SUPPORT PENAJA

Thursday, 31 May 2012

PELUKIS MASAK DAN SAJI KEMALUAN SENDIRI ..



Mao Sugiyama
Seorang lelaki menjalani pembedahan membuang kemaluannya sebelum memasak senjata sulitnya itu dan menyajikannya kepada lima tetamu.Mao Sugiyama, 22, lelaki aseksual, secara sukarela menjalani pembedahan untuk membuang kemaluannya.

Bagaimanapun, pelukis ilustrasi itu membawa pulang kemaluan dan buah zakarnya dari hospital dan mengadakan parti. Dia mengenakan bayaran sebanyak RM640 terhadap setiap tetamu untuk memakan kemaluannya yang dihiasi dengan cendawan dan daun parsli di Tokyo.

Sebelum menikmati makanan itu, tetamu duduk untuk mendengar mainan piano dan mengambil bahagian dalam satu perbincangan, lapor CalorieLab.com.Sugiyama memasak sendiri kemaluannya dengan dipantau seorang chef.


Dia menawar untuk berbuat demikian dalam laman Twitternya kepada seorang tetamu dengan mengenakan bayaran sebanyak RM4,000 tetapi kemudian mengambil keputusan membahagi-bahagikan ‘makanan’ itu kepada lima tetamu.

 “Saya menawarkan kemaluan saya (zakar, buah zakar dan kantung zakar) untuk dimakan dengan harga 100,000 yen (RM4,000). Saya warga Jepun.“Saya menjalani pembedahan untuk membuang organ itu. Saya disahkan bebas daripada sebarang penyakit kelamin. 

Organ itu berfungsi normal dan saya tidak pernah menjalani rawatan hormon wanita.“Pembeli pertama yang berminat akan memperolehnya. Saya juga bersedia menjualnya kepada sekumpulan pembeli. Saya akan memasak seperti yang dikehendaki pembeli di lokasi yang dipilih mereka. Jika ada soalan, sila hubungi saya menerusi e-mel,” tulisnya dalam laman Twitter.Kira-kira 70 orang hadir pada acara itu yang diadakan di daerah Suginami di Tokyo.Ketika lima orang memakan kemaluan Sugiyama, yang lain makan daging lembu atau buaya.Mereka yang memakan kemaluan itu ialah pasangan suami isteri berusia 30 tahun, seorang wanita 22 tahun, seorang lelaki 32 tahun dan perancang majlis, Shigenobu Matsuzawa, 29.Sugiyama meminta tetamunya menandatangani surat yang menyatakan dia tidak akan didakwa sekiranya mereka sakit selepas memakan kemaluannya.

Penganjur parti itu berjenaka sebelum acara berkenaan dengan berkata, dia akan menyiarkan resipi masakan itu menerusi Internet. CalorieLab.com memetik seorang tetamu sebagai berkata, kemaluan itu liat dan tidak mempunyai rasa. Polis Suginami yang dihubungi enggan melakukan siasatan dengan alasan ia tidak melanggar undang-undang.

Sugiyama juga menjalani pembedahan membuang puting teteknya. Selaku aseksual yang tidak berminat terhadap kegiatan seks, Sugiyama tidak akan menggantikan kemaluannya dengan kemaluan tiruan.





Wednesday, 30 May 2012

BENARKAH GAJI NAZMI RM 300,000 SEBULAN

Lumayan bukan ... Jika Safee Sali menerima gaji bulanan berjumlah Rupiah 350 juta (RM118,000) sebulan, wonderkid Malaysia yang baru sahaja mengikat kontrak tiga tahun bersama kelab Portugal, Beira-Mar, Nazmi Faiz pula dikhabarkan bakal menerima gaji bulanan sebanyak RM 300,000.

Mencetus fenomena dalam bola sepak negara selepas terpilih sebagai pemain untuk kelab liga divisyen satu Portugal sehingga Jun 2015 nanti, gaji pemain tengah Harimau Muda itu kini menjadi topik perbualan hangat penyokong serta pemerhati bola sepak tempatan. Meskipun khabar angin mengenai gaji yang bakal diterima oleh Nazmi masih belum dapat disahkan, namun, sekiranya benar, pemain muda yang bakal mencecah 18 tahun 16 Ogos nanti akan bergelar pemain termuda Malaysia berstatus jutawan selain Safee Sali.

Sementara itu, ejen Nazmi, Marco Guimaraes, mengakui jumlah gaji yang bakal ditawarkan kepada tonggak skuad bawah 22 tahun itu adalah sangat lumayan bagi seorang pemain muda dari Asia Tenggara, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar yang akan diterima oleh anak buah Ong Kim Swee itu."Terpulang kepadanya (Nazmi) sama ada untuk mendedahkannya atau tidak, katanya.

Dalam perkembangan lain, akan mula menyertai latihan bersama Beira-Mar selepas pusingan kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun yang akan bermula 21 Jun sehingga 4 Julai nanti, Nazmi akan turut ditemani pengendali Harimau Muda, Ong kim Swee. Selain menguruskan soal kontrak dengan kelab tersebut, Kim Swee yang berada di sana selama seminggu akan turut membantu anak buahnya menyesuaikan diri sebagai pemain professional di kelab Eropah itu.

KEMBAR 3 ANTARA MANGSA KORBAN KEBAKARAN DI DOHA

Sungguh menyedihkan  dan menyayat hati bila laporan dikeluarkan menyatakan 13 kanak-kanak adalah antara sekurang-kurangnya 19 yang menjadi mangsa korban  kebakaran di sebuah pusat beli belah popular di negara Teluk berkenaan.


Angka kematian dalam kebakaran di pusat beli-belah Villagio di sini diumumkan di laman web kementerian berkenaan petang kelmarin.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Syeikh Abdullah bin Nasser Al-Thani berkata, sebahagian mangsa mati ketika pasukan penyelamat berusaha memasuki tempat jagaan harian kanak-kanak di dalam bangunan itu."Kami berusaha sedaya upaya tetapi apabila kami sampai di tempat kejadian, kanak-kanak terbabit telah terperangkap. Kami memohon maaf atas yang berlaku," katanya di sini.

Media tempatan dan asing melaporkan, antara mangsa yang maut termasuk empat kanak-kanak Sepanyol, seorang warga Perancis dan pasangan kembar tiga berusia dua tahun dari New Zealand.Turut hilang nyawa dalam tragedi ngeri tersebut ialah empat orang guru dan dua petugas pertahanan awam, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan.
Kenyataan sama menyebut, 17 orang lagi, kebanyakannya merupakan pekerja penyelamat, cedera dalam kebakaran tersebut.Terdahulu, beberapa saksi berkata, mereka melihat asap tebal naik ke udara dari pusat beli-belah berkenaan sekitar tengah hari kelmarin.

Kementerian Dalam Negeri memberitahu, kebakaran dapat dipadamkan beberapa jam kemudian. - Agensi



Tuesday, 22 May 2012

JUTAAN SAKSIKAN GERHANA MATAHARI CINCIN



Gerhana matahari Anulus atau gerhana matahari cincin selama empat minit setengah, sejauh 240 hingga 300 kilometer dari Bumi dapat disaksikan di sekitar Asia Pasifik hingga barat Amerika Syarikat. Menurut Portal Pendidikan Sains Angkasa sebelum ini, gerhana matahari berlaku apabila bulan melintasi antara bumi dan matahari, serta melindungi secara keseluruhan atau sebahagian imej matahari daripada pencerap yang berada di bumi.
Gerhana matahari Anulus berlaku apabila diameter ketara seperti bulan lebih kecil daripada cakera matahari menyebabkan matahari kelihatan seperti anulus (cincin) dan menyekat kebanyakan daripada cahaya matahari. Menurut portal itu, fasa anulus akan dapat dilihat dari kawasan pantai China, utara Taiwan, selatan Jepun dan bahagian barat Amerika Syarikat serta Kanada.
Beribu-ribu orang di seluruh Asia menyaksikan keajaiban tersebut.Gerhana dapat dilihat jelas di sekitar Tokyo, sebelum melintasi rantau pasifik, ia betul-betul di bawah Pulau Aleutian Alaska dan sepanjang Oregon, California, Amerika Syarikat. Awan yang sedikit ketika gerhana bermula menyebabkan keadaan menjadi sempurna apabila ramai yang dapat menyaksikan gerhana dari awal hingga akhir.
Kanak-kanak yang menyaksikan gerhana tersebut, Kaori Sasaki berkata, kejadian gerhana ini adalah sesuatu yang misteri dan ini kali pertama dia menyaksikan fenomena ini. Pihak Panasonic, salah sebuat pengeluar elektronik terbesar Jepun turut menghantar satu ekspedisi ke puncak Gunung Fuji bagi menyaksikan fenomena gerhana menggunakan peralatan berkuasa solar.

Jurucakap syarikat tersebut berkata, matlamat utama mereka adalah untuk menyiarkan fenomena yang dianggap tercantik di dunia dari puncak tertinggi di Jepun. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi penduduk di sekitar Hong Kong apabila beratus-ratus berkumpul di sepanjang pantai Kowloon, tidak dapat menyaksikan fenomena tersebut apabila terdapat awan tebal, yang menghalang pemandangan ketika keajaiban tersebut.

NAZMI AKHIRNYA BERMAIN DENGAN KELAB PORTUGAL



Tahniah buat permain muda iaitu Nazmi Faiz selepas beliau mencipta sejarah apabila menjadi pemain Malaysia yang pertama bermain di Eropah. Pemain muda ini telah menandatangani kontrak bersama Beira-Mar untuk tiga musim yang akan datang.Nazmi, 17, pemain harapan remaja Asia itu telah menandatangani kontrak bersama Beira-Mar sehingga June 2015.

Nazmi hadir untuk sesi pemilihan minggu lepas telah berjaya menambat hari pihak pengurusan kelab tersebut yang merasakannya mempunyai potensi yang amat besar di Eropah. Pada usia yang begitu muda, pemain kebangsaan Malaysia bawah 21 tahun dan 23 tahun ini telah menjadi pemain pertama yang berhijrah ke kelab itu.

“Sukar saya nak gambarkan perasaan ini. Ini adalah peluang terbaik saya dan saya telah berjaya. “Bermain di Eropah adalah impian saya selama ini. Saya berasa amat gembira dan berkeyakinan tinggi untuk terus maju ke hadapan. Saya sukakan Beira-Mar semenjak pertama kali menjejakkan kaki di sini.” kata pemain Malaysia itu.

“Saya berasa amat lega diterima bermain dan akan sentiasa mematuhi arahan pengurus, Ulisses Morais dan Kapten Pasukan, Hugo. Teguran dan didikan mereka amat berharga buat saya. “Saya juga akan bermain sebaik mungkin untuk menjadi yang terbaik dan membanggakan negara saya, Malaysia.” kata Nazmi.

PEMUDA MAUT DIBUNUH SAHABAT BAIK DIDEPAN IBU SENDIRI

Seorang remaja bukan hanya maut dikelar sahabat baik, malah lebih tragis lagi apabila insiden itu berlaku depan mata ibunya sendiri. Dalam kejadian itu, Nurul Amin Muhamed Ishak, 22, seorang buruh kasar, mati serta-merta di tempat kejadian di Jalan Sentosa di sini akibat pendarahan pada leher setelah dikelar dengan pisau. Menurut ibunya, Saemah Mogeri, 43, sebelum peristiwa berdarah itu berlaku, mangsa yang mesra dipanggil Abang mahu membawa dia bersemuka dengan dua sahabat baiknya untuk mendapatkan penjelasan berhubung insiden rumah mereka dipecah masuk minggu lalu.


Pemuda malang 


“Dua sahabat baik Abang ceroboh rumah kami Selasa minggu lepas dan cuba mencabul kehormatan saya dan adik perempuannya. Disebabkan itu, Abang marah dan mahu bersemuka dengan mereka demi mempertahankan maruah kami. “Abang berjanji bertemu dengan mereka di Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR) berdekatan dengan rumah jam 8.30 malam. Disebabkan jarak rumah kami dengan kompleks itu hanya 150 meter, arwah ajak saya pergi bersamanya,” katanya.

Saemah berkata, apabila dua sahabat baik anaknya tiba di lokasi yang dijanjikan dengan menaiki motor, Abang segera meminta penjelasan mengapa mereka tergamak melakukan perkara tersebut kepada keluarganya. “Ketika arwah sedang bercakap, secara tiba-tiba salah seorang sahabat baiknya itu pergi ke motosikal lantas mengambil pisau sebelum meluru mengelar leher arwah dari depan.

              Tempat kejadian iaitu di perkarangan
         Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR)

“Kejadian berlaku terlalu pantas. Saya tergamam dan mampu menjerit nama Abang. Ketika itu darah membuak-buak keluar daripada leher arwah. “Saya hampir pitam melihat kejadian tidak diduga itu, namun masih sempat mendakap mangsa yang kemudian terkulai layu. Pakaian saya habis dibasahi darah arwah,” katanya. Menurut Saemah, akibat panik, dua sahabat anaknya itu terus melarikan diri, manakala beberapa pemuda yang berada di dalam kompleks sukan berkenaan bergegas keluar sejurus mendengar jeritannya dan segera memanggil polis serta ambulans.

Sementara itu, Ketua Polis Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali ketika dihubungi berkata, pihaknya hanya akan memberi kenyataan rasmi dalam sidang media, hari ini.

AKIBAT TERTEKAN KEHILANGAN KERJA LELAKI SANGGUP CAMPAK 2 ANAK DARI TINGKAT 6


Seorang lelaki mencampak dua anaknya dari balkoni apartmen mereka sebelum dia sendiri melompat membunuh diri kerana tertekan akibat kehilangan kerja, lapor media semalam. Marco Turrini mencampak bayi perempuannya - berusia 14 bulan - dan anak lelaki berusia empat tahun dari tingkat enam rumah mereka di Brescia, Lombardy, di utara Itali.

Saksi berkata, sebelum itu Turrini, 41, bertengkar dengan isterinya. Sumber polis berkata, selepas mencampak anaknya ke bawah, bekas kakitangan pengiklanan yang kehilangan kerja 18 bulan lalu itu turut cuba menolak isterinya ke luar. Selepas gagal, katanya, Turrini melompat dari tingkat enam apartmen berkenaan dan mati di tempat kejadian.

“Dua anak Turrini masih hidup selepas terhempas ke bawah, tetapi gagal diselamatkan kerana cedera parah,” katanya. Sumber itu berkata, isteri Turrini bekerja sebagai jururawat dan berselisih faham dengan lelaki terbabit. “Wanita itu kini dirawat di hospital kerana terkejut,” katanya.


Wednesday, 16 May 2012

PENDATANG SANGGUP DUDUK DALAM BONET SELAMA 20 JAM


Pendatang tanpa izin memang diketahui sanggup melakukan apa saja asalkan dapat menyusup masuk ke Itali, tetapi penemuan terbaru semalam dianggap begitu luar biasa. Seorang pemuda Afghanistan sanggup bersembunyi dalam bonet kereta dengan posisi mengerekot selama 20 jam.

Menurut polis, pemuda berusia 18 tahun dan tidak didedahkan identitinya itu berharap dapat masuk ke Itali melalui Bari dengan cara begitu. Bagaimanapun, kata sumber, usahanya gagal apabila pegawai imigresen melakukan pemeriksaan mengejut dan menemuinya dalam bonet kereta Nissan berkenaan. “Ketika ditemui, pemuda itu bersembunyi di celah enjin kereta dengan berbekalkan sebotol air dan sehelai selimut,” katanya.

Jurucakap imigresen Bari berkata, mereka menahan kereta berkenaan selepas mendapati pemandu dan penumpangnya – kedua-duanya warga Bulgaria – dalam keadaan cemas. Katanya, kereta itu baru saja tiba di Bari menaiki feri dari Greece. Jurucakap itu berkata, pemandu terbabit dikenali sebagai Kaloyanov Ivaylo, 24, manakala temannya Georgieva Stanislava, 39.

“Kedua-dua mereka ditahan, manakala pendatang tanpa izin itu terpaksa dibantu keluar dari bonet berkenaan kerana berada dalam keadaan separuh sedar,” katanya. Pemuda Afghanistan itu kemudian dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Feri berkenaan berlepas dari Patras pada pagi Ahad sebelum singgah di Igoumenitsa dan menyambung perjalanan ke Bari. Laluan itu memang popular di kalangan penyeludup manusia yang mengenakan caj minimum 5,000 euro (RM19,664) untuk masuk ke Itali.

SAIFUL APEK AKHIRNYA AKUR KEPUTUSAN MAHKAMAH

Rentetan dari kisah yang mengatakan Saiful Apek bertegas ingin menyaman David Teo , berita terbaru lain plak jadi nya bila pelakon dan pelawak popular tersebut akhirnya akur dan reda apabila keputusan mahkamah yang membatalkan tuntutan beliau terhadap penerbit, David Teo yang didakwa gagal melunaskan pulangan pelaburannya berjumlah RM200,000 sebelum ini.
“Apalagi saya boleh buat apabila, saya mungkin itu bukan rezeki saya dan saya tidak mahu membangkitkan lagi isu itu lagi.“Bagaimanapun, saya tetap berbangga dengan cara saya memperjuangkan isu tuntutan ini.“Saya mungkin ‘buta kontrak’ tetapi jika diberi skrip boleh saya faham malahan, ramai artis yang tidak faham isi kandungannya,” katanya pada sidang media hari ini.
Tuntutan tersebut berkaitan bayaran untuk filem Lady Boss dan Anak Mami Kembali selepas dia yang membintangi kedua-dua filem berkenaan di mana Apek melaburkan wang hasil lakonannya RM100,000 sejak 2005.Selain itu, Apek turut mendakwa Teo gagal menyiapkan album nyanyiannya berdasarkan kontrak yang ditandatangani pada tahun sama.

Sehubungan itu, Apek bercadang mahu menubuhkan sebuah biro yang dikenali sebagai Kesatuan Anak Seni (Kemas) yang memperjuangkan hak-hak anak seni melalui saluran yang betul.“Saya menyeru supaya mana-mana artis yang mempunyai masalah untuk tampil berjumpa dengan saya dan saya akan jadi orang tengah untuk utarakan masalah itu kepada orang yang lebih pakar dalam bidang tersebut.

“Kalau boleh biarlah kita bergabung untuk menuntut hak kita sebagai artis dan mendidik orang yang berkarya mengenai undang-undang mengenai perjanjian yang berkaitan anak seni.“Semua krew penerbitan yang terlibat perlu lebih peka dengan isu kebajikan dan undang-undang,” katanya lagi.

LAUNGAN BERSIH KEDENGARAN SEWAKTU NAJIB BERUCAP DI LONDON


Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di satu pertemuan bersama warga Malaysia di London semalam disambut dengan laungan slogan BERSIH oleh sebahagian hadirin. Sorakan slogan itu bermula apabila Najib mula mengambil tempat di atas pentas dan berlarutan ketika beliau memulakan ucapannya. Sorakan slogan itu menyebabkan Najib hilang tumpuan untuk meneruskan ucapannya dan terpaksa merayu supaya sorakan itu dihentikan."Bolehkah anda tolong berhenti? Boleh tolong berhenti," rayu Najib seperti dirakamkan dalam satu video yang dimuatkan di lamanYoutube.

Rayuan Najib itu disambut oleh seorang hadirin yang bertanya mengenai hak mereka untuk mengundi."Kami mahu mengundi. Kenapa anda tak bagi kami mengundi?" tanya individu itu di majlis tersebut. Najib kemudian cuba menenangkan kumpulan tersebut agar beliau boleh meneruskan ucapannya. "Anda boleh jumpa saya kemudian ok...bolehkah anda tolong hentikannya?" kata Najib.Sorakan tersebut kemudiannya surut dan Najib meneruskan ucapannya seperti biasa.

Acara yang dinamakan ‘An Evening with the Prime Minister’ itu dianjurkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di lokasi berprestij O2 Arena di kota tersebut. Program berkenaan diuar-uarkan sebagai satu acara untuk membolehkan rakyat Malaysia di London berinteraksi secara tidak formal dengan perdana menteri.



Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa sebahagian besar ucapan Najib kepada warga Malaysia yang menghadiri majlis "Sepetang Bersama Perdana Menteri" yang diadakan di dewan konsert 02 Arena di Greenwich, timur London, adalah mengenai hak dan tanggungjawab mereka dalam sebuah negara demokrasi dan pilihan rakyat melalui pilihan raya.
   
Najib berkata dalam mana-mana demokrasi akan ada mereka yang mengundi menyokong dan menentang, tetapi akhirnya, apa yang paling utama ialah pilihan rakyat.

KOREK TONG SAMPAH CARI MAKANAN ..




Pelik dan menjijikan . Namun bagi pencari sisa  sisa makanan yang dibuang dalam tong sampah untuk dimakan ini merupakan pekara biasa untuk mereka .
 Mereka ini merupakan kumpulan yang dikenali sebagai freegan yang tidak membelanjakan wang untuk membeli makanan. Freegan ialah gabungan dua perkataan dalam bahasa Inggeris iaitu free bermaksud percuma dan vegan yang merujuk kepada para pemakan sayur.

Kumpulan itu akan mencari pelbagai jenis makanan terbuang sama ada untuk disimpan atau dimakan. Anggota-anggota kumpulan itu turut membuat makanan seperti sandwic daripada sisa makanan. Matlamat kumpulan itu ialah untuk membangkitkan kesedaran orang awam tentang isu pengambilan makanan yang berlebihan. - Agensi




NENEK 15 CUCU DICEKUP BERKHALWAT

Seorang nenek kepada 15 cucu ditahan bersama seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Pandan Perdana, di sini dalam operasi cegah maksiat, awal pagi semalam. Dalam pemeriksaan jam 1 pagi itu, wanita warga Indonesia berusia 63 tahun itu bersama teman lelakinya warga Bangladesh berusia 41 tahun ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, serbuan ke atas rumah terbabit dilakukan hasil maklumat orang ramai. “Penguat kuasa agama mengetuk pintu bilik rumah berkenaan beberapa kali sebelum dibuka seorang lelaki yang hanya berseluar pendek beberapa minit kemudian,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, wanita yang mempunyai lima anak itu memberi alasan kononnya dia menumpang membasuh baju di rumah sewa lelaki terbabit kerana rumah cucunya mengalami masalah bekalan air. “Kami mendapati pasangan berkenaan tidak mempunyai sebarang hubungan mahram. Difahamkan mereka saling mengenali sejak tujuh bulan lalu. “Lelaki yang sudah berkahwin itu merupakan pekerja di sebuah restoran di ibu kota,” katanya.

Dalam operasi berasingan, sepasang kekasih dicekup di sebuah pangsapuri di sini pada jam 1.50 pagi, semalam. Ahmad Nawi berkata, pasangan berusia 24 dan 30 tahun itu ditahan anggota penguat kuasa selepas dipercayai pasangan itu berasmara dalam bilik sewa milik lelaki berkenaan.

“Perempuan itu memberi alasan berjumpa dengan teman lelakinya untuk mengadu berhubung masalah tempat kerjanya. “Ketika serbuan perempuan itu berpakaian lengkap, manakala pasangannya hanya berseluar pendek,” katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Pandan Indah untuk membuat laporan. Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

PERNIAGA TOKEK DIBEBASKAN SELEPAS SETAHUN DICULIK .


Nazarrudin mencium ibunya, Siti Hamdah
dan anak-anaknya ketika dipertemukan semula, semalam
Peniaga cicak tokek, Mohd Nazarrudin Saidin, 39, yang meloloskan diri dan diselamatkan selepas lebih setahun diculik di Pulau Jolo, selatan Filipina, menyifatkan diberi peluang kedua untuk hidup bersama keluarga tercinta. Nazarrudin berkata, sebelum ini dia pernah melarikan diri dan bersembunyi di hutan paya bakau selama sebulan.

Katanya, dia melarikan diri pada hari ke-10, Hari Raya Aidilfitri, 8 September tahun lalu.Dia yang memiliki enam anak berusia antara 5 dan 16 tahun berkata, tindakan nekad itu dilakukan kerana rasa rindu yang tidak terhingga kepada keluarga di tanah air.

“Saya nekad biarpun menyedari nyawa terancam. Sebaik berjaya meloloskan diri, saya bersembunyi di kawasan hutan paya bakau berseora­ngan selama sebulan.“Saya kepenatan dan kurang makan. Saya berputus asa dan kembali semula ke perkampungan tersebut,” katanya pada sidang media di pejabat Kelab Putera 1Malaysia, semalam. Katanya, sebagai hukuman, kakinya digari selama dua hari.

Menurutnya, selepas itu, dia tidak terfikir untuk melarikan diri sehinggalah dibantu orang kampung, kira-kira jam 9 malam, Sabtu lalu.Katanya, dia kemudiannya dihantar oleh penduduk kampung ke sempadan berhampiran perairan Sandakan, Sabah dengan menggunakan bot, yang mengambil masa 10 jam perjalanan. Di situ, Kelab Putera 1Malaysia, diketuai Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim membantu Nazaruddin dan membawanya pulang ke pangkuan keluarga.

Ketika menceritakan detik awal diculik, Nazarrudin berkata, dia bersama jurupandunya, Abdul Ghafar Akkirullah diculik 10 lelaki bersenjata api di sebuah rumah di Indanan, 8 Mei tahun lalu. “Kami ditempatkan di sebuah rumah. Di luar pula, ada orang bersenjata sedang berkawal. Selama di sana, kami diberi makan dan minum. Saya juga membantu mereka bercucuk tanam,” katanya. Nazarrudin juga mendedahkan, peniaga ikan warga Malaysia, Pang Chong Pong yang diculik di Pondohan Lok Angki, Sitangkai di Kepulauan Tawi-Tawi, se­latan Filipina, Oktober tahun lalu, turut ditempatkan bersama dengannya.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, pihaknya tidak memberikan wang tebusan walaupun sebelum ini, kumpulan penculik meminta bayaran sebagai pembebasan Nazaruddin.“Memang sebelum ini Umno dan Kelab Putera 1Malaysia berusaha menjejak Nazarrudin. Itu bukan satu tindakan mudah, tetapi kami tetap berusaha.

“Kami juga tidak dapat masuk ke kawasan perkampungan itu dan mujur penduduk kampung membantu menyelamatkannya,” katanya.

Monday, 14 May 2012

ANWAR :PAKATAN TAWAR GAJI MINIMUM RM1,100


Pakatan Rakyat (PR) menawarkan gaji minimum RM1,100 jika diberi mandat menerajui Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kadar itu RM200 hingga RM300 lebih tinggi berbanding paras diumumkan oleh Kerajaan Pusat baru-baru ini.
Pada 30 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kadar gaji minimum RM900 bagi pekerja-pekerja di Semenanjung dan RM800 bagi mereka yang bekerja di Sabah dan Sarawak.Soal gaji minimum dilihat akan menjadi sebahagian daripada manifesto kedua-dua PR dan Barisan Nasional (BN) pada PRU13. Dalam Bajet 2012, Kerajaan Negeri Selangor yang diperintah PR mengumumkan gaji minimum RM1,500 bagi pekerja-pekerja syarikat berkaitan kerajaan.

Anwar berkata, mereka boleh menguatkuasakan kadar gaji minimum RM1,1000 kerana ia memadai dengan harga minyak dan barang diturunkan serta memberi pendidikan percuma.

“Gaji minimum yang diumum kerajaan Barisan Nasional tiada makna dengan harga gula dan barang melambung. “Sebab itu saudara kena faham gaji minimum RM900 dengan harga barang melambung naik, dengan pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dengan harga minyak tak turun memang tidak mencukupi bagi keluarga yang hidup di bandar,” kata beliau ketika berucap pada majlis Himpunan Pekerja bertemakan "Menjulang Martabat Pekerja" anjuran Kerajaan Selangor di Stadium Malawati di sini, malam tadi.

Anwar membidas kadar gaji minimum yang diumumkan oleh Najib akhir bulan lalu. Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang;Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Pengerusi Pas, Mohammad Sabu.Kerajaan Pusat mengadakan sambutan Hari Pekerja peringkat nasional pada Sabtu lalu. Anwar berkata, rakyat boleh menilai (kerajaan PR) dengan pengurusan ekonomi yang baik dan berhasrat membatalkan kos pengurusan PTPTN bagi memberikan pendidikan percuma sehingga ke institusi pengajian tinggi.

“Harga minyak turun, maknanya turun kos pengangkutan (dalam kadar) yang banyak, kaji semula perjanjian penjana tenaga bebas (IPP) dan kuasa eletrik yang berat sebelah.
“Bagi keluarga di bandar, dengan gaji minimum RM1,100, anak tiga memang tak cukup. Tetapi kita jelaskan, ini hanya permulaan minimum kerana kita tidak mahu kemukakan cadangan yang tidak dapat kita pertahankan.“Tapi ini peringkat awal, tetapi ini tidak berlaku tanpa perubahan keseluruhannya, kalau tak jimatkan belanja beli kapal selam ambil komisen, beli Sukhoi (jet pejuang) komisen, buat jalan RM1 bilion dia pakai RM44 bilion, buat stadium RM400 juta runtuh," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, pekerja, petani dan nelayan antara majoriti rakyat yang boleh menjadi hakim dalam mahkamah demokrasi."Sebagai contoh golongan ini (pekerja) adalah golongan penting untuk merubah politik di sesebuah negara dan pemimpin takut pada golongan ini."Rakyat tidak tahu hak sendiri sebagai pekerja dan seringkali diperbodohkan oleh kerajaan sekarang," katanya.

Abdul Hadi juga berkata, kerajaan sepatutnya menjaga kebajikan pekerja dari golongan bawahan kerana mereka yang menjadi nadi kepada kerajaan.“Makanan akar umbi iaitu (pekerja) perlu dijaga kerana merekalah yang menyalurkan darah (tulang belakang) kepada kerajaan. Kita janji, jika kita dapat tawan Putrajaya kita akan bela nasib mereka secara langsung atau tak langsung dan bukan nak bagi subsidi untuk menang pilihanraya saja," katanya lagi.Abdul Hadi turut menjanjikan jika PR menang pilihan raya nanti mereka akan menyediakan pendidikan percuma, rawatan kesihatan percuma dan tol dihapuskan.



MAUT TERJUN DARI POKOK KELAPA

Seorang lelaki menggemparkan orang ramai di Jeram, Selangor
semalam apabila bertindak nekad terjun dari
pokok kelapa. Dia mati di tempat kejadian.
Jika kawasan Ijok kecoh dengan demonstrasi penduduk yang tidak mahu kuil dan pondok komuniti dirobohkan pemaju, lain pula ceritanya di Jalan Budi, Sungai Buloh-Jeram di sini apabila ketenangan penduduk diganggu pekikan seorang lelaki yang mengugut mahu terjun dari pokok kelapa, semalam.Lelaki terbabit terjun dari pokok kelapa dengan ketinggian enam meter jam 10.45 pagi semalam.

Ketua Kampungnya, Hashim Mansor, 63, berkata, selepas penduduk kampung, imam masjid dan anggota polis gagal memujuk, lelaki berasal dari Sabah itu nekad terjun selepas dipercayai berada di atas pokok lebih lima jam.

Ketika kejadian, Hashim sekeluarga dikejutkan dengan jeritan meminta tolong jam 7 pagi semalam sebelum keluar melihat lelaki tidak dikenali berada di atas pokok kelapa di belakang rumahnya.“Jeritan lelaki itu menimbulkan tanda tanya penduduk dan kawasan belakang rumah saya menjadi kecoh selepas dipenuhi orang ramai. Ramai datang melihat kerana tidak percaya apa berlaku.“Saya tidak faham tindakan lelaki itu yang meminta pelbagai perkara tidak munasabah termasuk mahu anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Aman datang," katanya.

Beliau berkata, anggota polis cuba memujuk lelaki itu supaya turun sendiri dan berbincang mengenai masalahnya, namun sia-sia.

Sunday, 13 May 2012

APEK TETAP AKAN TUNTUT HUTANG


PERKATAAN 'sedekah' yang diulang sebut oleh penerbit terkenal, David Teo sebanyak dua kali dalam sebuah program sensasi televisyen terhadap Allahyarham Bob Kuman mencetuskan polemik. David yang sering mengeluarkan kenyataan celupar kali ini menyebabkan Saiful Apek hilang sabar. Sahabat baik Bob Kuman itu meluahkan perasaan tidak puas hatinya dalam laman sosial Twitter dan Facebook. Apek menyelar David dan menuntut tauke Metrowealth International Group Sdn. Bhd. (MIG) itu memohon maaf secara terbuka.
SAIFUL APEK tetap akan meneruskan tuntutan
terhadap haknya walaupun terpaksa berjuang di mahkamah.
 
Tuntutan Apek itu mendapat pelbagai respons termasuk media arus perdana. David akur dengan kecaman Apek dan membuat satu kenyataan menerusi e-mel, Khamis lalu.Masih tidak puas hati dengan bahasa David yang dianggap kurang beradab, Apek kemudian tampil dengan tuntutan-tuntutan sampingan termasuk memperjuangkan isu bayaran tertunggak berjumlah RM200,000. Dakwa Apek, bayaran itu sepatutnya dilangsaikan David hasil kutipan filem lakonannya dalam filem Lady Boss dan Anak Mami Kembali, lima tahun lalu.

Permohonan maaf David sebelum ini dianggap belum cukup untuk membasuh luka dan hina terhadap keluarga Allahyarham Bob. Tidak sahaja hutang lakonan dan pelaburannya, pelawak itu turut menuntut David membayar tunggakan puluhan artis serta kru yang lain.

"Tanggungjawab nombor satu saya ialah menuntut David supaya membayar hutang maaf secara terbuka, bukan menerusi e-mel tetapi menerusi media elektronik."Dia (David) keluarkan kenyataan menerusi media elektronik jadi permohonan maaf juga harus dengan media elektronik. Memang David tiada hutang duit dengan arwah Bob, dia cuma ada hutang maruah kepada arwah dan keluarga arwah. Itu sahaja," jelas Apek saat dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.

Sensasi Bintang juga difahamkan Apek bersama sekumpulan artis serta kru penggambaran akan mengadakan sidang media tergempar. Selain itu, Apek didakwa akan mengemukakan bukti-bukti penyelewengan pemilik rumah produksi gergasi itu.

Sensasi Bintang: Boleh namakan artis yang akan hadir untuk menuntut hak mereka nanti?

SAIFUL APEK: Terlebih dahulu saya minta maaf, saya tak boleh nak nyatakan di sini. Biarlah mereka hadir dulu ke sidang media berkenaan dan barulah masyarakat akan tahu dengan sendiri. Jika tidak dapat, saya memang mahu merakamkan luahan mereka untuk dipertontonkan kepada media pada sidang media berkenaan.

Adakah David Teo digesa hadir ke sidang media berkenaan?

Saya memang tak jemput tapi kalau David dan pihaknya ada rasa tanggungjawab, maka kehadiran mereka dialu-alukan.

Masalah ini nampaknya sudah berlarutan daripada satu isu kepada satu isu, apa sebenarnya tuntutan Apek?

Nombor satu, saya mahu tuntut hutang maruah dan permohonan maaf secara terbuka. Minta maaf menerusi e-mel tidak beri erti. Cara David bercakap kepada Melodi lain, dan cara dia hantar e-mel juga lain. Memandangkan David dan MIG ada masalah dengan ramai artis dan kru penggambaran, sidang media itu juga akan perjuangkan soal bayaran yang selama ini tidak diketahui pihak luar. Ramai yang takut mahu buka mulut sebab sayangkan periuk nasi.

Kenapa tak guna persatuan atau peguam untuk selesaikan soal bayaran itu?

Saya tak berniat nak ketepikan persatuan seni dalam soal ini. Media sudah buat hebahan dan saya yakin persatuan sudah sedar perkara ini. Saya amat berbesar hati jika ada pihak persatuan yang mahu turun padang bersama-sama saya nanti. Soal peguam pula, saya memang sedang berbincang dengan peguam. Saya sudah lantik peguam yang baharu untuk kendalikan kes ini. Kes saya dulu pernah dibicarakan di mahkamah, tapi hingga ke hari ini, saya sendiri tidak tahu apa statusnya.

Anda sendiri ada hubungi David berhubung isu bayaran itu?

Saya sudah puas saya turun naik pejabat MIG, sekarang tak guna lagi berdiam diri. David sendiri tidak hubungi saya, tapi seorang stafnya ada menghantar pesanan menerusi Twitter seolah-olah memperlekehkan saya. Tak mengapalah, saya berani kerana benar
. - TENGKU SUZANA RAJA HAMAT