SUPPORT PENAJA

Monday, 6 February 2012

POLIS PERISIK MATI DIBUNUH


KUALA LUMPUR 5 Feb. - Seorang pegawai polis tidak menyangka mayat ditunjukkan kepadanya oleh seorang lelaki di dalam sebuah longkang di bawah jejambat di Bulatan Batu Caves semalam, adalah anak saudaranya, juga anggota pasukan itu yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak 1 Februari lalu.Pegawai berpangkat Inspektor di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam itu yang hanya ingin dikenali sebagai Jaya berkata, beliau melalui jalan tersebut dengan menunggang motosikal pada pukul 7.15 petang sebelum ditahan seorang lelaki yang mendakwa menemui mayat lelaki.
Katanya, ketika itu beliau berpakaian preman dan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja.
"Saya lalu berhenti di tepi jalan dan bergegas ke tempat kejadian sebelum mendapati terdapat mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian dalam keadaan tertiarap.Selepas menghubungi bilik gerakan, saya pun menunggu kehadiran mereka di sekitar kawasan itu tanpa mengenal pasti identiti mayat itu dengan lebih dekat. Namun, melihat saiz tubuhnya yang agak besar disebabkan kembung serta bengkak dan lebam, saya menyangka mayat itu berusia 30-an," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Tambahnya, sangkaannya meleset apabila anggota polis yang datang membuat pemeriksaan memaklumkan kemungkinan mangsa berusia 20-an.
"Apabila dimaklumkan tentang umur mangsa, saya pun menjenguk semula mayat itu sambil firasat saya mengatakan kemungkinan ia adalah anak saudara saya yang telah dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu.Saya pun menghubungi bapa mangsa bagi mengetahui pakaian anak saudara saya ketika kali terakhir ditemui. Saya terkejut apabila baju dan seluar mangsa benar-benar menyerupai pakaian mayat itu," ujarnya.

Selepas identiti mangsa itu disahkan oleh Unit Forensik yang membuat pemeriksaan, mayat kemudian dibawa ke HKL untuk bedah siasat.
Semalam, mayat mangsa seorang anggota dari Bahagian Risikan (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu ditemui mati dipercayai dibunuh di bawah jejambat Bulatan Batu Caves.
Mangsa yang dikenal pasti sebagai V. Divendran itu telah bertugas selama tiga tahun sebagai konstabel. Sementara itu, bapa mangsa, Veeramogan M. James, 55, ketika ditemui di HKL berkata, kehilangan anaknya tersebut disedari selepas telefon bimbitnya gagal dihubungi.
Katanya, dia yang menghubungi pejabat mangsa namun terkejut apabila dimaklumkan mangsa yang berulang-alik menaiki bas dari Pudu tidak datang bekerja.  "Kali terakhir saya melihat mangsa pada Rabu lalu ketika dia memaklumkan hendak keluar bersama tiga rakannya pada pukul 7.30 petang.Mangsa hanya maklumkan hendak keluar sebab mahu melihat kedai yang ingin disewa untuk perniagaan gunting rambut sempena sambutan Thaipusam," katanya yang turut memaklumkan hari ini sepatutnya adalah hari merisik teman wanita mangsa sebelum bertunang pada Jun nanti.Dia turut menyifatkan mangsa sebagai anak yang baik hati dan tidak bergaul dengan mana-mana individu jahat."Mangsa juga tidak pernah menceritakan tentang kerja yang dilakukan atau sebarang masalah yang dihadapi," ujarnya.

No comments:

Post a Comment