Kira-kira 5,000 pengunjung di Pusat Membeli-belah Suria KLCC di sini, panik menerima arahan pengosongan bangunan apabila berlaku kebakaran di bahagian dapur sebuah restoran iaitu Chinoz di tingkat satu bangunan tersebut, petang semalam.Arahan pengosongan tersebut dikeluarkan sebagai langkah keselamatan sebelum keadaan kembali seperti biasa kira-kira sejam kemudian.
Dalam tempoh pengosongan tersebut, tiada sesiapa yang dibenarkan memasuki kawasan parkir dan menggunakan perkhidmatan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) membuatkan keadaan mula sesak.Penolong Pengarah Operasi Pasukan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.28 petang sebelum empat jentera bersama 30 anggota dari Balai Bomba Pudu, Jelatek, dan Hang Tuah diarahkan ke lokasi.
Menurutnya, ketika pasukan bomba tiba api serta asap kelihatan keluar dari corong asap di atas bumbung bangunan tersebut.
“Pasukan bomba bertindak mengawal api dan asap di bahagian tersebut sementara pekerja restoran dan pihak pasukan bertindak pusat membeli belah ini mengambil tindakan awal memadamkan kebakaran di bahagian dapur menggunakan cecair kimia.“Alat pemadam api juga berfungsi dengan sempurna membantu daripada api terus merebak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati kebakaran di restoran tersebut bermula dari corong penyedut asap.Katanya, tiada sebarang letupan dilaporkan berlaku dan pihaknya akan membuat siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.
No comments:
Post a Comment