SUPPORT PENAJA

Friday 4 May 2012

PAKU PAYUNG : TAKTIK TERBARU MENYAMUN

Berhati-hatilah !!!! . Kini dengan hanya bermodalkan sebatang paku payung dan dua bilah parang sahaja , wang tunai RM200,000
milik   seorang pengarah syarikat di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Kesas  dilarikan tiga lelaki  petang semalam. Difahamkan, pe­ngarah terbabit baru sahaja mengeluarkan wang tunai itu dari sebuah bank di Seri Muda, Shah Alam kira-kira 30 minit sebelum itu.

Tanpa menyedari dia diekori, mangsa yang berseorangan kemudian masuk ke dalam kereta jenis BMW dan terus memandu menghala ke Lebuhraya Kesas. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, dalam perjalanan menuju ke Kota Kemuning, mangsa merasakan sesuatu tidak kena pada tayar kereta dipandunya.Menurutnya, mangsa kemudian memberhentikan keretanya di sebuah stesen minyak di laluan lebuh raya berhampiran Hentian Hicom arah Timur untuk melihat apa yang berlaku. 
Ketua Polis Daerah Subang Jaya,
Asisten Komisioner Yahaya Ramli
“Belum sempat mangsa turun dari kereta, datang tiga lelaki bersenjatakan parang memecahkan cermin tingkap pemandu dan penumpang di sebelah depan.“Disebabkan terlalu takut, mangsa segera membuka pintu dan keluar dari kereta sambil mengangkat kedua-dua tangannya,” katanya mangsa memaklumkan ketiga-tiga suspek masing-masing datang menaiki kereta jenis Toyota Harrier dan BMW berwarna putih yang diletakkan di depan dan belakang keretanya.

Yahaya berkata, dalam kejadian tidak sampai dua minit itu, salah seorang suspek mengambil beg berisi wang tunai sebanyak RM200,000 yang diletakan di bawah tempat duduk penumpang sebelah depan.Beliau berkata, pihaknya percaya geng samun terbabit menggunakan modus operandi mengikut mangsa dari bank sebelum memancitkan tayar mangsa menggunakan paku.Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun menggunakan senjata.

NAYATI AKUI TIDAK DIPUKUL ..




“Dia tak banyak bercakap kerana masih lemah dan trauma, tapi dia beritahu saya yang dia tak dipukul dan diberi makan minum yang cukup sepanjang tempoh dia diculik.”


Itu kata Norzaini Zainol Abidin, 31, individu yang menemui kanak-kanak lelaki warga Belanda yang diculik, Nayati Shamelin Moodliar, 12, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini, jam 7.55 pagi semalam.


Nayati dilarikan dua lelaki menaiki Proton Gen.2 di hadapan sekolahnya di Bukit Kiara sejurus keluar dari kawasan perumahannya kira-kira 50 meter dari sekolahnya pada 27 April lalu. Norzaini yang juga pengurus sebuah kedai serbaneka berkata, dia menemui kanak-kanak itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Subang Jaya bersama suaminya, Muhammad Asif Abdullah, 31, selepas meluangkan masa bersama keluarga di Butterworth, Pulau Pinang selama seminggu.

Menurutnya, selepas lebih tiga jam perjalanan mereka berhenti di R&R Rawang kerana suaminya meminta dia memandu kereta.“Sebaik saya turun dari kereta, Nayati berlari ke arah saya dalam keadaan menangis sebelum menyoal sama ada saya tahu berbahasa Inggeris dan dia memberitahu dia baru 20 minit dibebaskan.

“Sebaik melihatnya saya tahu dia kanak-kanak yang diculik kerana pernah melekat risalah mengenai penculikannya di kedai serbaneka tempat saya bekerja.“Ketika itu keadaannya lemah dan saya memeluk Nayati masuk ke dalam kereta kerana risau kalau-kalau penculiknya masih berada di kawasan sama,” kata Norzaini ketika ditemui Harian Metro, semalam.Norzaini berkata, ketika ditanya sama ada dia tahu punca dia diculik, Nayati menyatakan kerana wang dan dia menyatakan diculik dua lelaki tempatan dengan menggunakan kereta.“Biarpun lemah dan masih trauma, Nayati masih mengingati nombor telefon ibu bapanya dan saya menghubungi ibunya,” katanya.

Menurutnya, dia diminta membawa Nayati ke kawasan Restoran Jejantas di R&R Sungai Buloh dan 30 minit kemudian, kanak-kanak itu diserahkan kepada ibu bapanya yang ditemani pegawai polis.Norzaini berkata, dia lega kerana kanak-kanak itu sudah selamat pulang ke pangkuan keluarganya dan dia terharu melihat kedua ibu bapa Nayati memeluk kanak-kanak itu lebih dari lima minit sebaik menemuinya selepas enam hari.“Saya turut bangga kerana dapat membantu Nayati dan keluarganya. Rasanya, seperti saya dapat menyelamatkan anak sendiri,” katanya.

NAYATI DIBEBASKAN SELEPAS 6 HARI DICULIK .




Pelukan dan ciuman yang diiringi tangisan kegembiraan menyelubungi kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini semalam apabila Nayati Shamelin Moodliar yang hilang diculik sejak seminggu lalu bersatu semula dengan keluarganya.Nayati, 12, yang diculik pada 27 April lalu ketika dalam perjalanan ke sekolahnya di Mont Kiara International School di sini ditemui dibebaskan di tempat letak kenderaan berat R&R Rawang pada pukul 7.55 pagi. Kanak-kanak itu kemudian dibawa oleh seorang wanita yang menemui mangsa di R&R Rawang ke R&R Sungai Buloh bagi menemui keluarganya.

Jarak lokasi mangsa diculik dan lokasi ditemui semula kira-kira 58 kilometer.Nayati, anak sulung daripada dua beradik itu ditemui semula selepas keluarga mangsa menerima panggilan telefon dipercayai daripada penculik mengatakan anak mereka ditinggalkan di R&R Rawang.

Tidak lama selepas ditinggalkan penculik, seorang wanita menemui mangsa dan menghubungi keluarganya sebelum membawa mangsa ke R&R Sungai Buloh bagi mempertemukan dia dengan keluarganya.Berikutan itu, keluarga Nayati bersama pegawai Kedutaan Belanda menaiki sebuah kereta Mercedes Benz dan diiringi pasukan polis bergegas ke R&R Sungai Buloh. Sebaik menemui Nayati pada pukul 8.30 pagi, bapa mangsa, Sham Moodliar, 41, dan ibunya, Janice Smith, 40, terus memeluk Nayati dengan tangisan kegembiraan.

BOB KUMAN MENINGGAL DUNIA ..




Peminat seni tanah air sekali lagi dikejutkan  dengan khabar mengenai pemergian ke rahmatullah pelakon dan pelawak Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd Rawi, 40 di kediamannya di Seksyen 11 di sini, 4.38 petang semalam. Jururawat peribadi Allahyarham Mohd Farid Hamzah berkata, dia menerima panggilan daripada isteri arwah, Normah pada 3.50 petang memberitahu bahawa Bob tidak sedarkan diri selepas beberapa kali cuba dikejutkan.

"Saya bergegas ke rumah selepas melihat keadaannya saya segera mendapatkan bantuan hospital dan pemeriksaan paramedik kemudiannya mengesahkan Bob sudah pun meninggal dunia,” katanya.Menurutnya, sebelum itu Bob kelihatan tidak bermaya dan hanya mampu baring serta beberapa kali rebah.


Difahamkan Bob sebelum ini pernah mendapatkan rawatan di Hospital Tawakal kerana sakit jantung, darah tinggi dan paru-paru berair serta mengalami masalah obesiti.Sementara itu, salah seorang rakan niaga arwah Jumie Mohamad, 37, berkata, kali terakhir bertemu arwah kelmarin. 


“Saya bawakan Bob kentang untuk bersarapan dan sebaik selesai makan dia berasa penat dan mahu tidur, sebelum itu dia minta saya tolong angkatkan kakinya,” katanya. Menurutnya, dia dapat melihat keadaan arwah amat keletihan dan dia sendiri tidak dapat berbual panjang seperti kebiasaan . 


“Saya senang berurusan kerja dengan arwah kerana dia mudah bertolak ansur serta boleh dibawa berbincang dengan mudah dan kehilangannya amat dirasai,” katanya. Seorang lagi rakan arwah, Emri Shamriza Chi Embi,33, memberitahu arwah ada menghubunginya jam 4.30 pagi tadi. “Biasanya dia akan berbual tetapi perbualan cukup singkat tidak sangka hari ini dia sudah tiada,” katanya. Tambahnya lagi, sahabat baiknya itu disifatkan senang bergaul dan dia sendiri banyak menimba pengalaman bermain alatan muzik dari Allahyarham. Isteri Allahyarham Normah Ahmad, 33, enggan ditemu bual kerana terlalu sedih.

Tahap kesihatan Bob mula merosot selepas dia terjatuh ketika pengambaran selepas terjatuh ketika menjalani penggambaran drama Jangan Pandang Belakang Congkak akhir 2010, yang menyebabkan dia mengalami masalah sesak nafas dan bengkak kaki. Bob mengemparkan industri hiburan negara selepas berita palsu mengatakan dirinya sudah meninggal dunia tersebar melalui laman sosial 21 April lalu. 

Jenazah Bob dimandi dan dikafan di Masjid Kota Damansara sebelum dikebumikan di kampung halamannya di Negeri Sembilan. Turut hadir melawat Allahyarham Bob ialah pelakon yang juga Presiden Seniman Harun Salim Bachik. Terdahulu, berita kematian disahkan sendiri oleh Pemangku Timbalan Presiden Seniman, Zed Zaidi.