SUPPORT PENAJA

Monday, 13 February 2012

BUMBUNG RUNTUH 11 PELAJAR MALAYSIA TERSELAMAT




JAKARTA 12 Feb. - Mahasiswa Malaysia yang rumah sewa mereka ditimpa bumbung di Grogol, Jakarta Utara di sini tengah malam tadi terpaksa menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap. Kejadian selepas hujan renyai itu sekali gus mengakibatkan 11 mahasiswa wanita Malaysia serta 20 mahasiswa wanita tempatan hanya sempat menyelamatkan barangan peribadi dan dokumen penting sahaja.

Menurut seorang pelajar Malaysia, Nor Ubudiah Seti, ketika kejadian, dia bersama lapan daripada 11 teman dari Malaysia sedang berehat di rumah. Bagaimanapun, tiba-tiba dia dan teman-temannya terdengar bunyi kuat dari luar rumah menyerupai bunyi lori simen terbalik.

Sebaik menjenguk ke luar rumah, Nor Ubudiah mendapati penduduk setempat mula kecoh dan menjerit melihat bumbung tersebut menimpa bangunan rumah dua tingkat yang didiami itu. Menurut Nor Ubudiah, siasatan polis mendapati tiang penyangga kayu, bahagian hadapan atap rumah berkenaan telah reput hingga menyebabkan ia runtuh dan jatuh hingga menutup pintu keluar rumah.

"Atap rumah itu yang runtuh menyebabkan pintu masuk tertutup dan kami yang berada dalam rumah terperangkap sehingga memaksa jiran tetangga memecahkan salah satu tingkap di bilik tingkat bawah rumah supaya kami dapat keluar menyelamatkan diri," kata Nor Ubudiah pelajar tahun empat jurusan perubatan di Universiti Trisakti di sini menceritakan pengalamannya.

Akibat daripada bencana itu, Nor Ubudian dan rakan-rakan dari Malaysia serta mahasiswa Indonesia terpaksa mencari perlindungan sementara dengan menumpang di rumah kenalan mereka. Nor Ubudiah juga pada masa sama berterima kasih pada pihak Education Malaysia (EM) di Kedutaan Besar Malaysia di sini yang segera menghulurkan bantuan kepada mereka.

Menurut Nor Ubudiah, dia dan teman-teman serumahnya juga hanya berkesempatan menyelamatkan dokumen-dokumen penting, komputer riba serta sedikit pakaian.

"Segala nota dan buku-buku tidak sempat diselamatkan. Hal ini sangat merisaukan kami kerana kami akan mnghadapi peperiksaan hujung minggu depan," kata Nor Ubudiah 23 tahun.

Sementara itu, EM menawarkan tempat tinggal sementara di Malaysia Hall Jakarta bagi memastikan sebahagian besar pelajar yang terlibat dalam bencana itu dapat menduduki peperiksaan tanpa sebarang halangan.

Menurut Atase Pendidikan yang juga Setiausaha I (Pendidikan) di EM, Ludinata Misnun, pihaknya akan sentiasa memantau semua mahasiswa berkenaan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terus terpelihara.


Sumber dari UTUSAN

No comments:

Post a Comment