SUPPORT PENAJA

Wednesday 30 May 2012

BENARKAH GAJI NAZMI RM 300,000 SEBULAN

Lumayan bukan ... Jika Safee Sali menerima gaji bulanan berjumlah Rupiah 350 juta (RM118,000) sebulan, wonderkid Malaysia yang baru sahaja mengikat kontrak tiga tahun bersama kelab Portugal, Beira-Mar, Nazmi Faiz pula dikhabarkan bakal menerima gaji bulanan sebanyak RM 300,000.

Mencetus fenomena dalam bola sepak negara selepas terpilih sebagai pemain untuk kelab liga divisyen satu Portugal sehingga Jun 2015 nanti, gaji pemain tengah Harimau Muda itu kini menjadi topik perbualan hangat penyokong serta pemerhati bola sepak tempatan. Meskipun khabar angin mengenai gaji yang bakal diterima oleh Nazmi masih belum dapat disahkan, namun, sekiranya benar, pemain muda yang bakal mencecah 18 tahun 16 Ogos nanti akan bergelar pemain termuda Malaysia berstatus jutawan selain Safee Sali.

Sementara itu, ejen Nazmi, Marco Guimaraes, mengakui jumlah gaji yang bakal ditawarkan kepada tonggak skuad bawah 22 tahun itu adalah sangat lumayan bagi seorang pemain muda dari Asia Tenggara, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar yang akan diterima oleh anak buah Ong Kim Swee itu."Terpulang kepadanya (Nazmi) sama ada untuk mendedahkannya atau tidak, katanya.

Dalam perkembangan lain, akan mula menyertai latihan bersama Beira-Mar selepas pusingan kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun yang akan bermula 21 Jun sehingga 4 Julai nanti, Nazmi akan turut ditemani pengendali Harimau Muda, Ong kim Swee. Selain menguruskan soal kontrak dengan kelab tersebut, Kim Swee yang berada di sana selama seminggu akan turut membantu anak buahnya menyesuaikan diri sebagai pemain professional di kelab Eropah itu.

KEMBAR 3 ANTARA MANGSA KORBAN KEBAKARAN DI DOHA

Sungguh menyedihkan  dan menyayat hati bila laporan dikeluarkan menyatakan 13 kanak-kanak adalah antara sekurang-kurangnya 19 yang menjadi mangsa korban  kebakaran di sebuah pusat beli belah popular di negara Teluk berkenaan.


Angka kematian dalam kebakaran di pusat beli-belah Villagio di sini diumumkan di laman web kementerian berkenaan petang kelmarin.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Syeikh Abdullah bin Nasser Al-Thani berkata, sebahagian mangsa mati ketika pasukan penyelamat berusaha memasuki tempat jagaan harian kanak-kanak di dalam bangunan itu."Kami berusaha sedaya upaya tetapi apabila kami sampai di tempat kejadian, kanak-kanak terbabit telah terperangkap. Kami memohon maaf atas yang berlaku," katanya di sini.

Media tempatan dan asing melaporkan, antara mangsa yang maut termasuk empat kanak-kanak Sepanyol, seorang warga Perancis dan pasangan kembar tiga berusia dua tahun dari New Zealand.Turut hilang nyawa dalam tragedi ngeri tersebut ialah empat orang guru dan dua petugas pertahanan awam, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan.
Kenyataan sama menyebut, 17 orang lagi, kebanyakannya merupakan pekerja penyelamat, cedera dalam kebakaran tersebut.Terdahulu, beberapa saksi berkata, mereka melihat asap tebal naik ke udara dari pusat beli-belah berkenaan sekitar tengah hari kelmarin.

Kementerian Dalam Negeri memberitahu, kebakaran dapat dipadamkan beberapa jam kemudian. - Agensi