SUPPORT PENAJA

Wednesday, 21 March 2012

ANGKARA TIKET BAS MUKA WARGA EMAS DITONYOH



Hanya kerana sekeping tiket bas bernilai RM1, seorang warga emas mendakwa dicederakan di bahagian mukanya oleh pemeriksa tiket di Rawang dekat sini gara-gara enggan membeli tiket baru selepas dituduh menggunakan tiket tidak sah.Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang pada 6 Mac lalu, mangsa, Wong Soo Tian, 83, menaiki bas henti-henti di Jalan Ipoh untuk pulang ke rumahnya di Rawang selepas mendapatkan ubat dan rawatan susulan di sebuah klinik di situ.
Katanya, sebaik bas melalui kawasan Batu Caves, seorang lelaki dipercayai pemeriksa tiket naik bas terbabit sebelum memeriksa tiket setiap penumpang termasuk dirinya.
“Saya terus berikan tiket seperti diminta, namun mereka mengatakan tiket saya tidak sah sebelum menyuruh saya membeli tiket baru. Saya enggan kerana tiket itu dikeluarkan sendiri konduktor bas terbabit. Saya cuba mempertahankan diri dengan menyuruh lelaki berkenaan bertanya sendiri kepada konduktor yang ketika itu berada di bahagian hadapan bas berhampiran pemandu, namun secara tiba-tiba lelaki itu mengangkat lututnya hingga mengenai muka saya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.



Wong berkata, tidak cukup dengan itu, mukanya turut ditonyoh seorang lagi pemeriksa tiket yang menaiki bas berkenaan tidak lama kemudian selepas lelaki berkenaan menghubunginya.
Menurutnya, dia percaya orang ramai mahu membantu, namun akibat takut, mereka menghentikan niat masing-masing, tetapi seorang daripada penumpang menyarankan supaya dia membuat laporan polis.

“Lebih 20 tahun saya menaiki bas untuk ke pelbagai destinasi, inilah kali pertama saya dilayan sebegini teruk. Selepas ini, saya serik untuk menaiki bas lebih-lebih milik syarikat terbabit.
Diharap syarikat bas itu akan melihat kes saya secara serius kerana saya tidak mahu warga emas lain menjadi mangsa. Saya yakin kejadian ini berkait rapat dengan penyelewengan sama ada konduktor bas terbabit atau pemeriksa tiket itu sendiri,” katanya.

Wong yang kesal dengan kejadian itu membuat laporan di Balai Polis Rawang serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

No comments:

Post a Comment