SUPPORT PENAJA

Wednesday 16 May 2012

PENDATANG SANGGUP DUDUK DALAM BONET SELAMA 20 JAM


Pendatang tanpa izin memang diketahui sanggup melakukan apa saja asalkan dapat menyusup masuk ke Itali, tetapi penemuan terbaru semalam dianggap begitu luar biasa. Seorang pemuda Afghanistan sanggup bersembunyi dalam bonet kereta dengan posisi mengerekot selama 20 jam.

Menurut polis, pemuda berusia 18 tahun dan tidak didedahkan identitinya itu berharap dapat masuk ke Itali melalui Bari dengan cara begitu. Bagaimanapun, kata sumber, usahanya gagal apabila pegawai imigresen melakukan pemeriksaan mengejut dan menemuinya dalam bonet kereta Nissan berkenaan. “Ketika ditemui, pemuda itu bersembunyi di celah enjin kereta dengan berbekalkan sebotol air dan sehelai selimut,” katanya.

Jurucakap imigresen Bari berkata, mereka menahan kereta berkenaan selepas mendapati pemandu dan penumpangnya – kedua-duanya warga Bulgaria – dalam keadaan cemas. Katanya, kereta itu baru saja tiba di Bari menaiki feri dari Greece. Jurucakap itu berkata, pemandu terbabit dikenali sebagai Kaloyanov Ivaylo, 24, manakala temannya Georgieva Stanislava, 39.

“Kedua-dua mereka ditahan, manakala pendatang tanpa izin itu terpaksa dibantu keluar dari bonet berkenaan kerana berada dalam keadaan separuh sedar,” katanya. Pemuda Afghanistan itu kemudian dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Feri berkenaan berlepas dari Patras pada pagi Ahad sebelum singgah di Igoumenitsa dan menyambung perjalanan ke Bari. Laluan itu memang popular di kalangan penyeludup manusia yang mengenakan caj minimum 5,000 euro (RM19,664) untuk masuk ke Itali.

SAIFUL APEK AKHIRNYA AKUR KEPUTUSAN MAHKAMAH

Rentetan dari kisah yang mengatakan Saiful Apek bertegas ingin menyaman David Teo , berita terbaru lain plak jadi nya bila pelakon dan pelawak popular tersebut akhirnya akur dan reda apabila keputusan mahkamah yang membatalkan tuntutan beliau terhadap penerbit, David Teo yang didakwa gagal melunaskan pulangan pelaburannya berjumlah RM200,000 sebelum ini.
“Apalagi saya boleh buat apabila, saya mungkin itu bukan rezeki saya dan saya tidak mahu membangkitkan lagi isu itu lagi.“Bagaimanapun, saya tetap berbangga dengan cara saya memperjuangkan isu tuntutan ini.“Saya mungkin ‘buta kontrak’ tetapi jika diberi skrip boleh saya faham malahan, ramai artis yang tidak faham isi kandungannya,” katanya pada sidang media hari ini.
Tuntutan tersebut berkaitan bayaran untuk filem Lady Boss dan Anak Mami Kembali selepas dia yang membintangi kedua-dua filem berkenaan di mana Apek melaburkan wang hasil lakonannya RM100,000 sejak 2005.Selain itu, Apek turut mendakwa Teo gagal menyiapkan album nyanyiannya berdasarkan kontrak yang ditandatangani pada tahun sama.

Sehubungan itu, Apek bercadang mahu menubuhkan sebuah biro yang dikenali sebagai Kesatuan Anak Seni (Kemas) yang memperjuangkan hak-hak anak seni melalui saluran yang betul.“Saya menyeru supaya mana-mana artis yang mempunyai masalah untuk tampil berjumpa dengan saya dan saya akan jadi orang tengah untuk utarakan masalah itu kepada orang yang lebih pakar dalam bidang tersebut.

“Kalau boleh biarlah kita bergabung untuk menuntut hak kita sebagai artis dan mendidik orang yang berkarya mengenai undang-undang mengenai perjanjian yang berkaitan anak seni.“Semua krew penerbitan yang terlibat perlu lebih peka dengan isu kebajikan dan undang-undang,” katanya lagi.

LAUNGAN BERSIH KEDENGARAN SEWAKTU NAJIB BERUCAP DI LONDON


Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di satu pertemuan bersama warga Malaysia di London semalam disambut dengan laungan slogan BERSIH oleh sebahagian hadirin. Sorakan slogan itu bermula apabila Najib mula mengambil tempat di atas pentas dan berlarutan ketika beliau memulakan ucapannya. Sorakan slogan itu menyebabkan Najib hilang tumpuan untuk meneruskan ucapannya dan terpaksa merayu supaya sorakan itu dihentikan."Bolehkah anda tolong berhenti? Boleh tolong berhenti," rayu Najib seperti dirakamkan dalam satu video yang dimuatkan di lamanYoutube.

Rayuan Najib itu disambut oleh seorang hadirin yang bertanya mengenai hak mereka untuk mengundi."Kami mahu mengundi. Kenapa anda tak bagi kami mengundi?" tanya individu itu di majlis tersebut. Najib kemudian cuba menenangkan kumpulan tersebut agar beliau boleh meneruskan ucapannya. "Anda boleh jumpa saya kemudian ok...bolehkah anda tolong hentikannya?" kata Najib.Sorakan tersebut kemudiannya surut dan Najib meneruskan ucapannya seperti biasa.

Acara yang dinamakan ‘An Evening with the Prime Minister’ itu dianjurkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di lokasi berprestij O2 Arena di kota tersebut. Program berkenaan diuar-uarkan sebagai satu acara untuk membolehkan rakyat Malaysia di London berinteraksi secara tidak formal dengan perdana menteri.



Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa sebahagian besar ucapan Najib kepada warga Malaysia yang menghadiri majlis "Sepetang Bersama Perdana Menteri" yang diadakan di dewan konsert 02 Arena di Greenwich, timur London, adalah mengenai hak dan tanggungjawab mereka dalam sebuah negara demokrasi dan pilihan rakyat melalui pilihan raya.
   
Najib berkata dalam mana-mana demokrasi akan ada mereka yang mengundi menyokong dan menentang, tetapi akhirnya, apa yang paling utama ialah pilihan rakyat.

KOREK TONG SAMPAH CARI MAKANAN ..




Pelik dan menjijikan . Namun bagi pencari sisa  sisa makanan yang dibuang dalam tong sampah untuk dimakan ini merupakan pekara biasa untuk mereka .
 Mereka ini merupakan kumpulan yang dikenali sebagai freegan yang tidak membelanjakan wang untuk membeli makanan. Freegan ialah gabungan dua perkataan dalam bahasa Inggeris iaitu free bermaksud percuma dan vegan yang merujuk kepada para pemakan sayur.

Kumpulan itu akan mencari pelbagai jenis makanan terbuang sama ada untuk disimpan atau dimakan. Anggota-anggota kumpulan itu turut membuat makanan seperti sandwic daripada sisa makanan. Matlamat kumpulan itu ialah untuk membangkitkan kesedaran orang awam tentang isu pengambilan makanan yang berlebihan. - Agensi




NENEK 15 CUCU DICEKUP BERKHALWAT

Seorang nenek kepada 15 cucu ditahan bersama seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Pandan Perdana, di sini dalam operasi cegah maksiat, awal pagi semalam. Dalam pemeriksaan jam 1 pagi itu, wanita warga Indonesia berusia 63 tahun itu bersama teman lelakinya warga Bangladesh berusia 41 tahun ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, serbuan ke atas rumah terbabit dilakukan hasil maklumat orang ramai. “Penguat kuasa agama mengetuk pintu bilik rumah berkenaan beberapa kali sebelum dibuka seorang lelaki yang hanya berseluar pendek beberapa minit kemudian,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, wanita yang mempunyai lima anak itu memberi alasan kononnya dia menumpang membasuh baju di rumah sewa lelaki terbabit kerana rumah cucunya mengalami masalah bekalan air. “Kami mendapati pasangan berkenaan tidak mempunyai sebarang hubungan mahram. Difahamkan mereka saling mengenali sejak tujuh bulan lalu. “Lelaki yang sudah berkahwin itu merupakan pekerja di sebuah restoran di ibu kota,” katanya.

Dalam operasi berasingan, sepasang kekasih dicekup di sebuah pangsapuri di sini pada jam 1.50 pagi, semalam. Ahmad Nawi berkata, pasangan berusia 24 dan 30 tahun itu ditahan anggota penguat kuasa selepas dipercayai pasangan itu berasmara dalam bilik sewa milik lelaki berkenaan.

“Perempuan itu memberi alasan berjumpa dengan teman lelakinya untuk mengadu berhubung masalah tempat kerjanya. “Ketika serbuan perempuan itu berpakaian lengkap, manakala pasangannya hanya berseluar pendek,” katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Pandan Indah untuk membuat laporan. Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

PERNIAGA TOKEK DIBEBASKAN SELEPAS SETAHUN DICULIK .


Nazarrudin mencium ibunya, Siti Hamdah
dan anak-anaknya ketika dipertemukan semula, semalam
Peniaga cicak tokek, Mohd Nazarrudin Saidin, 39, yang meloloskan diri dan diselamatkan selepas lebih setahun diculik di Pulau Jolo, selatan Filipina, menyifatkan diberi peluang kedua untuk hidup bersama keluarga tercinta. Nazarrudin berkata, sebelum ini dia pernah melarikan diri dan bersembunyi di hutan paya bakau selama sebulan.

Katanya, dia melarikan diri pada hari ke-10, Hari Raya Aidilfitri, 8 September tahun lalu.Dia yang memiliki enam anak berusia antara 5 dan 16 tahun berkata, tindakan nekad itu dilakukan kerana rasa rindu yang tidak terhingga kepada keluarga di tanah air.

“Saya nekad biarpun menyedari nyawa terancam. Sebaik berjaya meloloskan diri, saya bersembunyi di kawasan hutan paya bakau berseora­ngan selama sebulan.“Saya kepenatan dan kurang makan. Saya berputus asa dan kembali semula ke perkampungan tersebut,” katanya pada sidang media di pejabat Kelab Putera 1Malaysia, semalam. Katanya, sebagai hukuman, kakinya digari selama dua hari.

Menurutnya, selepas itu, dia tidak terfikir untuk melarikan diri sehinggalah dibantu orang kampung, kira-kira jam 9 malam, Sabtu lalu.Katanya, dia kemudiannya dihantar oleh penduduk kampung ke sempadan berhampiran perairan Sandakan, Sabah dengan menggunakan bot, yang mengambil masa 10 jam perjalanan. Di situ, Kelab Putera 1Malaysia, diketuai Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim membantu Nazaruddin dan membawanya pulang ke pangkuan keluarga.

Ketika menceritakan detik awal diculik, Nazarrudin berkata, dia bersama jurupandunya, Abdul Ghafar Akkirullah diculik 10 lelaki bersenjata api di sebuah rumah di Indanan, 8 Mei tahun lalu. “Kami ditempatkan di sebuah rumah. Di luar pula, ada orang bersenjata sedang berkawal. Selama di sana, kami diberi makan dan minum. Saya juga membantu mereka bercucuk tanam,” katanya. Nazarrudin juga mendedahkan, peniaga ikan warga Malaysia, Pang Chong Pong yang diculik di Pondohan Lok Angki, Sitangkai di Kepulauan Tawi-Tawi, se­latan Filipina, Oktober tahun lalu, turut ditempatkan bersama dengannya.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, pihaknya tidak memberikan wang tebusan walaupun sebelum ini, kumpulan penculik meminta bayaran sebagai pembebasan Nazaruddin.“Memang sebelum ini Umno dan Kelab Putera 1Malaysia berusaha menjejak Nazarrudin. Itu bukan satu tindakan mudah, tetapi kami tetap berusaha.

“Kami juga tidak dapat masuk ke kawasan perkampungan itu dan mujur penduduk kampung membantu menyelamatkannya,” katanya.