SUPPORT PENAJA

Wednesday 9 May 2012

ARAB SAUDI PERTIMBANG SEKAT JEMAAH MALAYSIA


Amat mengejutkan akibat dari terikut-ikut dengan pengaruh perhimpunan Bersih 3.0 di tanahair Malaysia , kini kerajaan Arab Saudi sedang membuat pertimbangan sama ada untuk mengenakan sekatan atau mengantung jemaah haji dan umrah dari Malaysia ekoran tindakan segelintir rakyat negara ini mengadakan perhimpunan haram Bersih 3.0 di Mekah dan Madinah baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata perkara itu dinyatakan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Fahad A. H. Al-Rashid dalam perjumpaan mereka pada Jumaat lepas berhubung perkara itu."Saya menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia menentang kelakuan ini (perhimpunan di Mekah dan Madinah), apa lagi jika ia dilakukan di luar negara Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Guru-guru Pendidikan Islam dan Guru Islam di Pusat Islam hari ini.

Jamil Khir berkata perhimpunan haram seperti ini sangat sensitif kepada kerajaan Arab Saudi, ditambah dengan keadaan di Timur Tengah yang baru sahaja dilanda gejolak “kebangkitan Arab", di mana rakyat dihasut untuk menentang kerajaan-kerajaan mereka.
Beliau berkata sehingga hari ini Arab Saudi tidak pernah mengenakan sebarang hukuman terhadap Malaysia walaupun hukuman sekatan dan mengantung itu pernah dibuat ke atas negara lain.
Jamil Khir berkata kerajaan sangat bimbang jika Arab Saudi mengambil satu tindakan drastik berkaitan dengan kuota dan jumlah visa yang dikeluarkan untuk tahun ini.Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir jemaah umrah dan pelajar Malaysia yang membawa politik tanah air ke luar termasuk mencampuradukkan ibadah dengan kepentingan fahaman politik mereka.


Katanya sikap mereka itu telah merosakkan imej negara kerana sebelum ini sikap jemaah Malaysia yang sentiasa mematuhi undang-undang negara itu sering mendapat pujian Raja Arab Saudi, dan sentiasa dijadikan penanda aras di negara itu. - BERNAMA

SUSPEK KES CULIK NAYATI DITAHAN ..


Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan yang disyaki terlibat dalam kes penculikan kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, pada 27 April lepas.
Menurut sumber polis, suspek yang berusia antara 30-an dan 50-an itu ditangkap dalam operasi berasingan di Perak dan Cheras, Selangor, sejak Ahad hingga awal pagi ini. "Polis menemui semula lebih RM100,000 iaitu sebahagian daripada wang tebusan yang dibayar oleh bapa Nayati (Sham Moodliar) dan ibunya (Janice Smith)," kata sumber itu.

Anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur yang melakukan tangkapan itu turut merampas peralatan seperti komputer riba dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek untuk tujuan rundingan dan meminta wang tebusan daripada ibu bapa Nayati. Sumber itu berkata polis menunggu kepulangan keluarga Nayati yang dilaporkan sedang bercuti bagi membolehkan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu membuat pengecaman terhadap suspek-suspek berkenaan. Nayati, yang diculik ketika berjalan kaki berseorangan ke Sekolah Antarabangsa Mont' Kiara dekat rumahnya di sini, ditemui selamat di kawasan Rehat dan Rawat Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan pada 7.55 pagi, 3 Mei lepas.

Difahamkan seorang lagi suspek yang disyaki terlibat dalam penculikan itu sedang diburu polis dan dipercayai masih berada di sekitar ibu negara. Sumber itu tidak menolak kemungkinan polis akan memberkas suspek dalam masa terdekat berdasarkan beberapa maklumat yang diperoleh hasil risikan polis. - Bernama