SUPPORT PENAJA

Thursday 15 March 2012

OGY BATAL HASRAT SAMAN JOHAN RAJA LAWAK


Bila tau hal nie sure Johan (Raja Lawak) tersenyum lebar sambil menarik nafas lega berikutan pelakon dan pengacara Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) telah membatalkan hasratnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dirinya kerana berpendapat enggan memanjangkan isu tersebut.
Terdahulu, aktres itu dilaporkan berasa kecil hati dan terhina akibat sikap celupar mulut pelawak itu yang mempersendakan Allahyarham ibu bapanya iaitu seniman Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah ketika mengacarakan Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) lalu.Ogy berkata keputusan itu diambil kerana dia sudah berasa sejuk hati dan memaafkan keterlanjuran pelawak itu. “Industri kita bukan besar mana pun. Mungkin pada masa akan datang kami akan bekerjasama. Jadi buat apa panjang-panjangkan hal macam ini.“Memang betul saya marah dengannya sebelum ini tetapi selepas beberapa ketika saya mula sejuk hati dan sudah memaafkan dia,” katanya. Ogy berkata demikian pada majlis memperkenalkan protege program Mentor musim keenam di Hard Rock Cafe, di sini, Selasa.Ogy berkata dia membuat keputusan itu selepas mendapat petunjuk daripada Allah.


“Sebelum ini, saya terasa hati dengannya apabila dia ketawa dengan teguran saya mengenai gurauannya itu selepas acara tersebut.“Alhamdulillah, kini saya berasa lebih tenang selepas memaafkan Johan dan kemarahan itu sudah reda,” katanya.Ogy juga berkata, insiden itu mempunyai hikmah dan memberikan pengajaran kepada Johan agar lebih peka dan sensitif dengan keadaan sekeliling khususnya ketika mengacara atau berlawak di depan khalayak.

PADAH AKIBAT MENCABUL TEMAN WANITA ORANG

Angkara tangan tak boleh dok diam badan merana . Itulah nasib yang menimpa seorang lelaki bila dibelasah dengan teruk di sebuah kafe di Taman Tunku Haminah , Sungai Petani . Insiden kecoh tersebut berpunca apabila seorang lelaki yang dipercayai mabuk bertindak memegang dan meraba punggung seorang wanita yang sedang mengambil makanan di kafe itu.
Semasa kejadian pada pukul 1 pagi, seorang wanita Cina berusia 30-an pergi ke kafe itu bersama teman lelakinya untuk makan tengah malam. Namun, semasa leka memilih makanan, mangsa terkejut dan berasa amat malu apabila punggungnya didakwa dipegang dan diraba oleh seorang lelaki bertubuh besar.

Sebelum mencabul mangsa, lelaki itu didakwa asyik memerhatikan wanita itu yang berdiri ketika memilih makanan.Wanita berkenaan yang terkejut dengan kejadian itu membatalkan hajatnya mengambil makanan dan pergi ke meja sebelum mengadu kepada kekasihnya mengenai insiden tersebut. Kekasih mangsa yang geram dengan tindakan lelaki Cina itu terus membelasahnya sebelum pelanggan lain di restoran tersebut turut memukul lelaki yang didakwa mencabul itu.Ada antara pelanggan membelasah lelaki itu menggunakan topi keledar.

Selepas kira-kira lima minit menjadi mangsa belasahan, lelaki yang berusia 30-an itu cedera teruk di kepala, muka bengkak dan berdarah beberapa anggota badan. Dia diselamatkan oleh beberapa orang awam lain yang melihat kejadian itu.Dia yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini dengan ambulans.Difahamkan, wanita itu mengenali lelaki berkenaan. 
Semasa kejadian wanita itu dan lelaki tersebut yang dipercayai tinggal di kawasan sama datang secara berasingan.

28 TERMASUK 22 KANAK-KANAK TERKORBAN NAHAS NGERI DALAM TEROWONG



Kira-kira 28 orang termasuk 22 kanak-kanak maut apabila bas yang mereka naiki terbabas di dalam terowong di sebuah lebuh raya di Valais, Sierre. Agensi berita SDA-ATS hari ini melaporkan, ketika kejadian, bas dinaiki kanak-kanak itu dalam perjalanan pulang ke Belgium malam tadi daripada percutian di sebuah pusat peranginan ski Val d'Annivers."Semasa melalui lebuh raya menghala ke arah Sion itu, bas tersebut melanggar dinding terowong berdekatan susur keluar Sieere."Bas itu didaftarkan di Belgium,'' kata agensi berita itu. Di Brussel, Kementerian Luar Belgium berkata, kebanyakan kanak-kanak terbabit berumur 12 tahun dan bas berkenaan merupakan antara tiga buah kenderaan yang disewa.   




LAMBAIAN TERAKHIR


Seorang bapa tidak menduga lambaian anaknya sebelum bertolak ke tempat kerja adalah yang terakhir sebelum anaknya menemui ajal selepas terlibat dalam kemalangan kira-kira 100 meter dari rumahnya di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, mangsa, Muhammad Fitri A Gani, 19, yang bekerja di sebuah kilang elektronik di Senai menunggang basikal sebelum menaiki van kilang yang menunggu di hadapan kampungnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Bagaimanapun, basikal yang dinaiki itu terbabit dalam satu kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda dan sebuah van pekerja di Kilometer 1.2, Jalan Ayer Baloi-Bukit Batu, di Kampung Parit Panjang di sini. Bapa mangsa, A Gani Ibrahim, 65, Gani, ketika ditemui di rumah mayat Hospital Pontian pagi semalam memberitahu, dia didatangi jirannya selepas selesai bersolat subuh di masjid dan diberitahu mengenai kemalangan yang melibatkan seorang penunggang basikal berhampiran rumahnya.
“Saya terus berdebar-debar kerana ketika itu saya secara langsung fikirkan anak saya kerana dia me­nunggang basikal setiap pagi sebelum menaiki van kilang, Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati ada seorang mangsa kemalangan sedang tertiarap di tepi jalan,” katanya kepada Sinar Harian. Menurutnya, dia terkejut apabila mendapati mangsa tersebut adalah anaknya sendiri dan terus memapah serta memeluknya.“Saya dapati bahagian keadaan kepalanya dipenuhi darah," katanya.

Katanya, anak bongsu dari enam beradik itu baru dua bulan bekerja di Senai.Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan, Wan Razani Wan Ibrahim berkata, kemalangan yang berlaku pada awal pagi itu membabitkan tiga kenderaan iaitu basikal, pacuan empat roda dan van pekerja.Katanya, pacuan empat roda itu dari arah Bukit Batu ke Ayer Baloi manakala van pula dikatakan dalam perjalanan dari arah Ayer Baloi ke Kulaijaya.

Dalam kejadian itu katanya, empat mangsa mengalami kecederaan ringan manakala seorang cedera parah di bahagian kaki, manakala Muhammad Fitri meninggal dunia di tempat kejadian.Sementara itu, Ketua Operasi di Jabatan Bomba dan Penyelamat Pontian, Mohd Zamry Sukarseh bersama enam anggota mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan alat pemotong.

POLIS KESAN WANITA HANTAR IBU DIRANG SMS UGUT

Polis Kelantan telah mengesan individu yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan dan meminta wang 'tebusan' daripada ibu Allahyarham Nurul Nadirah Abdullah, kanak-kanak yang dibunuh dan dibakar selepas diculik awal bulan ini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, pihaknya kini sudah menjalankan siasatan dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis Johor.Menurutnya, setakat semalam tiada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan serta gerakan memburu suspek berkenaan giat dijalankan bagi membantu siasatan.

“Kita tidak mengetahui sama ada SMS ini satu mainan atau benar-benar daripada suspek, Ini kerana semua siasatan dilakukan oleh polis Johor. Bagaimanapun, kita akan memberikan segala maklumat diperlukan untuk mengesan individu yang menghantar SMS terbabit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff yang meminta bantuan polis Kelantan untuk mengesan suspek yang menghantar SMS tersebut. Sebelum ini, ibu kanak-kanak malang itu, Roselyn Alan menerima SMS ugutan yang meminta beliau menyerahkan RM10,000 di Taman Tengku Anis, Kota Bharu jam 12 tengah hari, jika tidak anaknya akan mati.

Roselyn Alan dilaporkan menerima panggilan dan SMS daripada seorang wanita tidak dikenali dari Kelantan, semalam. Mohd Mokhtar berkata, pihaknya telah berhubung dengan polis negeri itu bagi membantu menyiasat kes tersebut. "Kita minta bantuan polis Kelantan untuk cekup individu itu, kesan dia dan bawak dia ke Johor," katanya. Roselyn sebelum ini dilaporkan menerima panggilan telefon dan SMS daripada seorang yang tidak dikenali mengugut untuk membunuh Dirang jika tidak dibayar wang tebusan sebanyak RM30,000.

SUSPEK PERNAH UGUT NENEK DIRANG



“Siap la kau nanti.. ingat aku takut berperang dengan kau...!”

Itu antara jeritan dan ugutan salah seorang daripada empat suspek yang ditahan kepada nenek mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5.Ibu mangsa, Roselyn Alan, 25, memberitahu ibunya, Milnah Jul, 56, pernah bergaduh dengan salah seorang suspek yang ditahan kerana menegur tentang kecurian kabel dan tindakan suspek memukul seorang budak yang tinggal di sini, Disember tahun lepas.

“Selepas pergaduhan itu, kami hidup macam biasa dan bertegur sapa apabila berjumpa, tetapi tidak menyangka dia tergamak melakukan tindakan sekejam itu. “Saya mahu suspek (yang membunuh anaknya) dikenakan hukuman yang setimpal kerana saya yakin dia adalah pelakunya kerana ramai penduduk di sini yang nampak perbuatannya melarikan Dirang,” katanya. Roselyn percaya bekas suaminya tidak terlibat langsung dalam perkara itu kerana mereka berpisah cara baik dan bekas suaminya terlalu sayangkan anak-anaknya.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk pihak polis dan jiran-jiran yang membantu sehingga anak saya ditemui semula walaupun dalam keadaan seperti itu.“Sebagai ibu, saya reda dan menerima takdir ALLAH yang menetapkan dia meninggal dalam keadaan begitu,” katanya.

IBU BERMIMPI DIRANG DATANG



Ibu kanak-kanak mangsa bunuh dan bakar, Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau lebih mesra dipanggil Dirang, bermimpi anak kesayangannya itu hadir dalam mimpinya, malam kelmarin. Roselyn Alan, 25, berkata, dalam mimpi itu, Dirang tidak berpakaian lengkap tetapi hanya memakai seluar biru, datang memeluk dan menciumnya.
Ibu malang itu memberitahu, Dirang berpesan supaya jangan menangisi pemergiannya lagi kerana dia ‘sudah tenang di sana’. Katanya, Dirang datang kepadanya dan bertanya: “Mak cari saya? “Saya cakap kenapa kau (Dirang) tidak balik?’ kata Roselyn. 
Menurut Roselyn, selepas itu, Dirang memberitahunya: “Mak jangan menangis kerana saya sudah ok di sini” sambil memeluk dan menciumnya sehingga dia terjaga kira-kira jam 3 pagi. Roselyn yang masih tidak mampu menahan hiba, menceritakan kisah mimpinya yang memilukan itu kepada wakil media di kediamannya selepas urusan pengebumian jenazah Dirang, di sini, semalam.
Jenazah Dirang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Masai kira-kira jam 1.30 petang, dalam keadaan hujan renyai dan cuaca mendung sejak awal pagi.Keadaan itu seolah-olah menangisi pemergian kanak-kanak malang itu yang menjadi mangsa pembunuhan kejam manusia berhati binatang. Kesedihan dengan linangan air mata dalam kalangan keluarga, saudara-mara, jiran dan rakan-rakan, menyelubungi suasana di kawasan tanah perkuburan itu.Selain Roselyn, bapa tirinya, Lima Medang, 25, dan kaum keluarga terdekat, hampir 100 orang terdiri daripada jiran dan masyarakat setempat yang simpati dengan nasib insan kerdil yang tidak berdosa itu turut sama menghadiri pengebumian itu.
Ada dalam kalangan mereka tidak dapat menahan sedih dan turut menitiskan air mata, apabila melihat keadaan Roselyn yang menangis pilu apabila talkin dibacakan oleh Imam 1 Masjid Nur Hidayah, Jalan Tasek Bandar Seri Alam, Abdul Rahman Ismail.Roselyn berkata, dia merancang untuk berpindah ke tempat lain, tetapi masih belum tahu lokasi sebenar dan kini dia perlukan masa kerana masih trauma dengan kejadian memilukan itu.

“Sebelum ini, saya memang ada merancang hendak berpindah rumah, tetapi keadaan suami ketika itu masih belum bekerja. Kami akan berpindah ke tempat lain selepas ini kerana tidak mahu lagi terbayang-bayang dengan kenangan bersama Dirang,” katanya.


Katanya, Dirang begitu gemar menonton cerita kartun Upin dan Ipin dan Barbie.“Saya selalu marah pada dia kerana setiap hari bangun dari tidur, dia terus memasang cerita kartun Upin dan Ipin dan Barbie, tetapi sekarang tidak ada lagi Dirang yang berulang-kali menonton cerita itu,” katanya.