Sukarelawan MERCY Malaysia dalam misi bantuan di Somalia, tergamam dan berdepan detik cemas seketika apabila sedas tembakan rambang dilepaskan berdekatan konvoi pacuan empat roda mereka ketika melalui kawasan Hamar Wayne, kelmarin.
Ketika insiden 12.10 tengah hari itu, konvoi tiga kenderaan itu sedang melepasi jalan belakang bekas bangunan Bank Negara Somalia bagi membuat tinjauan di sekitar Mogadishu.
Bagaimanapun, semua lapan Konvoi MERCY Malaysia yang diketuai Naib Presiden MERCY Malaysia, Norazam Ab Samah, ketika itu sedang meninjau sekitar Mogadishu bagi membolehkan empat wakil media dari New Straits Times Press (NSTP) dan Media Prima Berhad (Media Prima) merekodkan visual sekitar kawasan itu.Sebelum itu, wakil media terbabit meninjau program bantuan pemakanan tambahan bagi kanak-kanak kurang zat dan program psikososial Child Friendly Space MERCY Malaysia di Pusat Kesihatan Ibu dan Anak (MCH) Medina, enam kilometer dari lokasi insiden. Mereka kemudian bergerak ke pejabat Muslim Aid Somalia untuk makan tengah hari sebelum meronda sekitar kawasan Hamar Wayne bagi merekodkan visual dan gambar bagi tujuan dokumentasi.Pegawai Perhubungan MERCY Malaysia di Somalia, Yasir Mohamed Baffo, yang berada dalam kenderaan penulis berkata, kenderaan kawalan di belakang konvoi mengesahkan ia tembakan rambang.
“Ia tembakan rambang dan bukan disasarkan kepada konvoi MERCY. Jangan bimbang, semua langkah keselamatan sudah diambil,” katanya.
Tembakan rambang ke udara adalah biasa di Mogadishu, tetapi pertempuran antara puak bersenjata boleh berlaku pada bila-bila masa. Malah, sukar bagi individu asing mengenal pasti seseorang yang mempunyai senjata di jalanan sama ada anggota pasukan keselamatan atau sebaliknya, memandangkan tiada pakaian seragam khas untuk polis dan tentera.
Sebelum pengunduran puak penentang Al Shabaab pada Ogos lalu, keselamatan di kebanyakan kawasan di Mogadishu berada pada tahap lima, iaitu zon aktif perang yang amat bahaya untuk petugas kemanusiaan dan media.
Namun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menurunkan tahap keselamatan di beberapa kawasan sekitar Mogadishu kepada empat, yang memerlukan mana-mana NGO asing bergerak dengan pengawal bersenjata di kawasan dikuasai tentera kerajaan sementara dan pasukan pengaman Kesatuan Afrika (AU).
Sepanjang di Mogadishu, penulis mendapati bunyi tembakan dan letupan adalah biasa kerana beberapa kawasan seperti di Karaan masih zon aktif perang, yang menyaksikan pertempuran antara puak penentang dan tentera kerajaan.
No comments:
Post a Comment