SUPPORT PENAJA

Wednesday, 16 May 2012

KOREK TONG SAMPAH CARI MAKANAN ..




Pelik dan menjijikan . Namun bagi pencari sisa  sisa makanan yang dibuang dalam tong sampah untuk dimakan ini merupakan pekara biasa untuk mereka .
 Mereka ini merupakan kumpulan yang dikenali sebagai freegan yang tidak membelanjakan wang untuk membeli makanan. Freegan ialah gabungan dua perkataan dalam bahasa Inggeris iaitu free bermaksud percuma dan vegan yang merujuk kepada para pemakan sayur.

Kumpulan itu akan mencari pelbagai jenis makanan terbuang sama ada untuk disimpan atau dimakan. Anggota-anggota kumpulan itu turut membuat makanan seperti sandwic daripada sisa makanan. Matlamat kumpulan itu ialah untuk membangkitkan kesedaran orang awam tentang isu pengambilan makanan yang berlebihan. - Agensi




NENEK 15 CUCU DICEKUP BERKHALWAT

Seorang nenek kepada 15 cucu ditahan bersama seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Pandan Perdana, di sini dalam operasi cegah maksiat, awal pagi semalam. Dalam pemeriksaan jam 1 pagi itu, wanita warga Indonesia berusia 63 tahun itu bersama teman lelakinya warga Bangladesh berusia 41 tahun ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, serbuan ke atas rumah terbabit dilakukan hasil maklumat orang ramai. “Penguat kuasa agama mengetuk pintu bilik rumah berkenaan beberapa kali sebelum dibuka seorang lelaki yang hanya berseluar pendek beberapa minit kemudian,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, wanita yang mempunyai lima anak itu memberi alasan kononnya dia menumpang membasuh baju di rumah sewa lelaki terbabit kerana rumah cucunya mengalami masalah bekalan air. “Kami mendapati pasangan berkenaan tidak mempunyai sebarang hubungan mahram. Difahamkan mereka saling mengenali sejak tujuh bulan lalu. “Lelaki yang sudah berkahwin itu merupakan pekerja di sebuah restoran di ibu kota,” katanya.

Dalam operasi berasingan, sepasang kekasih dicekup di sebuah pangsapuri di sini pada jam 1.50 pagi, semalam. Ahmad Nawi berkata, pasangan berusia 24 dan 30 tahun itu ditahan anggota penguat kuasa selepas dipercayai pasangan itu berasmara dalam bilik sewa milik lelaki berkenaan.

“Perempuan itu memberi alasan berjumpa dengan teman lelakinya untuk mengadu berhubung masalah tempat kerjanya. “Ketika serbuan perempuan itu berpakaian lengkap, manakala pasangannya hanya berseluar pendek,” katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Pandan Indah untuk membuat laporan. Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

PERNIAGA TOKEK DIBEBASKAN SELEPAS SETAHUN DICULIK .


Nazarrudin mencium ibunya, Siti Hamdah
dan anak-anaknya ketika dipertemukan semula, semalam
Peniaga cicak tokek, Mohd Nazarrudin Saidin, 39, yang meloloskan diri dan diselamatkan selepas lebih setahun diculik di Pulau Jolo, selatan Filipina, menyifatkan diberi peluang kedua untuk hidup bersama keluarga tercinta. Nazarrudin berkata, sebelum ini dia pernah melarikan diri dan bersembunyi di hutan paya bakau selama sebulan.

Katanya, dia melarikan diri pada hari ke-10, Hari Raya Aidilfitri, 8 September tahun lalu.Dia yang memiliki enam anak berusia antara 5 dan 16 tahun berkata, tindakan nekad itu dilakukan kerana rasa rindu yang tidak terhingga kepada keluarga di tanah air.

“Saya nekad biarpun menyedari nyawa terancam. Sebaik berjaya meloloskan diri, saya bersembunyi di kawasan hutan paya bakau berseora­ngan selama sebulan.“Saya kepenatan dan kurang makan. Saya berputus asa dan kembali semula ke perkampungan tersebut,” katanya pada sidang media di pejabat Kelab Putera 1Malaysia, semalam. Katanya, sebagai hukuman, kakinya digari selama dua hari.

Menurutnya, selepas itu, dia tidak terfikir untuk melarikan diri sehinggalah dibantu orang kampung, kira-kira jam 9 malam, Sabtu lalu.Katanya, dia kemudiannya dihantar oleh penduduk kampung ke sempadan berhampiran perairan Sandakan, Sabah dengan menggunakan bot, yang mengambil masa 10 jam perjalanan. Di situ, Kelab Putera 1Malaysia, diketuai Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim membantu Nazaruddin dan membawanya pulang ke pangkuan keluarga.

Ketika menceritakan detik awal diculik, Nazarrudin berkata, dia bersama jurupandunya, Abdul Ghafar Akkirullah diculik 10 lelaki bersenjata api di sebuah rumah di Indanan, 8 Mei tahun lalu. “Kami ditempatkan di sebuah rumah. Di luar pula, ada orang bersenjata sedang berkawal. Selama di sana, kami diberi makan dan minum. Saya juga membantu mereka bercucuk tanam,” katanya. Nazarrudin juga mendedahkan, peniaga ikan warga Malaysia, Pang Chong Pong yang diculik di Pondohan Lok Angki, Sitangkai di Kepulauan Tawi-Tawi, se­latan Filipina, Oktober tahun lalu, turut ditempatkan bersama dengannya.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, pihaknya tidak memberikan wang tebusan walaupun sebelum ini, kumpulan penculik meminta bayaran sebagai pembebasan Nazaruddin.“Memang sebelum ini Umno dan Kelab Putera 1Malaysia berusaha menjejak Nazarrudin. Itu bukan satu tindakan mudah, tetapi kami tetap berusaha.

“Kami juga tidak dapat masuk ke kawasan perkampungan itu dan mujur penduduk kampung membantu menyelamatkannya,” katanya.

Monday, 14 May 2012

ANWAR :PAKATAN TAWAR GAJI MINIMUM RM1,100


Pakatan Rakyat (PR) menawarkan gaji minimum RM1,100 jika diberi mandat menerajui Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kadar itu RM200 hingga RM300 lebih tinggi berbanding paras diumumkan oleh Kerajaan Pusat baru-baru ini.
Pada 30 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kadar gaji minimum RM900 bagi pekerja-pekerja di Semenanjung dan RM800 bagi mereka yang bekerja di Sabah dan Sarawak.Soal gaji minimum dilihat akan menjadi sebahagian daripada manifesto kedua-dua PR dan Barisan Nasional (BN) pada PRU13. Dalam Bajet 2012, Kerajaan Negeri Selangor yang diperintah PR mengumumkan gaji minimum RM1,500 bagi pekerja-pekerja syarikat berkaitan kerajaan.

Anwar berkata, mereka boleh menguatkuasakan kadar gaji minimum RM1,1000 kerana ia memadai dengan harga minyak dan barang diturunkan serta memberi pendidikan percuma.

“Gaji minimum yang diumum kerajaan Barisan Nasional tiada makna dengan harga gula dan barang melambung. “Sebab itu saudara kena faham gaji minimum RM900 dengan harga barang melambung naik, dengan pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dengan harga minyak tak turun memang tidak mencukupi bagi keluarga yang hidup di bandar,” kata beliau ketika berucap pada majlis Himpunan Pekerja bertemakan "Menjulang Martabat Pekerja" anjuran Kerajaan Selangor di Stadium Malawati di sini, malam tadi.

Anwar membidas kadar gaji minimum yang diumumkan oleh Najib akhir bulan lalu. Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang;Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Pengerusi Pas, Mohammad Sabu.Kerajaan Pusat mengadakan sambutan Hari Pekerja peringkat nasional pada Sabtu lalu. Anwar berkata, rakyat boleh menilai (kerajaan PR) dengan pengurusan ekonomi yang baik dan berhasrat membatalkan kos pengurusan PTPTN bagi memberikan pendidikan percuma sehingga ke institusi pengajian tinggi.

“Harga minyak turun, maknanya turun kos pengangkutan (dalam kadar) yang banyak, kaji semula perjanjian penjana tenaga bebas (IPP) dan kuasa eletrik yang berat sebelah.
“Bagi keluarga di bandar, dengan gaji minimum RM1,100, anak tiga memang tak cukup. Tetapi kita jelaskan, ini hanya permulaan minimum kerana kita tidak mahu kemukakan cadangan yang tidak dapat kita pertahankan.“Tapi ini peringkat awal, tetapi ini tidak berlaku tanpa perubahan keseluruhannya, kalau tak jimatkan belanja beli kapal selam ambil komisen, beli Sukhoi (jet pejuang) komisen, buat jalan RM1 bilion dia pakai RM44 bilion, buat stadium RM400 juta runtuh," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, pekerja, petani dan nelayan antara majoriti rakyat yang boleh menjadi hakim dalam mahkamah demokrasi."Sebagai contoh golongan ini (pekerja) adalah golongan penting untuk merubah politik di sesebuah negara dan pemimpin takut pada golongan ini."Rakyat tidak tahu hak sendiri sebagai pekerja dan seringkali diperbodohkan oleh kerajaan sekarang," katanya.

Abdul Hadi juga berkata, kerajaan sepatutnya menjaga kebajikan pekerja dari golongan bawahan kerana mereka yang menjadi nadi kepada kerajaan.“Makanan akar umbi iaitu (pekerja) perlu dijaga kerana merekalah yang menyalurkan darah (tulang belakang) kepada kerajaan. Kita janji, jika kita dapat tawan Putrajaya kita akan bela nasib mereka secara langsung atau tak langsung dan bukan nak bagi subsidi untuk menang pilihanraya saja," katanya lagi.Abdul Hadi turut menjanjikan jika PR menang pilihan raya nanti mereka akan menyediakan pendidikan percuma, rawatan kesihatan percuma dan tol dihapuskan.



MAUT TERJUN DARI POKOK KELAPA

Seorang lelaki menggemparkan orang ramai di Jeram, Selangor
semalam apabila bertindak nekad terjun dari
pokok kelapa. Dia mati di tempat kejadian.
Jika kawasan Ijok kecoh dengan demonstrasi penduduk yang tidak mahu kuil dan pondok komuniti dirobohkan pemaju, lain pula ceritanya di Jalan Budi, Sungai Buloh-Jeram di sini apabila ketenangan penduduk diganggu pekikan seorang lelaki yang mengugut mahu terjun dari pokok kelapa, semalam.Lelaki terbabit terjun dari pokok kelapa dengan ketinggian enam meter jam 10.45 pagi semalam.

Ketua Kampungnya, Hashim Mansor, 63, berkata, selepas penduduk kampung, imam masjid dan anggota polis gagal memujuk, lelaki berasal dari Sabah itu nekad terjun selepas dipercayai berada di atas pokok lebih lima jam.

Ketika kejadian, Hashim sekeluarga dikejutkan dengan jeritan meminta tolong jam 7 pagi semalam sebelum keluar melihat lelaki tidak dikenali berada di atas pokok kelapa di belakang rumahnya.“Jeritan lelaki itu menimbulkan tanda tanya penduduk dan kawasan belakang rumah saya menjadi kecoh selepas dipenuhi orang ramai. Ramai datang melihat kerana tidak percaya apa berlaku.“Saya tidak faham tindakan lelaki itu yang meminta pelbagai perkara tidak munasabah termasuk mahu anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Aman datang," katanya.

Beliau berkata, anggota polis cuba memujuk lelaki itu supaya turun sendiri dan berbincang mengenai masalahnya, namun sia-sia.