SUPPORT PENAJA

Sunday 19 February 2012

DISIMBAH ASID KETIKA TIDUR


Malang sungguh nasib bila sedang nyenyak tidur , tiba-tiba disimbah pulak dengan cecair dipercayai asid . Isiden tersebut berlaku kepada seorang remaja serta rakan serumahnya awal pagi semalam di Kampung Padang Merchang di Marang . Ketika kejadian 5.10 pagi itu, Mohd Fadzil Hanafi Idrus, 18 yang sedang menunggu keputusan SPM serta Shahurzaman Salim, 38, sedang tidur nyenyak bersama empat lagi rakan mereka di sebuah rumah bujang selepas menonton perlawanan bola sepak di televisyen. 

Mohd Fadzil melecur di bahagian muka, badan serta kaki manakala Shahurzaman, yang bekerja sebagai nelayan, cedera di muka serta mata, dan mereka kini dirawat di unit kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dilaporkan stabil. Seorang penyewa di rumah itu, Mohd Harmizi Hussin, 29, berkata ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan dihubungi seorang rakannya mengenai kejadian tersebut. 
"Setibanya di rumah, saya terkejut melihat keadaan (Mohd) Fadzil yang melecur di muka sambil menggelupur menjerit kesakitan. Saya terus menghantar kedua-dua mangsa ke Klinik Kesihatan Mercang sebelum mereka kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian. 

Mohd Harmizi, seorang pemandu bas kilang, berkata Mohd Fadzil biasa datang ke rumah sewanya untuk menonton perlawanan bola sepak. " Saya percaya suspek melontar cecair berkenaan melalui tingkap yang tidak ditutup dan kebetulan pula (Mohd) Fadzil dan Shahurzaman tidur di atas katil berhampiran tingkap tersebut," katanya. 

Pada mulanya, Mohd Harmizi menyangkakan cecair itu adalah sejenis minyak namun sangkaannya meleset setelah melihat kesan terbakar pada tilam dan kain pelekat yang dipakai Mohd Fadzil.  Bapa Mohd Fadzil, Idrus Mohd Nor yang ditemui di HSNZ berkata dia terkilan dengan kejadian itu, yang belum diketahui motif sebenarnya. Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung perkara tersebut. Beliau berkata, polis masih mengenal pasti motif sebenar kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment