SUPPORT PENAJA

Friday 13 April 2012

GEGARAN DI MALAYSIA BERSKALA 6


Gegaran yang dirasai di kebanyakan tempat di Malaysia, kelmarin adalah pada skala lima hingga enam (V hingga VI) MMI (Modified Mercalli Intensity) yang tidak membawa kerosakan besar kepada struktur bangunan.Bacaan skala diklasifikasikan antara kecil dan sederhana itu adalah berdasarkan kesan gegaran dialami saksi serta keadaan struktur bangunan berikutan gempa bumi berukuran 8.7 pada skala Ritcher yang melanda Aceh, Sumatera Utara pada jam 4.38 petang, kelmarin.Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Che Gayah Ismail, berkata pihaknya terus memantau perkembangan di Sumatera dan memaklumkan kepada umum. Beliau berkata, berdasarkan pemodelan tsunami akibat gempa bumi kelmarin, jika pun tsunami melanda perairan Malaysia, ketinggiannya hanya 0.74 meter saja.

“Jabatan Meteorologi sudah mengeluarkan nasihat tsunami (kelmarin) meminta orang ramai menjauhi kawasan pantai bagi negeri Perlis, Kedah (termasuk Langkawi), Pulau Pinang dan Perak,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau berkata, sehingga jam 6 petang semalam, sebanyak 39 gempa susulan bermagnitud 4.5 sehingga 6.0 pada skala Richter dilaporkan di pusat gempa.
Kelmarin, ribuan rakyat Malaysia terutama yang tinggal di bangunan tinggi dan kawasan Pantai Barat Semenanjung merasai gegaran kuat berikutan gempa bumi berukuran 8.7 pada skala Richter di perairan Aceh pada jam 4.38 petang, diikuti gempa susulan pertama pada jam 6.43 petang yang berukuran 8.5 pada skala Richter. Selain itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi jaminan semua bangunan tinggi di negara ini selamat diduduki walaupun ada antaranya mengalami keretakan akibat dua gegaran susulan gempa bumi yang berlaku dalam tempoh dua jam di Aceh, Sumatera Utara, petang kelmarin.

Kebanyakan premis kediaman dan bangunan tinggi yang sebahagian besarnya terletak berhampiran pantai sekitar negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Pahang termasuk di Putrajaya dan ibu negara sudah diperiksa selepas dikhuatiri mengalami kerosakan akibat gegaran itu. Difahamkan, lebih 80 bangunan di 84 lokasi membabitkan semua negeri terbabit sudah diperiksa sejurus selepas bomba menerima panggilan orang ramai yang melaporkan bangunan diduduki mereka mengalami gegaran antara satu hingga lima minit.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata siasatan pihaknya mendapati tiada bangunan mengalami kesan kerosakan serius sebaliknya hanya mengalami keretakan kecil yang tidak mengganggu kestabilan dan keselamatan bangunan terbabit.

“Sejurus menerima laporan, semua anggota kita dikerah ke semua lokasi terbabit dan pemeriksaan terus dilakukan semalam (kelmarin). Hasilnya, memang ada antara bangunan itu mengalami keretakan namun tidak serius. “Antara bangunan diperiksa membabitkan hotel, pusat beli belah, hospital, apartmen serta kondominium,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Wan Mohd Nor berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM di seluruh negara masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk tsunami sekiranya berlaku gegaran susulan di Aceh.

No comments:

Post a Comment