CUCI THE MUSICAL LAST KOPEK (CUCI 3) BAKAL MENGGEGARKAN ISTANA BUDAYA (IB) | Kesan daripada kejayaan dan fenomena menerusi pementasan Cuci The Musical, pada 2009 dan 2010, membuktikan peminat seni tempatan semakin meminati bidang teater. Justeru, ia sekali lagi dipentaskan kembali di Istana Budaya (IB), di bawah terbitan Tall Order Productions (TOP) Sdn Bhd, bermula 2 hingga 18 Mac 2012 ini. Masih mengekalkan Pengarah sama, Harith Iskander, Cuci The Musical Last Kopek (Cuci 3), pastinya dinanti-nantikan penonton.
Menjanjikan yang terbaik dalam pementasan ini, Penerbitnya, Hans Isaac berkata, ia memberi pengalaman baru kepada penonton, sementelah lagi ia merupakan pementasan terakhir Cuci.
“Selepas ini tiada lagi Cuci di pentas teater. Bagaimanapun, pementasan terakhir ini meninggalkan kesan kepada semua dan menjadi sejarah buat Cuci,” katanya ketika majlis sidang media, Cuci The Musical Last Kopek di IB.
Menyediakan komedi lebih spontan dan bersahaja dalam pementasan terakhir ini, Hans menjelaskan pendekatan tersebut diambil berdasarkan kajian dilakukan terhadap penonton ketika menyaksikan Cuci 1 dan 2.
“Rata-rata penonton dilihat lebih menggemari jenaka yang santai dan tidak berpandukan kepada skrip sahaja. Lagipun lawak-lawak spontan ini lebih menjadi. Lebih-lebih lagi pelakon terbabit mempunyai sudah mempunyai aura dan cara tersendiri untuk membuatkan penonton ketawa.
“Selain itu, keunikan bagi Cuci 3 ini adalah kami akan membuat persembahan yang berlainan setiap malam. Ia merupakan satu perkara baru kerana tidak pernah berlaku di mana-mana pementasan teater,” katanya yakin penonton pasti terhibur seperti mana Cuci, musim lalu. Masih mengekalkan Awie, Afdlin Shauki, Nabil, Vanidah Imran, Reefa dan Hans sendiri, plot serta jalan ceritanya juga tidak berubah sama sekali.
Cuci mengisahkan empat sahabat memasang impian untuk mendapatkan tender sebagai pasukan pencuci di Menara Berkembar Petronas. Melibatkan seramai 230 krew, yang mana masih menggunakan khidmat dan hasil kerja kreatif, Acis, selaku pengarah muzik, teater ini turut mendapat sentuhan Azwa sebagai koreografer. Sebanyak 22 pertunjukan akan diadakan termasuk persembahan siang dan malam pada setiap Sabtu dan Ahad.
Sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment