Mohd Saiful Bukhari Azlan berharap pihak pendakwa dapat mengemukakan
rayuan di Mahkamah Rayuan untuk mendapat pembelaan adil untuk dirinya.
Dalam tulisan terbaru di blognya, Mohd Saiful (gambar), 26, bekas
pembantu peribadi dan pengadu kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau
mempunyai hak untuk mendapat pembelaan yang adil hingga ke peringkat tertinggi
badan kehakiman.
"Semua sedia maklum keputusan pada hari ini tidak memihak kepada
saya. Namun saya redha dan menghormati keputusan ini...saya menerimanya dengan
hati yang tenang.
"Bagaimanapun aduan saya sebagaimana laporan polis yang dibuat
pada 28 Jun 2008 mempunyai hak untuk diadili hingga ke peringkat mahkamah
atasan. Oleh itu saya dan keluarga berharap agar pihak pendakwa raya dapat
memfailkan dan membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan," katanya.
Anwar, Ketua Umum PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh hari ini
dilepaskan dan dibebaskan dari tuduhan meliwat Mohd Saiful tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Diah membuat keputusan itu
dengan alasan tiada keterangan yang
menyokong keterangan mangsa selain pihak pendakwaan gagal membuktikan Anwar
melakukan perbuatan itu.
Anwar, 64, dituduh meliwat Mohd Saiful di Kondominium Desa Damansara di
Bukit Damansara di sini, antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Tambah Mohd Saiful, beliau percaya setiap perkara yang berlaku
"ada hikmahnya" selain ia ketentuan Allah.
"Sebagai hamba Allah, saya percaya bahawa setiap yang berlaku itu
pasti ada hikmahnya. Perancangan Allah pastinya jauh lebih hebat dari manusia.
"Iman dan keyakinan saya pada Allah tetap teguh. Allah Maha
Mengetahui lagi Maha Bijaksana." katanya.
Di akhir tulisannya, Mohd Saiful berkata beliau tidak akan sesekali
menyerah kalah.
No comments:
Post a Comment