


Dua lelaki dan empat wanita maut dalam puting beliung awal pagi yang melanda Harrisburg, Illinois, sebuah bandar dengan hampir 10,000 penduduk, kata Datuk Bandar Eric Gregg yang menyifatkan kejadian ribut itu sebagai kemusnahan yang sungguh ‘dahsyat’.
“Beratus-ratus rumah rosak, manakala berjuta dolar kerugian dicatatkan. Hospital turut mengalami kerosakan. Sebuah pusat beli belah dengan sekurang-kurangnya 10 kedai juga mengalami kemusnahan,” kata Gregg.
Seorang kakitangan di perkhidmatan Perhutanan Amerika Syarikat Mike Hancock bersama beberapa rakannya cuba menyelamatkan mangsa dalam kejadian rumah runtuh yang menyebabkan enam orang terkorban.
“Kami cuba merangkak masuk ke dalam rumah itu tetapi ia tidak cukup stabil, seluruh tapaknya bergegar Kami terpaksa keluar dari situ,” katanya.
Gabenor Illinois, Pat Quinn mengisytiharkan darurat di negeri itu, begitu juga Gabenor Missouri, Jay Nixon yang mengisytiharkan darurat di negerinya, sementara Gabenor Kansas, Sam Brownback mengisytiharkan bencana darurat di Wabaunsee County.
Pusat ramalan ribut Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan menganggarkan kekuatan puting beliung itu adalah EF-4, di mana ia membawa angin selaju 320 km sejam.
Kadar EF-4 meletakkan puting beliung itu setanding dengan kejadian yang membunuh 64 orang di Tuscaloosa, Alabama pada April lalu, dan satu takuk di bawah ribut Joplin dengan kekuatan EF-5 yang memusnahkan seluruh bandar Missouri. – Reuters
No comments:
Post a Comment