SUPPORT PENAJA

Saturday 3 March 2012

WARGA EMAS BERPUTIH MATA AKIBAT DITIPU


Seorang warga emas berputih mata selepas kerugian hampir RM12,000 akibat percaya kepada seorang tukang tilik yang kononnya mampu membuang sial dari tubuhnya. Difahamkan, ketika wanita berusia 76 tahun itu berjalan berseorangan untuk ke sebuah klinik di Bandar Baru Ampang, di sini, pagi kelmarin, dia dihampiri tiga wanita tidak dikenali.

Menurut sumber, dalam kejadian jam 8 pagi itu, tiga wanita terbabit menghampiri mangsa dan seorang daripada mereka yang menyamar tukang tilik mendakwa tubuh mangsa membawa sial dan perlu berubat segera bagi membuangnya.
“Mangsa yang terkejut dengan dakwaan itu bersetuju untuk berubat dengan wanita terbabit. Namun, dia dikenakan syarat supaya membuat bayaran terlebih dulu.

“Mangsa yang tidak membawa wang tunai kemudian ditemani wanita terbabit pergi ke sebuah bank berhampiran untuk mengeluarkan wang RM12,000. 
Sebaik menyerahkan wang itu, seorang daripada wanita terbabit memberikan sebungkus plastik berwarna hitam kepada mangsa. Mereka memberitahu mangsa supaya tidak membuka plastik itu dalam tempoh tujuh hari,” katanya.Beliau berkata, mangsa kemudian pulang ke rumahnya.

Sebaik tiba di rumah, anak perempuan mangsa yang melihat bungkusan plastik berkenaan membuka ikatan plastik itu dan hairan mendapati kandungannya adalah sebotol air mineral dan garam.
Sumber berkata, anak perempuannya itu mendapatkan penjelasan mangsa berhubung bungkusan plastik berkenaan dan percaya mangsa ditipu ketiga-tiga wanita terbabit. 


Katanya, mangsa dibawa ke balai polis berhampiran membuat laporan kejadian berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berkenaan.

No comments:

Post a Comment