Keadaan berjerubu yang dilihat semakin teruk menyebabkan tiga kawasan di Selangor mencatatkan tahap kualiti udara tidak sihat akibat musim panas sekarang dan disyaki ekoran pembakaran terbuka di utara dan tengah Sumatra. Pelabuhan Klang mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tertinggi melebihi paras tidak sihat di Semenanjung dengan bacaan 147 pada jam 5 petang, semalam. Berdasarkan bacaan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) yang dimuatkan di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), turut diisytiharkan indeks tidak sihat ialah Kuala Selangor (IPU 129) Shah Alam (120) dan Cheras (105). Mengikut kenyataan dikeluarkan JAS, kemerosotan kualiti udara dikesan pada 14 Jun di stesen Alor Setar dan Sungai Petani, Kedah; Seberang Jaya, Pulau Pinang dan di Pelabuhan Klang, Selangor.
Tompok panas dikesan di beberapa kawasan di tengah dan utara Sumatera semasa musim panas sekarang. Kebiasaannya aktiviti pembakaran aktiviti dijalankan untuk membersihkan kawasan pertanian. Juga turut dikesan ialah aktiviti pembakaran terbuka di kawasan di selatan, tengah dan pantai timur Semenanjung Malaysia.
Sementara itu,
Bernama juga melaporkan, kemerosotan kualiti udara yang sedang dialami di Lembah Klang dan Perak hari ini disebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia. Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan hari ini menjangkakan keadaan jerebu ini akan berterusan untuk beberapa hari akan datang berikutan cuaca yang diramal kering di beberapa negeri di utara dan pantai barat Semenanjung.
Katanya, laporan imej satelit NOAA-18 yang dikeluarkan oleh Asean Specialised Meterological Centre menunjukkan bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia meningkat sejak Selasa lepas.Imej satelit itu juga menunjukkan asap jerebu dibawa angin dari kawasan titik panas di Wilayah Riau, Sumatera Tengah menghala ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Menurut kenyataan itu, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 51 buah stesen pengawasan kualiti udara JAS yang direkodkan pada jam 11 pagi ini menunjukkan tiga stesen, Kuala Selagor (IPU 131), Pelabuhan Klang (IPU 130) dan Shah Alam (IPU 106) berada pada tahap tidak sihat. Bacaan IPU di Seri Manjung, Perak pula dicatatkan pada tahap sederhana 94.
AS telah mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Kebakaran Terbuka di semua negeri serta mempertingkatkan pelaksanaan prosedur standard operasi Program Pencegahan Tanah Gambut yang Mudah Terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka.
Orang ramai juga diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727. Bacaan IPU antara 0-50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).