SUPPORT PENAJA

Tuesday, 14 February 2012

MATI DARI SUDUT SAINS

  Kematian hadir tanpa duga. Tiada siapa tahu bila dan di mana. Namun ada insan yang kecewa dengan hidup dan berikhtiar untuk menamatkan riwayat hidup. Mereka sanggup terjun bangunan tinggi untuk mengakhiri hidup akibat putus cinta, meminum racun ketika dilanda tekanan hebat dalam diri serta mungkin menggunakan dadah berlebihan untuk lari dari masalah hidup. Mereka sangka, mati itu satu kemanisan dan penyelesaian segala kekusutan hidup. Kononnya biarlah mati terhina daripada hidup terseksa! Mereka tidak sedar mati begitu menyakitkan. Apatah lagi mati dalam keadaan kufur dan tidak beriman. Roh yang keluar amat busuk dan hodoh serta dikutuk oleh sekalian makhluk. Menurut sumber-sumber yang sahih, segala binatang dan makhluk boleh melihat roh melainkan manusia dan jin sahaja yang tidak diizinkan Allah untuk melihatnya. Roh itu dicaci dan terawang-awang dengan penuh kekesalan. Masyarakat umum mempercayai seseorang itu sudah mati apabila tiada lagi desah nafas dan berhenti sudah degup jantung. Manakala masyarakat Islam mempercayai bahawa mati bermaksud keluarnya roh dari badan. Dan persoalan demi persoalan berkaitan roh hanya mampu dijawab oleh Allah s.w.t.

Apa yang berlaku selepas mati

Badan kita terdiri dari jutaan sel. Sel-sel berkumpul membentuk lapisan demi lapisan. Lapisan sel inilah yang akhirnya membentuk tisu dan organ seperti jantung, kulit dan hati. Sel seolah-olah sebuah rumah yang mempunyai komponen yang sentiasa bekerja tanpa henti. Mitokondria, jasad Golgi, ribosom, nukleus, dansitoplasma bekerja 24 jam sehari selama 7 hari seminggu. Untuk bekerja secara normal, sel memerlukan tenaga yang diambil dalam bentuk tenaga ATP (Adenosine-5'-triphosphate). Sel juga memerlukan oksigen, fosfat, kalsium dan bahan makanan sebagaimana kita. Setiap apa yang kita makan akan disalurkan kepada sel-sel tertentu mengikut pengkhususan kerja mereka. Namun jika berlaku sebarang masalah dan bekalan ini tidak mencukupi, sel akan mati. Boleh dikatakan bahawa kematian bermula apabila roh dikeluarkan dari jasad. Jasad adalah pakaian roh. Maka apabila manusia mati, jantung berhenti mengepam darah ke seluruh badan. Sel-sel badan tidak lagi menerima oksigen yang diangkut oleh darah. Akibat ketiadaan oksigen, semua sel akan mati. Kematian sel bermula pada sel otak dan berakhir pada sel kulit. Dalam beberapa minit darah akan mengalir dari bahagian atas ke bahagian bawah dan berkumpul di situ akibat tarikan graviti bumi. Bahagian atas yang ketiadaan darah kelihatan pucat manakala bahagian bawah menjadi lebih gelap. Tempoh perubahan badan adalah berbeza-beza. Sel otak akan mati jika ia mengalami kekurangan oksigen selama tiga minit. Sel otot boleh bertahan setelah beberapa jam manakala sel tulang serta kulit boleh bertahan berhari-hari lamanya. Perlu diketahui bahawa badan bernafas secara aerobik iaitu dengan menggunakan oksigen. Maka apabila mati, proses respirasi aerobik akan terhenti dan menghalang penghasilan tenaga molekul yang diperlukan untuk melakukan tindakbalas biokimia otot. Ion kalsium akan bergerak ke sel-sel otot bagi menghalang otot berehat atau mengendur. Tapi apa yang berlaku ialah otot menjadi kaku dan keras, tidak bergerak lagi. Sel telah mati. Tidak mampu melawan bakteria daripada memusnahkan dirinya. Enzim dan bakteria sebenarnya sudah wujud dalam sel semasa kita masih hidup lagi. Oleh sebab itulah, diriwayatkan jika kita ditemukan dengan tanda berupa denyutan atau kedutan di antara dahi kanan dan kiri menandakan kematian kita akan terjadi dalam beberapa hari lagi, kita digalakkan berpuasa supaya badan kita tidak mengandungi banyak kotoran dan ini memudahkan memandikan mayat kita nanti.

Pengebumian jenazah

Mengurus jenazah orang Islam adalah wajib dan merupakan fardu kifayah yakni jika tiada orang mengurus jenazah tersebut, semua orang Islam di kawasan itu berdosa. Tetapi apabila sudah dikerjakan oleh beberapa orang Islam, maka orang Islam yang lain akan terlepas dari menanggung dosa. Di antara perkara yang wajib dilakukan ke atas jenazah adalah memandikan, mengkafankan, melakukan solat jenazah dan mengebumikannya. Berbeza dengan sesetengah agama, Islam tidak membenarkan membakar mayat. Mayat tidak boleh dibakar kerana ini dikhuatiri akan menyakitinya. Malah melakukan bedah siasat tanpa ada keperluan juga turut ditegah. Dari segi pengebumian, jenazah hendaklah ditanam sehingga tiada bau dapat dihidu oleh orang yang masih hidup dan tidak memudahkan binatang mengorek kembali lubang kubur tersebut. Orang yang syahid dalam peperangan, dikafankan dalam kain yang mereka terbunuh dalamnya melainkan jika dikehendaki oleh keluarga supaya mengkafankan dalam kain lain. Nabi bersabda “ selimutkanlah mereka dengan luka dan darah mereka”. “Bau Luka itu bau kasturi”. Imam Syafie rahimahullah berkata, “ Saya lebih menyukai bahawa di dalamkan kuburan mayat itu kadar sedepa dan yang lebih dari itu, lalu ditimbus, nescaya memadai. Saya menyukai yang demikian adalah supaya tidak tercapai oleh binatang buas dan tidak mudah kepada seseorang, kalau ia mahu membongkarnya. Dan tidak timbul baunya. Diletakkan mayat dalam kuburnya atas lambung kanan. Ditinggikan kepalanya dengan batu atau batu bata, disandarkan mereka supaya tidak menelungkup atau menelentang, dan kepala diletakkan mengadap kiblat. Kebiasaannya di Malaysia, penggalian kubur adalah sedalam 6 kaki. Antara lain hikmah mengebumikan jenazah adalah dari segi kesihatan ialah tidak tersebarnya penyakit. Sejarah pengebumian jenazah bermula di zaman Nabi Adam alaihis salam lagi. Peristiwa ini tercatat dalam surah al-Maidah dari ayat 27-31. MenurutKitab Tafsir Al-Quranul Karim terbitan Yayasan Amal Bakti Sumatera Utara tahun 1967, dalam qaul pertama, diceritakan sebab pembunuhan antara kedua putera Adam yang menyebabkan berlakunya peristiwa pertama dalam sejarah pengebumian manusia. Menurut riwayat, adalah Siti Hawa melahirkan sepasang kembar setiap kali ia melahirkan anak. Lelaki dari pasangan pertama akan dikahwinkan dengan perempuan dari pasangan kedua dan begitulah seterusnya. Kebetulan, anak Nabi Adam yang bernama Qabil dilahirkan dengan pasangan kembar perempuannya yang cukup cantik. Gadis ini akan dikahwinkan dengan Habil manakala kembar Habil yang akan dikahwinkan dengan Qabil kurang elok rupa parasnya. Kerana itu, Qabil tidak mahu menerimanya, katanya perbuatan itu hanya kemahuan bapanya sahaja, bukan dari Tuhan. Maka Nabi Adam menyuruh Qabil dan Habil melakukan korban. Korban siapa yang diterima Allah, dialah yang akan dikahwinkan dengan saudaranya yang rupawan itu. Qabil adalah seorang pekebun manakala Habil merupakan seorang penternak. Habil telah mengorbankan kambingnya yang gemuk sedang Qabil telah mengorbankan tanaman gandumnya yang kurang elok. Maka oleh Allah diterimanya akan korban Habil dengan mendatangkan api dari langit mengambil korban Habil dan tidak diterima oleh Allah akan korban Qabil itu. Kerana hal itu, maka timbullah kedengkian Qabil terhadap Habil lalu ia bercita-cita untuk membunuh Habil. Menurut Imam Ar-Razy, iblis menunjukkan kepada Qabil bagaimana cara membunuh Habil. Iblis telah datang dengan mengambil seekor burung lalu dipukul tepat di kepalanya dengan menggunakan batu, lalu Qabil mendapat idea bagaimana mahu membunuh Habil. Lalu dia pun mencari batu besar dan dicarinya Habil. Didapati Habil sedang tidur lalu dipukulnya kepala Habil dengan batu, lalu Habil mati di situ juga. Inilah peristiwa pembunuhan pertama dalam sejarah anak-anak Adam. Sesudah Qabil melakukan pembunuhan itu, dia tidak tahu bagaimana harus disembunyikan mayat Habil. Qabil mengusung mayat Habil ke sana kemari dengan penuh kekesalan dan dicerca ibu-bapanya sehingga Allah menunjuknya jalan.. Jumhur ulamak telah menerangkan bahawa Allah telah mengutus dua ekor burung gagak berkelahi berbunuh-bunuhan di hadapan Qabil, lalu mati seekor. Yang hidup mengorek-ngorek tanah dengan paruhnya sehingga lama-kelamaan terbentuklah lubang dan ditanamilah gagak yang mati itu. Dengan menyaksikan perbuatan gagak itu tahulah Qabil bahawa dia harus menanam mayat Habil dengan menggali tanah membentuk lubang kubur.



Reput tanpa kebumi

Amat besar hikmah mengkebumikan jenazah di dalam kubur. Manusia yang dicipta dari segumpal tanah akhirnya kembali kepada tanah. Kita sedia maklum, semua jasad yang mati, lama kelamanan akan mereput. Proses pereputan ini berlaku berperingkat-peringkat di dalam kubur. Seandainya jenazah tidak disemadikan di tanah perkuburan, maka akan tersingkaplah kejadian pereputan yang mengaibkan ini dan manusia tidak dapat hidup aman lantaran bau busuk yang dikeluarkan dari mayat. Malahan, bakteria akan tersebar dan menularkan penyakit kepada manusia yang masih hidup. Peringkat pertama pereputan dikenali sebagai Pemecahan Sendiri (self-destruction). Enzim yang terdapat dalam badan akan menghadamkan badan sendiri. Struktur membran sel akan rosak dan enzim penguraian dilepaskan. Ia akan menyahaslikan makromolekul dalam badan. Peringkat pertama ini bermula dalam sel yang aktif menjalankan metabolisma seperti sel perembesdan makrofaj. Peringkat kedua adalah peringkat pembusukan akibat tindakan bakteria anaerobik . Oksigen sudah tiada menyebabkan wujud suasana anaerobik ( tiada oksigen) dalam mayat. Keadaan ini menggalakkan pertumbuhan dan pembiakan bakteria anaerobik terutamanya pada bahagian organ dalaman badan seperti perut. Bakteria ini menguraikan zat makanan iaitu karbohidrat, protein dan lipid pada mayat dan menghasilkan asid dan gas. Gas yang dilepaskan mengakibatkan tubuh mengembung bermula dari perut yang akan mengubah bentuk dan rupanya. Buih-buih darah akan meletus dari mulut dan hidung mayat akibat tekanan gas yang terjadi di sekitar diafragma. Organ dalam tubuh seperti paru-paru, jantung dan hati turut membusuk. Pandangan yang paling menjijikkan adalah di sekitar perut, akibat kulit tidak dapat lagi menahan tekanan gas dan akhirnya pecah lalu menyebarkan bau yang meloyakan. Peringkat ketiga adalah peringkatpereputan. Pada akhir peringkat kedua, cecair badan yang busuk telah mengalir keluar. Daging akan luruh satu persatu bermula dari bahagian tengkorak. Kulit dan jaringan lembut yang lain akan tercerai-berai. Otak turut membusuk dan kelihatan seperti tanah liat. Tisu-tisu badan yang lembut menjadi kecut dan kering. Proses pereputan berterusan hingga akhirnya mayat tinggal rangka. Peringkat keempat adalah peringkat terakhir dalam proses pereputan. Pada masa ini, tiada lagi daging untuk dihancurkan. Semuanya telah dimakan bakteria dan serangga di dalam kubur. Yang tinggal hanyalah tisu-tisu keras seperti tulang dan gigi. Akhirnya,mikroorganisma seperti bakteria, kulat, alga dan serangga berjaya menakluki tulang. Berlakulah perembesan asid dan enzim metabolisma. Mikroorganisma tersebut memetabolismakan matriks tulang pula hingga tulang hancur. Penguraian tulang ini dibantu oleh bahan kimia di persekitaran. Pada persekitaran berasid, kalsium fosfat yang terdapat dalam tulang akan melarut. Tulang akan musnah. Maka, tiada apa lagi yang tinggal pada jasad. Sehebat manapun kita, akhirnya akan mati dan hancur jua. Apabila mati, segalanya telah berlalu dan tidak dapat diubah. Maka ingatlah sentiasa akan mati kerana ia satu peringatan.





Sumber dari Majalahsains

No comments:

Post a Comment