SUPPORT PENAJA

Friday, 24 February 2012

RUSUHAN DI PENJARA BALI

Pihak berkuasa Indonesia semalam memulakan perpindahan banduan asing dan wanita dari sebuah penjara di Bali yang telah ditawan oleh sekumpulan banduan sejak kelmarin. Kumpulan pertama banduan asing dan wanita itu menaiki bas di luar pintu masuk penjara Kerobokan.
Sejumlah anggota polis yang memakai topi dan peralatan perlindungan rusuhan turut tiba bagi menambahkan bilangan ratusan anggota pasukan keselamatan yang mengepung penjara tersebut. Empat banduan lelaki asing dilihat dibawa keluar dengan menaiki sebuah bas diikuti dengan sembilan wanita termasuk banduan dari negara Barat dan Asia.

Seramai 17 banduan Indonesia dilihat menaiki bas yang ketiga. Polis dan pasukan tentera telah menyerbu penjara itu pada subuh kelmarin untuk menguasai penjara tersebut selepas berlaku kebakaran dan batu dibaling para banduan. Namun, para banduan kembali menawan penjara tersebut pada waktu malam.

Jurucakap polis Bali, Hariadi berkata, sekumpulan banduan masih mengawal penjara tersebut tetapi situasi di dalamnya dilihat tenang. "Ekoran rundingan telah dibuat, para banduan itu berjanji tidak akan mencetuskan sebarang anarki," katanya.

Seramai 12 daripada 60 banduan asing yang terdapat dalam penjara tersebut disabitkan kesalahan melakukan penyeludupan dadah. Jurucakap tentera komando wilayah, Wing Handoko menyatakan, pihaknya tidak akan menyerbu penjara tersebut sebelum banduan asing dan wanita itu dipindahkan.

Ketua Penjara Kerobokan, Bowo Nariwono berkata, pihak berkuasa telah berunding dengan para banduan sebagai usaha untuk menamatkan penawanan tersebut yang menempatkan 1,015 banduan, lebih tiga kali ganda daripada bilangan banduan sebenar yang sepatutnya ditempatkan di penjara berkenaan.

Para banduan yang menawan penjara itu menuntut penghantaran pulang tiga banduan yang dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang tentang cara layanan terhadap mereka. 

Beberapa pegawai dan laporan media menyatakan masalah itu bermula selepas salah seorang banduan ditikam pada Ahad lalu sekali gus mencetuskan tindakan balas dendam dalam kalangan banduan sehingga menyebabkan para pengawal penjara meninggalkan kemudahan tersebut.










No comments:

Post a Comment