SUPPORT PENAJA

Friday 2 March 2012

TOL DAPAT DISKAUN 50 %


Berita gembira buat semua pengguna Lebuhraya Cheras-Kajang sebab akan dapat menikmati penjimatan bayaran tol sehingga 50 peratus berikutan pemansuhan bayaran di dua plaza tol, mulai jam 12 tengah malam tadi 1March 2012. 

Pemansuhan bayaran RM1 di Plaza Tol Batu 9 menghala Kuala Lumpur dan 90 sen di Plaza Tol Batu 11 menghala Kajang itu akan memberikan penjimatan kepada 120,000 pengguna harian. Berita gembira itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak depan lebih 10,000 hadirin, termasuk mereka yang sering menggunakan lebuh raya itu pada Majlis Pecah Tanah Projek Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Bandar Sungai Long, dekat semalam. Beliau berkata, penghapusan tol bertujuan mengurangkan beban rakyat yang kerap menggunakan lebuh raya itu, terutama mereka yang berulang-alik beberapa kali sehari. 
“Kalau dulu bayar RM3.80, sekarang bayar RM1.90 saja, iaitu pengurangan 50 peratus dan ini memberi manfaat kepada 120,000 pengguna setiap hari,” katanya sambil disambut sorakan serta tepukan gemuruh hadirin. Perdana Menteri berkata, pemansuhan itu juga bagi memenuhi janji Barisan Nasional (BN) yang memperjuangkan isu berkenaan sejak 2009. Malah, ketika menghadiri majlis berbuka puasa di Hulu Langat tahun lalu, beliau berkata, BN dan UMNO bahagian melalui ketuanya, Datuk Johan Abdul Aziz, turut membangkitkan isu berkenaan. 

“Ini bukan isu yang dibawa pihak lain. Ia dibawa oleh BN sendiri. Dalam ucapan saya pada majlis itu, saya menyarankan Kementerian Kerjaraya dan menterinya mengkaji kutipan tol bertujuan mengurangkan beban rakyat yang menggunakannya setiap hari,” katanya. 
Sementara itu, tinjauan di Plaza Tol Batu 9 malam tadi mendapati penyokong BN dan pembangkang masing-masing berkumpul di plaza tol berkenaan bagi meraikan pemansuhan tol. Kedua-dua kumpulan mula berkumpul di tepi lebuh raya dan saling bersorak seawal jam 10 malam, sebelum diarah bersurai oleh polis kira-kira jam 12.45 pagi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

No comments:

Post a Comment