SUPPORT PENAJA

Wednesday 22 February 2012

SAKIT BUKAN PENGHALANG TERUS CARI REZEKI


Pasti korang tau mengenai nasib yang menimpa primadona Seniwati Azean Irdawaty kan . Pelbagai dugaan berat kini terpaksa di tempuhi nya . Namun keperitan hidup yang dilaluinyai tidak pernah meragut semangatnya untuk terus berkhidmat kepada keluarga. Walaupun masa seharian kini banyak dihabiskan di atas katil, tanggungjawab sebagai pencari rezeki masih digalas pada bahunya demi menampung keperluan hidup sehari-hari. Menurut Azean Irdawaty, 61, kini dengan kudrat kecil yang dimiliki dia masih menjalankan perniagaan jualan langsung seperti biasa. Walaupun tidak seaktif dulu, Azean atau lebih mesra dengan panggilan Kak Yan akan tetap meneruskan perniagaan ini selagi termampu.

"Sekarang lebih mudah sebab Kak Yan hanya perlu menjalankan perniagaan jualan langsung ini melalui telefon.Tidak perlu selalu bergerak pun boleh buat bisnes. Namun itu juga bergantung kepada kemampuan. Kadang-kala sampai hari tak sihat tu, untuk bercakap juga Kak Yan tak larat," katanya ketika di temui di kediamannya di Bandar Utama, Selangor baru-baru ini. 



Kekuatan yang dimiliki wanita ini sentiasa menjadi inspirasi mereka di luar sana. Walaupun menjalani rutin harian penuh kepayahan sebagai pesakit barah, ia sedikit pun tidak pernah melunturkan hati wanita ini untuk terus membanting tulang demi eringan beban kewangan yang ditanggung keluarganya. 




"Sebenarnya apa yang Kak Yan dapat ini hanya cukup untuk menampung perbelanjaan di rumah sahaja. Bagi perbelanjaan perubatan pula Kak Yan akui terpaksa bergantung kepada belas ehsan orang luar. Ini kerana jumlahnya bil perubatan yang terlalu tinggi tidak memungkinkan Kak Yan untuk menjelaskannya. Mana hendak cari duit seorang diri dalam keadaan macam ni," jelasnya.

Bercerita tentang perkembangan penyakitnya kini, menurut Azean walaupun ada tanda-tanda positif ketumbuhan di tulang belakangnya kini sudah mengecut, namun dia kini terpaksa menanggung satu lagi berita sedih apabila tidak akan dapat meneruskan rawatan kimoterapi yang berjumlah RM9,874 sebulan.

"Memanglah doktor tidak bagi saya berhenti dari meneruskan rawatan ini, namun memandangkan bayaran untuk meneruskan rawatan ini terlalu tinggi Kak Yan terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti menerima rawatan tersebut. Malah jika diikutkan juga, bekalan ubat-ubatan seharian juga hanya akan bertahan sehingga hujung bulan ini sahaja. Untuk bulan depan, Kak Yan masih lagi tidak tahu bagaimana untuk mendapatkannya lagi," jelasnya.

Reda dengan ketentuan yang sudah ditakdirkan ini, menurut wanita besi ini dia tidak pernah membelakangi kuasa Allah. Ini kerana Azean tahu hidup mati bukan bergantung kepada ubat-ubatan yang diambilnya, sebaliknya pada ketentuan Allah semata-mata.

"Kak Yan pernah cakap kepada anak-anak, jika Allah nak panjangkan usia dengan ubat-ubatnya ini maka panjanglah umur Kak Yan. Dan sebab itu walaupun tidak mampu meneruskan rawatan dan hanya berserah sahaja kepada takdir, sekurang-kurangnya Kak Yan sudah berpuas hati kerana telah berusaha sebaik boleh untuk mengubati penyakit ini," katanya.
Kehadiran ramai rakan artis di dalam memberikan sokongan buat dirinya sentiasa menjadi inspirasi buat wanita ini di dalam meneruskan kehidupannya. Malah bagi anak seni ini, dia juga sebenarnya tidak pernah merasai dipinggirkan dari dunia seni walaupun sudah lama tidak muncul di dalam di kaca televisyen.

"Ada di antara rakan-rakan artis yang sering melawat Kak Yan , kadangkala terubat rasa pilu di hati melihat kepada keprihatinan mereka. Walaupun begitu, Kak Yan tidak pernah kecil hati dengan mana-mana rakan artis lain yang tidak sempat menjenguk. Sebagai seorang artis Kak Yan sendiri tahu jadual anak seni itu macam mana kadang kala kesibukan membataskan mereka dan rasanya bukan niat mereka untuk meminggirkan Kak Yan," katanya.

Walaupun menghadapai waktu sukar, pelakon ini tidak pernah merasakan ia sebagai penyebab untuk terus meratapi perjalanan takdirnya. Malah bagi pelakon hebat ini dia tahu hanya kekuatan semangat yang mampu menyembuhkan kesedihan yang di tanggung.

"Kak Yan reda dan terima segala yang telah ditentukan. Apa yang penting Kak Yan perlu kuat untuk meneruskan perjuangan selama ini," katanya. 


No comments:

Post a Comment