkan pada gusi.
Selain itu, kaedah membelah lidah adalah antara aliran terkini yang popular atau digilai. Dalam prosedur itu, lidah dibelah daripada hujung hingga ke belakang sepanjang tiga hingga lima sentimeter mengikut kehendak pesakit.Pembedahan menajamkan cuping telinga dikatakan antara paling pelik tetapi mula mendapat sambutan. Ia membabitkan sedikit bahagian atas cuping dipotong dan lukanya dijahit menjadikan ia agak tajam. Ia dicetuskan pakar pembedahan plastik new York, Dr Lajos Nagy.
“Menajamkan telinga menerusi pembedahan plastik bukan saja menambah daya penarik wajah tetapi turut memperbaiki pengalaman mendengar muzik,” katanya menerusi laman web. Dr Nagy juga bercadang memperkenalkan kaedah itu di Hungary.Bagaimanapun, pandangan Dr Nagy disangkal sekumpulan pakar perubatan lain yang menegaskan pembedahan itu berbahaya kerana ia tidak boleh diperbaiki dan meninggalkan kecacatan kekal pada telinga.Kegilaan mengubah struktur wajah hingga mencacatkan rupa mungkin masih baru tetapi kaedah itu sudah mengumpul pengikut tersendiri. Jika ada yang tertanya-tanya mengapa kaedah seumpama itu menjadi pilihan, Eric Sprague, mungkin boleh memberi jawapan.Sprague, 39, menjadi antara segelintir orang pertama melakukan pembedahan membelah lidah yang dilihat menjadi penyebab kepada populariti aliran aneh itu. Bukan sekadar lidah, Sprague, turut mengubah dirinya menjadi cicak dengan tatu penuh di seluruh tubuh, lima tanduk yang diletakkan di bawah kulit kening dan mengasah gigi menjadi siung.
Tidak ketinggalan Dennis Avner, dikenali sebagai lelaki kucing, yang rela menjalani pembedahan dalam usahanya membuatkan wajahnya kelihatan seperti haiwan dikagumi, harimau.Bagaimanapun, kedua-dua lelaki berkenaan masih tiada apa-apa dibandingkan dengan perubahan yang dilakukan Maria Jose Cristerna, 35, yang berasal dari Mexico. Peguam terlatih yang lahir dalam keluarga berpegang teguh pada agama itu mengubah dirinya menjadi pontianak selepas bertahun menderita didera oleh suaminya.
Cristerna yang berkahwin pada usia 17 tahun membuat tatu hampir di seluruh tubuh. Tidak cukup dengan itu, dia melakukan pembedahan meletakkan tanduk titanium pada tengkorak dan pembedahan gigi untuk mewujudkan siung.
“Tanduk saya sebagai simbol kekuatan dan dilakukan tanpa bius. Saya buat taring kerana sukakan pontianak dan mengubah warna mata kerana itu yang saya inginkan,” katanya.Namun itu bukan pengakhiran perubahannya kerana dia mahu menambah tanduk titanium di belakang kepala.Turut mencipta nama menerusi tabiat pelik ini ialah Steve Haworth yang memegang gelaran Guinness World Record sebagai orang paling banyak melakukan perubahan pada tubuh.
“Ramai orang yang ada visi dalaman mengenai diri masing-masing dan mahu menunjukkan kepada dunia sekitar mereka. Saya gembira dapat menjadi artis yang boleh menunjukkan perkara itu,” katanya.
Apa pun alasannya, usaha mencacatkan rupa tidak dapat diterima akal waras dan kemungkinan orang tidak siuman turut berfikir banyak kali sebelum menyerah diri melakukan sesuatu yang tidak ada jalan pulang. Jadi, dalam kategori manakah Sprague, Avner, Cristerna dan Haworth berada?
No comments:
Post a Comment