SUPPORT PENAJA

Tuesday 7 February 2012

PELAJAR TAHFIZ BUTA AL-QURAN ?



PORT DICKSON: Mereka mengaku murid dan pelajar tahfiz ketika mengutip derma atau melakukan jualan amal kononnya untuk membiayai pelajaran. Namun apabila didesak, mereka tidak fasih membaca al-Quran, malah lebih mengejutkan ada yang tidak boleh membaca kitab suci itu walaupun berusia 14 tahun.

Itulah senario mengejutkan yang berlaku terhadap kanak-kanak dan remaja terbabit yang sebahagian besarnya anak ahli kumpulan bekas pertubuhan al-Mansur.Pertubuhan itu ada kaitan dengan ajaran Azhar Wahab yang diwartakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2003 dan lapan lagi majlis fatwa negeri.Seakan-akan kem tentera, kumpulan kanak-kanak terbabit direkrut menjadi ‘skuad elit’ bagi mengutip derma dan menagih simpati orang ramai selain dibayar RM10 seorang, menyebabkan ramai antara mereka lebih gemar keluar ‘bekerja’ berbanding mengikuti kelas pengajian al-Quran.
Perkembangan mengejutkan itu didedahkan bekas pengikut yang juga guru agama kelas al-Quran pertubuhan berkenaan.Dia pernah mengajar kumpulan kanak-kanak terbabit di bangunan rumah kedai yang disewa pertubuhan itu sejak beberapa tahun lalu.Suhaimi (bukan nama sebenar) yang kini insaf dan menjadi imam sebuah masjid di daerah ini mendakwa, dia keluar dari kumpulan itu kerana tidak tahan sikap pemimpin serta pengikut pertubuhan yang menyimpang daripada ajaran Islam.

“Saya mengajar kanak-kanak terbabit mengaji al-Quran dan seterusnya mahu menjadikan mereka tahfiz, namun kecewa kerana pertubuhan itu lebih mementingkan aktiviti jualan daripada kelas mengaji. Memang mereka mengikuti kelas al-Quran selepas solat Subuh, tapi selepas itu dihantar ‘berniaga’.Kira-kira jam 9 atau 10 pagi, mereka dihantar ke pusat beli-belah, stesen minyak atau hentian rehat dan rawat (R&R) sebelum pulang antara jam 1 atau 2 pagi dalam keadaan letih. Kanak-kanak terbabit juga lebih gemar keluar menjual barangan ahli pertubuhan berbanding mengikuti kelas agama kerana mereka boleh berjalan ke sana-sini dan tidak terperap dalam kelas pengajian,” katanya.

Beliau mengulas susulan laporan Metro Ahad 29 Januari lalu yang melaporkan ratusan anak yatim dan pelajar pusat tahfiz dikerah memungut derma bagi membiayai kegiatan menghidupkan semula ajaran sesat Azhar Wahab dengan berselindung di sebalik jualan amal di seluruh negara, terutama sekitar Lembah Klang.

Ajaran Azhar Wahab diwartakan sesat oleh sembilan majlis fatwa negeri, termasuk Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sejak 1970.Lebih mengejutkan, siasatan wartawan Metro Ahad mendapati murid dan pelajar pusat tahfiz di Kedah yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) itu dibekalkan dua produk kesihatan yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

Mereka turut dibekalkan cakera padat video (VCD) yang bukan saja tiada kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), malah klip video dalam VCD terbabit jelas bertentangan dengan imej pelajar tahfiz.Suhaimi berkata, kebanyakan kanak-kanak yang diperalatkan kumpulan terbabit adalah anak ahli kumpulan itu yang pernah diharamkan kerajaan, iaitu al-Mansur dan ketika dia mengajar dulu ada juga anak orang luar tapi jumlahnya terlalu kecil.

Lebih mengecewakan, katanya, ada remaja perempuan yang diperalatkan pertubuhan itu menjadi mangsa rogol ketika menjalankan aktiviti mengutip derma dan sepanjang pengetahuannya, dua kes rogol berlaku.Tiada laporan polis dibuat kerana mereka tidak suka orang luar campur tangan tapi sepanjang pengetahuan saya, dua kes rogol berlaku dengan satu daripadanya berlaku terhadap remaja lembam,” katanya.

Suhaimi berkata, kini kebanyakan anak orang luar dari pertubuhan itu keluar dari pusat pengajian berkenaan selepas mendapat tahu mereka diperalatkan dan yang tinggal hanya anak ahli yang taksub dengan pemimpin mereka.

“Saya kenal sangat mereka, kebanyakannya bekas ahli al-Arqam tetapi apa yang diamal dan dibawakan mereka kali ini lebih teruk daripada pertubuhan itu,” katanya.
Menurutnya, dia bertemu Azhar atau SM Amin tiga kali ketika lelaki berkenaan datang ke Lukut memberi ceramah kepada ahli supaya meneruskan taat setia dan menyokong perjuangan dan kepemimpinannya. Ketika memberi ceramah, dia akan bersalam, berpeluk dan bercium dengan semua orang, tidak kira lelaki atau perempuan, anak dara atau isteri orang, menyebabkan saya mula curiga dengan amalan dan perjuangan Islam yang didakwa diamalkannya. Pernah saya bertanya cerdik-pandai agama dalam pertubuhan itu tetapi dimarahi kerana mempertikaikan tindak-tanduk ‘tuanku’ mereka dan dimaklumkan semua orang tidak boleh berbuat demikian kecuali tuanku atau ayahanda mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment