SUPPORT PENAJA

Wednesday, 15 February 2012

JAC JELAS ISU SENTAP DENGAN PEMINAT

Biarpun ramai pihak memuji kehebatan Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) yang disifatkan paling berprestij sepanjang penganjurannya, ada pula beberapa pihak menyalahkan Jaclyn Victor di atas kekalahan lagu Sedetik Lebih.Malah ada juga pihak bertindak membuat undian, penyanyi mana lebih bagus membawa lagu tersebut. Namun kerana tindakan dan kritikan berlebihan segelintir peminat ‘tegar’ lagu tersebut nyanyian asal Anuar Zain, Jaclyn atau nama penuhnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor dikatakan naik angin, menerusi beberapa kenyataan dikeluarkan menerusi laman Facebook miliknya.

Jaclyn atau mesra di sapa Jac semasa dihubungi Zass mengakui tahap kesabarannya hilang, selepas beberapa pihak menyalahkannya kerana kegagalan lagu Sedetik Lebih memenangi tiga lagu terbaik, biarpun penilaian lagu itu sudah dilakukan 80 peratus sebelum malam kemuncak tersebut.“Saya bukanlah seorang yang cepat naik darah, nak melenting tak tentu pasal. Saya rasa, saya sangat penyabar orangnya. Saya pasti, setiap kesabaran manusia pasti ada hadnya dan saya cuma manusia biasa sama seperti yang lain.Saya akui saya tersilap kerana cepat sangat ‘meletus’, saya sepatutnya lebih sabar menghadapi sebahagian pihak mungkin tidak menyukai saya. Malah jika difikirkan, kalau saya menyanyi, sedap macam mana, bagus macam mana sekali pun, orang belum tentu menyukai saya.

“Saya juga tak berniat meminta simpati sesiapa, cuma saya harap orang lebih faham sesuatu keadaan sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan. Tapi jika ada pihak yang terasa dengan saya, saya mohon maaf,” jelasnya. Jac berkata, pihak yang tidak berpuas hati dengan kekalahan Sedetik Lebih harus memahami AJL itu sendiri sebelum menuduhnya yang bukan-bukan.

“Anugerah Juara Lagu adalah program menilai lagu, lirik, melodi. Ia tentang penulis lirik dan pencipta lagu. Kami sebagai penyanyi hanya menyanyikan sahaja lagu tersebut. Ini bukan Anugerah Juara Penyanyi, yang mempertandingkan penyanyi, ia mempertandingkan lagu. Sebagai bonus untuk penyanyi hanyalah anugerah vokal dan persembahan sahaja,” terangnya lagi.

Hanya salah faham

Jac menjelaskan, perkataan ‘bodoh ke apa?’ yang ditulis di Facebooknya itu bukan ditujukan kepada peminat atau pihak yang mengkritiknya, sebaliknya ayat itu ditujukan kepada dirinya sendiri. Saya bukan bodoh untuk mengatakan orang lain bodoh. Maksud perkataan bodoh ke apa? kalau difahami adalah, bodohlah saya jika saya melepaskan tawaran yang tak mungkin saya kecapi selepas ini. Malah Anuar Zain sendiri menyatakan rasa gembiranya kerana saya yang membawakan lagu tersebut. Selepas tamat persembahan, Anuar sendiri menghubungi saya menerusi Blackberry Messenger (BBM) memuji persembahan saya,” katanya.

Jac berkata, tatkala ditawarkan pihak KRU untuk menyanyikan lagu tersebut, dia sendiri terkejut.

“Semuanya bermula dengan tawaran untuk menjadi artis mereka. Kemudiannya, pada sesi perbincangan yang lain, barulah mereka memberitahu mereka mahukan saya menggantikan Anuar. Bila mereka tawarkan pada saya, saya rasa ia tanggungjawab berat yang tak mampu saya tolak. Orang selalu kata, peluang tak selalu datang. Justeru kita perlu fikir untuk menerima peluang itu dan saya menerima peluang itu bukan kerana saya gila glamor atau tamak nak menyanyi dua lagu pada malam itu,” katanya.

Bukan penghujung

Biarpun dikutuk dan dituduh sebagai punca kekalahan, Jac berkata ia tidak menjadi titik noktah buatnya untuk membantu komposer lain andai diberi tawaran membantu membawakan lagu penyanyi lain pada masa akan datang.

“Jika ada pihak mahu memberi kepercayaan kepada saya dan saya rasa mampu untuk membawakan lagu itu dengan baik, serta selagi ia tidak mengganggu saya, saya tiada masalah untuk membantu. Selain itu, ia mungkin menjadi peluang untuk mempelajari tentang muzik dan saya tidak pernah puas belajar mengenai muzik,” katanya.

Jac yang baru mengikat kontrak bersama KRU Music sebagai artis rakaman selama setahun, kini mempergiatkan promosi single terbarunya, Sebelah Jiwaku, ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim. Malah kata Jac, sebelum dia merakamkan lagu tersebut, dia sendiri berbincang bersama Edry untuk mencari strategi terbaik. Atas alasan itulah, dia terbuka hati menerima lamaran KRU kerana syarikat itu tidak membatasi keinginannya sebagai penyanyi.

"Menerusi bakat saya, saya tidak mahu menjadi stereotaip dan berusaha membawa diri ke depan dengan menyampaikan lagu-lagu berentak berbeza,” kata gadis berusia 33 tahun ini.


Sumber dari Sinar Harian .

No comments:

Post a Comment